"Teater Modular": Blok-blok Cerita dalam Ledakan Teater Mandiri


“TEATER adalah pertemuan sastera dan arsitektur,” kata Ridhwan Saidi dan apa lagi yang lebih tepat untuk menyimpulkan pengalaman menikmati persembahan teater di dalam sebuah gudang lama? Setelah mementaskan sembilan drama pendek (playlet) pada tahun lalu, Teater Modular kali ini dibina daripada empat drama pendek yang terakhir (menjadikan kesemuanya 13 buah, setiap satunya berdurasi sekitar 15-20 minit); naskhah yang ditulis oleh Ridhwan Saidi ini masing-masing mempunyai kekuatannya yang tersendiri yang merentas ke serata spektrum isu daripada hal-hal domestik yang melegari pasangan suami-isteri, komuniti sehinggalah hal-hal transendental yang mencari makna mati.

Modul 10: “Sudah terang lagi bersuluh, kematian itu klise. Bila mati segala makna hilang, dan bukankah klise itu kematian makna?!”

“Erti Mati” arahan Amirul Syakir menjadikan perbualan di meja makan (table-talk) setenang mungkin – tetapi genting! – antara malaikat Izrail (Faris Zainor) dengan jin bernama Tsabur (Roshafiq Roslee). Dialog tentang kematian yang pekat falsafah (malahan naskhah ini sendiri merupakan adaptasi daripada tulisan Arthur Schopenhauer berjudul Short Dialogue on the Indestructibility of Our True Being by Death) dikunyah oleh kedua-dua watak ini setenang mungkin sebelum diluah kepada audiens untuk ditelan. Perbualan tentang kematian di meja makan ini dilihat ironi kerana makan itu sendiri untuk hidup (atau hukum ini terbatal di alam transendental?)

Barangkali kerana itulah dialognya kadangkala kabur, dalam erti kata ia berkesan dalam ruang lingkup dunia transendental yang dibina di hadapan audiens. Ia berbalik kepada apa yang dituturkan oleh Izrail: “Untuk jawab persoalan transendental dengan bahasa yang digunakan untuk ilmu sedia ada, dah tentu ia akan jadi begitu.” Dunia yang dipersembahkan di hadapan audiens menjadi ruang yang berada di luar batas (kefahaman) audiens sendiri. Pencahayaan dalam persembahan ini dilihat paling berkesan di mana pandangan audiens diikat untuk melihat bayang-bayang para pelakon ini yang membesar-kecil dan adakalanya mendua pada dinding di belakang mereka; menimbulkan mood dan ambien misteri dengan menghadirkan entiti lain secara tidak sedar.

Modul 12: “Adakah Datuk sedih terhadap kemalangan jiwa yang berlaku ke atas bas-bas yang dipercayai telah membawa pengundi-pengundi hantu ke pusat undian?”

Dalam “Hotel Berdarah” arahan Ridhwan Saidi sendiri, komedi gelap bukan semata-mata menebalkan humor tetapi turut menyingkap tirai nipis dunia wanita yang dihimpit politik dan keluarga. Separuh awal performans memperlihat Datuk (Irfan Aziz, pada waktu pementasan yang lain turut diganti oleh Shamnirul) diwawancara oleh wartawan (Rashid) dan fotografer (Tasha K.) di dalam biliknya di sebuah hotel. Jawapan “ya” dan “tidak” dengan variasi intonasi daripada Datuk untuk setiap soalan yang diterimanya semestinya mengundang gelak tawa audiens – menjadi lelucon dalam keseriusan situasi yang dipersembahkan secara santai tentang ‘di balik tabir’ politik negara. Seolah-olah politikus ini sememangnya sudah punyai ‘skrip’ dalam setiap gerak kerjanya.

Hingar putih atau statik yang terpancar pada skrin televisyen sebagai prop turut menjadi perlambangan yang kuat; tanpa siaran yang sering dikaitkan dengan terputus signal selain diatur seiring dengan jalinan hubungan Datuk-setiausaha-suami turut menetapkan atmosfera misteri ruang bilik hotel ini yang terputus dengan dunia luar. Apa yang di dalam, kekal di dalam. Malah jawapan yang diberikan kepada wartawan (yang datang dari luar) juga tidaklah diketahui benar-salahnya.

Separuh akhirnya pula menghadirkan suami setiausaha (Azman Rashid) berkerusi roda yang ditolak komplot Datuk dan setiausahanya (Shasha Fairus) untuk membunuh lelaki ini. Ia menjadi semakin suspens bilamana rancangan gelap mereka (yang telah diberitahu kepada audiens) bertindih dengan mimpi setiausaha tentang kematian suaminya itu. Di penghujung performans, adakah mimpi ini menjadi nyata atau ‘kenyataan’ yang terlaksana ini yang menjadi mimpi?

Modul 9: “Wah, dengar lukisan bila dijual beribu-ribu ya? Tapi you masih bekerja. You tak minat duduk rumah, jadi suri rumah?”

Walid Ali yang turut mengarah drama-drama pendek dalam Teater Modular yang lepas sekali lagi tampil dalam pementasan ini dengan mengarahkan “Sesuap Kaseh”. Lakonan penuh serasi Nabil Akhbar dan Nur Atiqah Ajmal Kanazan dalam membawakan watak Ghazali dan Latifah, selari dengan naskhahnya yang ditulis dengan semangat filem Chinta Kaseh Sayang (1965) bikinan Hussein Haniff. Performan ini dikuatkan lagi dengan set dan prop yang menghidupkan latar air terjun di dalam hutan. Air terjun (walaupun hanya lembaran panjang kain putih yang dilepaskan dari atas rangka aram-aram) secara tidak langsung menjadi simbol kepada kejernihan yang deras pasangan ini.

Karakter Latifah dan Ghazali perlahan-lahan didedahkan kepada audiens; mereka terpisah (atau sengaja memilih untuk memisahkan diri dengan kumpulan teman sepejabat yang lain); mereka berdua masing-masing sudah berkahwin (melalui perbualan dengan pasangan masing-masing melalui telefon); sehinggalah kata-kata terakhir Ghazali di penghujung performans tentang rasa lapar setelah sudah lama mandi atau berendam dan apa-apa makanan yang disuap pun akan terasa sedap (secara tidak langsung memantulkan semula hubungan pasangan ini). Kerana tidak disuap dengan kisah lampau perhubungan pasangan ini, audiens tidak mengetahui sama ada hubungan mereka telah pun membenih sebelum perkelahan ini ataupun tidak. Kerana barangkali benarlah kata Ghazali, “Tapi situasi itu yang buat apa yang kita makan jadi sedap.”

Modul 11: “Tapi Agama pun boleh juga. Nama pun raja buah kan? Apa yang boleh kita buat selain sembah ia?”

Dalam “Kurator Dapur” arahan sulung Hannan Barakbah pula, kata label dimain sebaiknya di mana kucar-kacir yang disengajakan ini dikira tindakan bijak dalam mengajak audiens sama-sama bertanya: Adakah label membenam makna dan menafikan fungsi asal sesuatu? Suami selaku seniman (Kamini Senthilathiban) dan isteri selaku kurator (Adam Hamizan) yang baru pulang daripada membeli barang dapur cuba bertindak profesional di dalam rumah dengan mengelaskan barangan yang dibeli oleh mereka kepada label-label tertentu: Politik, Seks dan Agama. Rumah menjadi galeri untuk kurator-isteri merepresentasi karya-barangan seniman-suami. Di sebalik reaksi dan ekspresi selamba (deadpan) mereka yang pekat humor, ada persoalan-persoalan besar di luar rumah dan perhubungan mereka yang dicuit, dibahaskan secara santai. Barangan yang dikelaskan ke dalam Agama misalnya, terus dimasukkan ke dalam mesin basuh. Barangkali agama dalam apa jua keadaan pun tidak pernah terlepas daripada dicemari tangan-tangan kotor.

Walaupun label akan tinggal label tetapi bolehkah ia diubah? Nah, sedangkan watak suami dan isteri dilakonkan oleh jantina bertentangan! Gender dan profesionalisme yang bergelut dalam performans ini, selain cuba menanggal label ‘Gender’ itu sendiri, turut berwacana tentang apa yang disebut oleh Judith Butler dalam bukunya, Gender Trouble: Feminism and the Subversion of Identity sebagai “gender performativity”; persepsi lapuk terhadap gender yang dibentuk oleh masyarakat dan budayanya. Dan perdebatan mereka berdua menegang ke kemuncak tatkala sebiji nanas (yang dipanggil mereka sebagai “durian”) dikeluarkan daripada bungkusan untuk dikelaskan. Benarlah drama pendek ini semahu-mahunya keluar dari konvensi sedari awal lagi di mana klise “jangan bawa hal-hal rumah tangga atau peribadi ke tempat kerja” langsung diterbalikkan dengan membawa profesionalisme ke dalam rumah tangga dan ruang peribadi suami-isteri. Dan kerana itu, ia menyelerakkan lagi persoalan.

Modul n: “Teater ialah titik di mana literatur dan arsitektur bertemu.”

Begitulah seperti yang diungkap oleh novelis yang melompat keluar dari lapangan senibina ini. Ridhwan Saidi yang kini aktif bergiat dengan teater menginginkan drama-drama pendek dalam Teater Modular garapannya ini menjadi unit-unit kecil cerita yang boleh dirangkaikan dengan bermacam-macam kombinasi dalam memaknai naratif yang lebih besar.

Keempat-empat drama pendek yang dipentaskan di KongsiKL, Gudang Yee Seng 2, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada 4 hingga 8 April 2018 yang lalu bukan sahaja performans yang mengeksperimentasikan bentuk dan isi atau cerita semata-mata malahan memperlihat hubungan seni dengan sesebuah kota dan warganya. Tatkala ruang-ruang kota semakin buas dirampas daripada warganya – meninggalkan hanya yang sempit-sempit buat bernafas – masih punyai peluang untuk warganya menikmati seni kalaupun di dalam gudang lama. Tambahan lagi, sesi bual santai di akhir setiap pementasan mewujudkan dialog antara pengkarya-khalayak; justeru keindahan ruang yang dialami beransur-ansur menenggelamkan audiens ke dalam performans sebelum terus kepada teks. Projek yang disokong oleh Krishen Jit ASTRO Fund ini juga dikatakan suatu usaha dalam mendekatkan golongan kelas pekerja (yang lebih tertarik dengan apa-apa yang bersifat pop) dengan teater.

Teater Modular sebolehnya menjadi blok-blok cerita yang dibina oleh Ridhwan Saidi untuk dimainkan oleh khalayak teater. Ia bukan sahaja meledakkan teater mandiri yang bernyala kembali sejak kebelakangan ini malah mencucuh cabang sastera yang satu ini dengan percik energi nan segar.

CATATAN: Tidak pasti jika tulisan ini sudah lepas tarikh luputnya (jika benarlah ia punyai tarikh luput). Waktu beri kepada Dewan Budaya dahulu berlaku perubahan pada editornya dan entah apalah nasib tulisan ini semasa di dalam limbo. Baru tersedar, ruangan "Pentas" sudah tiada. Dan kerana pementasan ini antara yang paling saya nikmati pada 2018, eloklah diletakkan juga di rumah ini. Buat tetamu yang berkunjung: selamat!

Ulasan