Tuesday, 27 December 2016

Szago, dan Peta Yang Terpadam

SZAGO mungkin mula timbul di atas peta sewaktu berkunjung ke rumah Prof. Muhammad Haji Salleh bersama dengan Wan Nor Azriq, Ainunl Muaiyanah dan Johan Radzi beberapa bulan yang lalu. Aku berpeluang untuk berjumpa-bual dengan Lidia, seorang budayawan dari Jerman (yang kebetulan sedang menumpang di rumah Prof. waktu itu sebelum meneruskan penerbangan pulangnya ke Köln). Lidia ada menyebut perihal bahagian-bahagian dalam Hikayat Panji Semirang yang disukainya -atas percikan romantisisme yang kuat. Hikayat Panji Semirang ialah naskhah klasik yang paling aku gemar, telah dibaca berulang kali, dan entah kenapa telah ditinggalkan beberapa tahun yang lalu. Mendengarkan Lidia menyebut tentang naskhah ini, pulang sahaja ke rumah hari itu, terus aku geledah-cari buku ini kembali.

Kemudian muncul tulisan Azriq dalam Dewan Sastera isu September 2016, Karya Fiksyen di atas Peta Imaginasi di mana Azriq menjelaskan tentang pengarang yang menjadi ahli kartografi. Ridhwan Saidi sudah menjadi kartografer dengan pulau distopianya, Mautopia. Anwar Ridhwan pula sudah bina pulau republiknya, Ogonshoto. Malah Wan Nor Azriq sendiri sudah bina pulau Queca dalam cerpennya, Malam Terakhir di Queca (juga disebut-sebut dalam cerpennya yang kemudian, Rumah Doktor Salgari*).

Dan entah macam mana, seakan ada panggilan dari pulau Szago pula untuk aku memetakannya.

Aku mulakan proses pemetaan dengan cerpen Ziarah ke Szago. Dan cerpen ini telah terpilih untuk dimuatkan dalam NARATIF | Kisah, sebuah jurnal sastera yang terbit bersempena dengan Iskarnival Naratif 2016 pada Oktober lalu. Ia hanya sebuah dekonstruksi kecil: transformasi atau 'gender fluidity' Panji Semirang telah digarap menjadi watak Doktor Z dalam cerpen ini. (Saja pilih nama Z sebab ia datang dengan dua bunyi: “zed” yang kedengaran lebih maskulin, dan “zi” yang lebih feminin.) Selain itu, Szago juga telah dibina kerana waktu itu (sehingga kini pun) tengah syok baca tulisan-tulisan weird fiction H. P. Lovecraft -paling gemar setakat ini, At the Mountains of Madness, Dagon dan The Shadow over Innsmouth. Azriq sendiri pernah beritahu, "Pulau (Szago) tu ada feel Lovecraft." Tetapi ada diberitahu juga yang keberadaan watak di pulau itu terlalu sekejap. Entahlah, mungkin waktu menulis, aku cuba nak kaitkan dengan kesementaraan kembara Panji Semirang. Ia berkait juga dengan alami tradisi cerita lisan itu sendiri di mana ada serpihan cerita yang hilang: berjejak semula dengan bentuk cerpen ini sendiri di mana ada fragmen yang sengaja dibuang (atau dihilangkan) tanpa mengganggu keseluruhan cerita.

Apa-apa pun, usaha pemetaan pulau ini bukan sekadar tentang letak duduk segala rupa dan bentuk tanahnya, tetapi lebih kepada imaginasi-imaginasi yang akan aku bawa dari sana.

*Cerpen Rumah Doktor Salgari baru sahaja memenangi hadiah utama kategori cerpen Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2015.

CATATAN: Szago sedang diluaskan lagi wilayahnya ke dalam cerpen-cerpen lain waktu ini.

Sunday, 13 November 2016

Perempuan, Isteri dan... Salad


AKU habiskan novela The Vegetarian ini sambil makan salad Caesar. Dan apa yang boleh aku katakan, ini hidangan pertama daripada Han Kang yang aku jamah. Rasanya cukup serba-serbi.


Tentang Reaksi

Di bahagian pertama novela ('The Vegetarian'), kita melihat reaksi mereka yang lain-lain terhadap Yeong-hye. Kita nampak perubahan Yeong-hye dari mata suaminya. Kita nampak perubahan perempuan biasa ini (seperti kata suaminya, Mr. Cheong pada ayat pertama di halaman pertama lagi, “I’d always thought of her as completely unremarkable in every way.”) perlahan-lahan menjadi luar biasa.

Segala-galanya bermula saat watak protagonis kita ini mahu menjadi vegetarian. Atau mungkin segala-galanya bermula dari mimpi. “I had a dream.” -hanya ini yang diberitahu Yeong-hye kepada suaminya saat dia membuang semua makanan berdaging (termasuk susu dan telur!) dari dalam peti sejuk.

Mimpi-mimpi grotes mengalir di dalam tidur dengan darah. Berulang-ulang. Protagonis kita sudah tidak makan daging lagi untuk buang sifat kebinatangan dalam diri. Tetapi mimpi hadir lagi. Dan protagonis kita sedar yang ini bukan soal kebinatangan, tetapi soal kemanusiaan. Dan sebab itulah dia tidak mahu menjadi manusia lagi.

“Yells and howls, threaded together layer upon layer, are enmeshed to form that lump. Because of meat. I ate too much meat. The lives of the animals I ate have all lodged there. Blood and flesh, all those butchered bodies are scattered in every nook and cranny, and though the physical remnants were excreted, their lives still stick stubbornly to my insides.”

Menjadi lain dianggap sebagai suatu tindak rebel, bukan bebas memilih, atau yang lebih penting, bebas menentukan kehendak sendiri. Keganasan dari dalam mimpi Yeong-hye beransur keluar ke dunia nyata sehinggalah bapanya mahu menyumbat daging babi ke dalam mulut anaknya itu.


Tentang Obsesi

Ini bahagian yang paling berwarna-warni. Jika bahagian pertama telah dilambakkan dengan imej-imej merah berdarah (dan kadangkala buat aku loya), bahagian kedua ini ('Mongolian Mark') pula,  imej-imej bunga mula menjalar daripada imaginasi liar abang iparnya. Obsesi artistik dan seksual pembikin filem eksperimental ini sangat grotes dan sensual pada waktu yang sama.

"Her skin was a pale green. Her body lay prone in front of him, like a leaf that had just fallen from the branch, only barely begun to wither. The Mongolian mark was gone; instead, her whole body was covered evenly with the pale wash of green.

He turned her over onto her back. A dazzling light came from her naked body, making him squint, and he couldn't see the area above her breasts - as though the source of the light was somewhere around her face. He spread her legs; her thighs parted with an ease that could only mean she was awake. A green sap, like that which oozes from bruised leaves, began to flow out..."

Dari mata abang iparnya, imej-imej di bahagian ini menjadi jelas -sangat grafikal.



Tentang Penerimaan

Aku gemar dengan bahagian 'The Vegetarian' dan 'Mongolian Mark'. Penuh energi dan intens. Tetapi segala-galanya menjadi sedikit lemau bila sampai di bahagian ketiga ('Flaming Trees'). Di bahagian ini, aku sedar yang Yeong-hye masih lagi tidak diberikan suara oleh pengarangnya. Seolah Han Kang sengaja terus menutup ruang untuk watak ini meluahkan suara dan rasanya.

Mungkin kerana itulah watak utama novela ini begitu jauh sekali dengan pembaca. Kita tidak intim langsung dengannya sepanjang pembacaan. Watak ini sekadar diperhati sepanjang bahagian pertama; digilai sepanjang bahagian kedua. Dan di bahagian terakhir ini, Yeong-hye cuba difahami. 

Seperti kita, kakaknya, In-hye turut sama berusaha untuk cuba memahami akan perubahan Yeong-hye. Eksistensi pokok yang semakin marak di dalam tubuh gadis ini membuatnya terus lupa akan dirinya yang masih seorang manusia.

“Look, sister, I’m doing a handstand; leaves are growing out of my body, roots are sprouting out of my hands… they delve down into the earth. Endlessly, endlessly… yes, I spread my legs because I wanted flowers to bloom from my crotch; I spread them wide…”

Keadaan adiknya membuatkan kemarahan In-hye kepada pokok mula membara sehinggalah ke hujung novela, sewaktu dia merenung pokok-pokok di luar hospital -menagih jawapan.


Tutup Buku, Habiskan Salad

Ketiga-tiga bahagian ini, pada aku, boleh dibaca sebagai tiga “novela kecil” yang berbeza. Ketiga-tiganya terasing. Tiga bahagian berasingan dengan rasa berbeza. Menariknya, ketiga-tiga “novela kecil” ini seakan-akan Han Kang sengaja mahu menghidupkan rasa keterasingan seseorang (atau keterasingan yang dirasai Yeong-hye) yang sedang berhempas-pulas untuk berhubung dengan yang lain-lain.

Aku sudah malas nak ambil port perihal Man Booker International Prize (dan entah-apa-Prize lagi). Tetapi bila The Vegetarian sudah terbalikkan novel Orhan Pamuk pada tahun ini, aku tahu aku mesti sambar novel perempuan Korea ini lekas dari atas rak kedai buku.

The Vegetarian bukan sekadar tunjuk kepada kita stereotaip perempuan yang sering dianggap lembik dan layu seperti sayur. The Vegetarian bukan sekadar papar stereotaip isteri yang sering dianggap pasif seperti pokok. Novela ini tentang wanita-wanita Korea yang mahu mula tanam individualiti dalam diri. Dan mungkin itulah sebenar-benar hidup.


“To write is to endlessly question what is life, what is death, who am I." 
-Han Kang (dalam sebuah temubual)

CATATAN: Terima kasih Deborah Smith kerana telah keluarkan novela ini dari bahasa asalnya. Sekarang aku mahu sambar Human Acts pula.

Saturday, 22 October 2016

Wajah Teshigahara Yang Lain

THE FACE OF ANOTHER ialah filem kedua Hiroshi Teshigahara yang aku tonton sesudah Woman in the Dunes. Dan setakat ini, Teshigahara sudah jadi pembikin filem Japanese New Wave kegemaran selain Nagisa Oshima, Toshio Matsumoto dan Kaneto Shindo (walaupun baru tonton satu saja filem Shindo, Onibaba). 

Di mata Teshigahara, imej-imej menjadi sureal dan sensual. Watak-wataknya seolah sudah bersedia untuk bernafas di dalam dunia berhawa kemimpiannya. Kita mungkin boleh kenal orang Jepun dalam filem-filem Oshima, Matsumoto dan Shindo. Tetapi dalam filem Teshigahara, orang Jepun hampir tidak wujud. Mereka hanya manusia yang sedang bergelut menggali identiti.

Jika Niki Junpei dalam Woman in the Dunes hanya dikelilingi pasir, Okuyama dalam filem ini pula dikelilingi rasa inferior dan orang-orang asing. Wajahnya menjadi tembok antara masyarakat dengan dirinya. Filem ini bukan sekadar Okuyama yang ingin tukar wajah untuk goda isterinya sendiri. Ia juga tentang wajah orang-orang di tanah Jepun pasca-Perang Dunia Kedua. 

Ia wajah Teshigahara yang lain.

















Aku mahu padamkan setiap cahaya di dunia,
atau cungkil saja mata Kemanusiaan.

-Hiroshi Teshigahara, Tanin no kao (1966)

CATATAN: Akan cari dan tonton Pitfall (1962) untuk lengkapkan 'Trilogi Identiti' Teshigahara. Dan mungkin boleh mula baca Kōbō Abe.

Tuesday, 18 October 2016

Dua Esei Instan

ENTAH macam mana boleh tertulis esei. Bila selongkar semula memori, rasa tergerak hati nak tulis itu datang bilamana dalam seminggu dua itu, aku baru sahaja habiskan kumpulan esei Sontag On Photography dan pulang dari acara Berbual dan Membaca: Astronomi Bilik Mainan, iaitu kumpulan esei pertama Wan Nor Azriq. Mungkin segala-galanya hadir pada ruang-waktu yang tepat bilamana Ridhwan Saidi buka tawaran untuk kontribut tulisan dalam litzin Kerja Tangan yang sedang diusahakannya. Setakat ini, Kerja Tangan sudah sampai ke isu 5. Dan esei aku bolehlah diintai dalam isu 1 dan 5 (boleh klik pautan di bawah untuk bacaan instan!).

Kerja Tangan Isu 1
Kerja Tangan Isu 5
CATATAN: Sambung tulis cerpen semula.

Monday, 13 June 2016

Bara/Mawar Layu di Kota Tokyo

Di balik topeng,
wajah menderita
sepi.

-Toshio Matsumoto, Bara no Sōretsu (1969)

(Kredit)
CATATAN: Bila ditanya apa filem Japanese New Wave kegemaran, tanpa ragu-ragu akan petik Bara no Sōretsu/Funeral Parade of Roses selain Death by Hanging (1968) dan Woman in the Dunes (1964).

Tuesday, 22 March 2016

Gerabak yang Menerobos Waktu

Stesen Potsdamer Platz, Berlin (2013)

AKU singgah ke Kritikus Sastera tempoh hari dan sebuah entri telah mencuri perhatian aku. Wan Nor Azriq ada menyebut dalam blognya itu bahawa manusia-manusia yang menaiki keretapi adalah mereka yang memilih untuk melengahkan waktu.

Semasa kecil dahulu, sering juga aku sekeluarga pulang ke kampung (di Pulau Pinang) dengan menaiki keretapi. Ya, perjalanan lapan ke sembilan jam dari Kuala Lumpur ke Butterworth adalah suatu perjalanan yang melengah-lengahkan, dan adakalanya melelahkan. Tetapi hal ini tidaklah terlalu dirasai oleh budak naif yang akan sentiasa teruja dengan pemandangan-pemandangan yang bergerak pada tingkap keretapi dan snek-snek enak daripada penjual yang berulang kali lalu di sepanjang koridor di dalam gerabak.

Itu kisah dari dalam keretapi.

Tetapi bagaimana pula dengan tren-tren di dalam bandar, seakan urat-urat saraf yang menyelirati jasad Lembah Klang ini? Masihkah kita mampu untuk melengahkan waktu? Mungkin ya. Atau mungkin tidak.

Semasa di Berlin beberapa tahun yang lalu, aku menyedari yang kebanyakan warga kotanya begitu pantas sekali berjalan. Sungguh bertenaga sekali langkah mereka. Terutamanya semasa dalam perjalanan menapak ke stesen-stesen metro (U-Bahn). Adakah mereka sedang mengejar waktu? Atau cuba lari dari waktu? Dan aku juga menyedari yang “urat-urat saraf” ini dibenam di dalam jasad kotanya. Interaksi manusia-manusia di dalam dengan persekitaran di luar tren mati. Jendela sudah tidak lagi berfungsi. Alam di luar gelita. Hitam. Yang ada pada cermin-cermin gelap itu hanyalah refleksi penumpang-penumpang yang padat di dalam gerabak. Mungkin sebab itulah hampir kesemua penumpangnya (ya, hampir kesemuanya!) memandang teks pada tapak tangan masing-masing -novel, akhbar tabloid, Kindle, etsetera etsetera. Mungkin bahan bacaan ini menjadi jendela baru untuk mereka lihat alam yang lain. 

Lain pula halnya dengan Kuala Lumpur. “Urat-urat sarafnya” menyelirat megah di luar jasad kotanya. Sepanjang berdiri di dalam LRT, mata aku berpeluang menangkap dari senibina Art Deco Pasar Seni dan moden Islamik Kompleks Dayabumi, ke Neo-Moorish Bangunan Keretapi Tanah Melayu, sehinggalah ke pascamoden “pucuk rebung” Menara Telekom semasa LRT sampai di Kerinchi. Tetapi hal ini bukanlah berlaku sepanjang masa. Kerana semasa LRT melalui Pasar Seni, kadangkala pandangan aku lebih tertarik pula ke arah Rumah Tumpangan Starlight. Tetapi benarkah dengan jalur landasan sebegini, mata kita akan sentiasa meliar ke luar tingkap?

Dalam sebuah cerpen Murakami, The Window, ada bahagian yang membawa kita duduk bersama watak protagonisnya di dalam tren.

"Ten years have gone by, but whenever I pass her neighborhood on the Odakyu Line I think of her and of her crisply grilled hamburger steak. I look out at the buildings ranged along the tracks and ask myself which window could be hers. I think about the view from that window and try to figure out where it could have been. But I can never remember."

Cerpen ini seolah tren yang meluncur laju di atas landasan nostalgia. Semasa tren yang dinaiki protagonisnya melalui bangunan-bangunan apartmen, melalui tingkap tren, matanya mencari-cari jendela apartmen wanita yang pernah dikenalinya suatu ketika dulu. Dan kita tahu, bukan jendela apartmen wanita itupun yang benar-benar dicari olehnya, tetapi momen-momen lampau. Alam di luar tren adalah sisi-sisi sunyi dan sentimental.

Dalam novelnya pula, iaitu Tsukuru Tazaki Tanpa Warna dan Tahun-Tahun Kembara ada menceritakan tentang protagonisnya yang begitu obses sekali dengan stesen keretapi.

"Melihat keretapi melalui stesen seperti itu ataupun mengurangkan kelajuan sedikit demi sedikit dan berhenti tepat di depan platform amat menggamit perhatiannya. Setiap kali itu berlaku, dia membayangkan para penumpang yang datang dan pergi, pengumuman yang bersiaran di stesen atau bunyi tiupan wisel semasa keretapi bakal berangkat, dan memikirkan gerakan kakitangan stesen keretapi yang seperti lipas kudung. Realiti dan imaginasi saling bertukar-tukar di dalam kepalanya dan tubuhnya bergetar akibat terlalu teruja dengan bayangannya itu. Minatnya ke atas stesen keretapi ini adalah sesuatu yang tidak pernah dapat dia terangkan kepada orang-orang di sekelilingnya."

Di dalam dunia pascamoden ini, keretapi seakan telah diberi nyawa. Dan diberi jiwa. Selain membawa warga kotanya dari satu titik ke titik yang lain, "makhluk mekanikal" ini akan membawa penumpangnya (yang dengan rela hati berhimpit masuk ke dalam perut besinya) ke suatu wilayah baru - wilayah bebas waktu.

Dan dalam Urban pula, tiga cerpen aku: ‘Subuh Tak Berembun di Seremban’, ‘Benarkah Kita Pernah Berjumpa di PJ?’ dan ‘Kota(k)uala Lumpur’ bergerak di dalam latar tren ini. Cerpen ’Subuh Tak Berembun di Seremban’ dan ‘Benarkah Kita Pernah Berjumpa di PJ?’ memang aku tulis dengan mengambil frasa “train of thought’ secara literal dan metaforikal sekali gus. Menaiki tren adalah antara cara aku mengejar ilham untuk menulis selain berjalan di sekitar Kuala Lumpur. Dan cerpen 'Kota(k)uala Lumpur' ini pula terinspirasi semasa aku merayau di tengah ibu kota lumpur ini pada suatu hari, sambil kotak fikiran aku juga merayau liar di dalam LRT. Waktu yang baik untuk romanticise segala apa tentang gerabak-gerabak yang memberi nyawa (dan jiwa) kepada kotanya ini.

Pada awal tahun ini, cerpen 'Kota(k)uala Lumpur' bersama dengan 19 cerpen daripada penulis-penulis lain telah dipilih untuk dimuatkan dalam buku Cerpen Terbaik 2015 terbitan Buku Fixi.

Cerpen Terbaik 2015 akan dilancarkan pada 2 April 2016
di Putrajaya International Convention Centre (PICC)
sempena Putraja International Book Fair 2016.

Sebagai pengguna tegar LRT (dari Wangsa Maju ke Kelana Jaya) dan tren-tren lain, mungkin patut aku tulis pula tentang senibina Kuala Lumpur yang mampu kita jengah dari dalam gerabak sepanjang laluan itu. Tetapi apakah erti senibina jika hanya mampu dijengah dari jauh?

CATATAN: Tambang LRT dari Wangsa Maju ke Kelana Jaya sudah naik pula. Celaka betul.

Monday, 21 March 2016

Pengenalan Puisi

Cameo T. Alias Taib, Usman Awang, Salleh Ben Joned dan lain-lain
dalam Mat Som.

Pengenalan Puisi
Oleh Billy Collins

Kusuruh mereka mengambil puisi
dan halakannya ke cahaya
seperti slaid warna

atau merapatkan telinga ke sarangnya.

Kuberkata lepaskan seekor tikus ke dalam puisi
dan lihat macam mana ia berkira-kira untuk keluar,

atau melangkah di dalam bilik puisi
dan meraba dinding-dindingnya demi suis lampu.

Kumahu mereka luncur
menyeberang di permukaan puisi
melambai kepada nama penyair di pantai.

Tapi apa yang mahu mereka lakukan
adalah mengikat puisi pada kerusi dengan tali
dan mendesak daripadanya sebuah pengakuan.

Mereka mula memukulnya dengan belantan
untuk mencari apa yang mahu ia sampaikan.

Terjemahan Azrin Fauzi

CATATAN: Dekatilah puisi dengan kasih dan sayang. Selamat Hari Puisi Sedunia!

Friday, 12 February 2016

Kebangkitan


Kebangkitan
Oleh Roberto Bolaño

Puisi menggelincir ke dalam mimpi
seperti seorang penyelam di dalam tasik.
Puisi, lebih berani daripada yang lain,
tergelincir dan tenggelam
ibarat besi
melalui tasik tak berpenghujung seperti Loch Ness
atau tragis dan keruh seperti Tasik Balaton.
Ambil kiranya dari bawah:
seorang penyelam
tak bersalah
dilitup helai-helai
hasrat.
Puisi menggelincir ke dalam mimpi
seperti seorang penyelam yang sudah mati
di mata Tuhan.

Terjemahan Azrin Fauzi

CATATAN: Jika puisi telah menggelincir ke dalam mimpi, selamatkah kita jika tergelincir ke dalam puisi?