Perempuan, Isteri dan... Salad


AKU habiskan novela The Vegetarian ini sambil makan salad Caesar. Dan apa yang boleh aku katakan, ini hidangan pertama daripada Han Kang yang aku jamah. Rasanya cukup serba-serbi.


Tentang Reaksi

Di bahagian pertama novela ('The Vegetarian'), kita melihat reaksi mereka yang lain-lain terhadap Yeong-hye. Kita nampak perubahan Yeong-hye dari mata suaminya. Kita nampak perubahan perempuan biasa ini (seperti kata suaminya, Mr. Cheong pada ayat pertama di halaman pertama lagi, “I’d always thought of her as completely unremarkable in every way.”) perlahan-lahan menjadi luar biasa.

Segala-galanya bermula saat watak protagonis kita ini mahu menjadi vegetarian. Atau mungkin segala-galanya bermula dari mimpi. “I had a dream.” -hanya ini yang diberitahu Yeong-hye kepada suaminya saat dia membuang semua makanan berdaging (termasuk susu dan telur!) dari dalam peti sejuk.

Mimpi-mimpi grotes mengalir di dalam tidur dengan darah. Berulang-ulang. Protagonis kita sudah tidak makan daging lagi untuk buang sifat kebinatangan dalam diri. Tetapi mimpi hadir lagi. Dan protagonis kita sedar yang ini bukan soal kebinatangan, tetapi soal kemanusiaan. Dan sebab itulah dia tidak mahu menjadi manusia lagi.

“Yells and howls, threaded together layer upon layer, are enmeshed to form that lump. Because of meat. I ate too much meat. The lives of the animals I ate have all lodged there. Blood and flesh, all those butchered bodies are scattered in every nook and cranny, and though the physical remnants were excreted, their lives still stick stubbornly to my insides.”

Menjadi lain dianggap sebagai suatu tindak rebel, bukan bebas memilih, atau yang lebih penting, bebas menentukan kehendak sendiri. Keganasan dari dalam mimpi Yeong-hye beransur keluar ke dunia nyata sehinggalah bapanya mahu menyumbat daging babi ke dalam mulut anaknya itu.


Tentang Obsesi

Ini bahagian yang paling berwarna-warni. Jika bahagian pertama telah dilambakkan dengan imej-imej merah berdarah (dan kadangkala buat aku loya), bahagian kedua ini ('Mongolian Mark') pula,  imej-imej bunga mula menjalar daripada imaginasi liar abang iparnya. Obsesi artistik dan seksual pembikin filem eksperimental ini sangat grotes dan sensual pada waktu yang sama.

"Her skin was a pale green. Her body lay prone in front of him, like a leaf that had just fallen from the branch, only barely begun to wither. The Mongolian mark was gone; instead, her whole body was covered evenly with the pale wash of green.

He turned her over onto her back. A dazzling light came from her naked body, making him squint, and he couldn't see the area above her breasts - as though the source of the light was somewhere around her face. He spread her legs; her thighs parted with an ease that could only mean she was awake. A green sap, like that which oozes from bruised leaves, began to flow out..."

Dari mata abang iparnya, imej-imej di bahagian ini menjadi jelas -sangat grafikal.



Tentang Penerimaan

Aku gemar dengan bahagian 'The Vegetarian' dan 'Mongolian Mark'. Penuh energi dan intens. Tetapi segala-galanya menjadi sedikit lemau bila sampai di bahagian ketiga ('Flaming Trees'). Di bahagian ini, aku sedar yang Yeong-hye masih lagi tidak diberikan suara oleh pengarangnya. Seolah Han Kang sengaja terus menutup ruang untuk watak ini meluahkan suara dan rasanya.

Mungkin kerana itulah watak utama novela ini begitu jauh sekali dengan pembaca. Kita tidak intim langsung dengannya sepanjang pembacaan. Watak ini sekadar diperhati sepanjang bahagian pertama; digilai sepanjang bahagian kedua. Dan di bahagian terakhir ini, Yeong-hye cuba difahami. 

Seperti kita, kakaknya, In-hye turut sama berusaha untuk cuba memahami akan perubahan Yeong-hye. Eksistensi pokok yang semakin marak di dalam tubuh gadis ini membuatnya terus lupa akan dirinya yang masih seorang manusia.

“Look, sister, I’m doing a handstand; leaves are growing out of my body, roots are sprouting out of my hands… they delve down into the earth. Endlessly, endlessly… yes, I spread my legs because I wanted flowers to bloom from my crotch; I spread them wide…”

Keadaan adiknya membuatkan kemarahan In-hye kepada pokok mula membara sehinggalah ke hujung novela, sewaktu dia merenung pokok-pokok di luar hospital -menagih jawapan.


Tutup Buku, Habiskan Salad

Ketiga-tiga bahagian ini, pada aku, boleh dibaca sebagai tiga “novela kecil” yang berbeza. Ketiga-tiganya terasing. Tiga bahagian berasingan dengan rasa berbeza. Menariknya, ketiga-tiga “novela kecil” ini seakan-akan Han Kang sengaja mahu menghidupkan rasa keterasingan seseorang (atau keterasingan yang dirasai Yeong-hye) yang sedang berhempas-pulas untuk berhubung dengan yang lain-lain.

Aku sudah malas nak ambil port perihal Man Booker International Prize (dan entah-apa-Prize lagi). Tetapi bila The Vegetarian sudah terbalikkan novel Orhan Pamuk pada tahun ini, aku tahu aku mesti sambar novel perempuan Korea ini lekas dari atas rak kedai buku.

The Vegetarian bukan sekadar tunjuk kepada kita stereotaip perempuan yang sering dianggap lembik dan layu seperti sayur. The Vegetarian bukan sekadar papar stereotaip isteri yang sering dianggap pasif seperti pokok. Novela ini tentang wanita-wanita Korea yang mahu mula tanam individualiti dalam diri. Dan mungkin itulah sebenar-benar hidup.


“To write is to endlessly question what is life, what is death, who am I." 
-Han Kang (dalam sebuah temubual)

CATATAN: Terima kasih Deborah Smith kerana telah keluarkan novela ini dari bahasa asalnya. Sekarang aku mahu sambar Human Acts pula.

Ulasan