Thursday, 14 November 2013

Merungkai Murakami: Ulasan Dua Novel

AKU mula kenal dengan tulisan Murakami melalui cerpen-cerpennya, bukan seperti kebanyakan pembaca lain yang membaca Murakami bermula dengan novelnya. Aku mula dengan after the quake. Aku suka. Kemudian The Elephant Vanishes. Aku makin suka. Kemudian Blind Willow, Sleeping Woman. Aku merasakan tulisan Murakami… eh, aku rasa, aku dah ke laut ni. Sepatutnya aku ulas dua novel beliau. Secara pukal.

Baiklah.


After Dark

After Dark
Berlaku dalam satu malam, melewati novel ini seakan melalui suatu fasa mimpi. Aku tenggelam dan dibawa arus -segala-galanya kelihatan jelas, amat jelas- sehinggalah aku terdampar di penghujung cerita, terpinga-pinga. Aku tutup novel ini. Lalu bertanya kepada diri sendiri, apa yang berlaku sebenarnya?

Atmosfera kota Tokyo pada waktu malam dihidupkan secara bersungguh-sungguh oleh Murakami. Generasi mudanya memeluk ketat-ketat apa yang datang dari barat - si pemain trombon Takahashi menggemari lagu 'Five Spot After Dark', manakala Mari pula melepak di Denny’s pada waktu malam, sambil membaca sebuah buku tebal. (Aku syak itu novel Rusia. Dostoyevsky atau Tolstoy, barangkali.)

Aku suka (sangat suka!) dengan elemen-elemen surreal yang dipaparkan dalam novel ini. Pertama, The Man with No Face” yang terpapar di skrin tivi (yang telah tercabut soketnya) di dalam bilik Eri. Gadis itu sedang nyenyak tidur, dikatakan “‘too perfect, too pure’ to be normal”. Berbulan-bulan masih tidak terjaga daripada lena. Memang nyenyak betul. Kedua, refleksi Mari yang 'tertinggal' pada cermin walaupun gadis itu telah lama beredar dari situ. Ini agak menggerunkan. Ketiga, suara lelaki dari telefon bimbit yang ditinggalkan di 7-Eleven. Kata suara itu, “You probably think you got away with it… But you can’t get away. You can run, but you’ll never be able to get away.” Bukankah itu sedang berlaku kepada watak-watak dalam novel ini? Masing-masing (terutamanya si pelacur Cina) sedang 'lari' dari 'sesuatu/seseorang' (yang mereka sendiri pun tidak tahu apa/siapa) dan menuju entah ke mana.

Seakan alegori kepada mimpi, bukan?

Mungkin... mungkin, apa yang berlaku di dalam 'dunia' Mari hanyalah mimpi kakaknya, Eri semata-mata. Mungkin.

Novel ini juga, secara tidak langsung, telah memperkenalkan Godard kepada aku. Dan aku semakin gemar dengan filem-filem Godard.


South of the Border, West of the Sun

South of the Border, West of the Sun
Aku hanyut dalam lagu 'Pretend' dan 'South of the Border' nyanyian Nat King Cole semasa melewati naskhah ini. Persoalan demi persoalan juga semakin memadat dalam kepala. Aku rasa persoalan-persoalan ini bukan memadat dalam kepala aku saja, malah dalam kepala Hajime. Apa yang telah berlaku kepada Shimamoto sebenarnya? Dan apa yang telah berlaku kepada Izumi?

Seperti biasa, Murakami akan melonggokkan persoalan-persoalan ini di hadapan pembaca sebelum dia cabut lari entah ke mana. (Hal ini yang kadang-kadang buat aku geram. Tapi aku suka.)

Hajime sudah berumah tangga. Dan mempunyai dua anak perempuan, dua bar jazz. Tetapi dia masih terikat dengan nostalgia bersama dua perempuan dari masa lampaunya, Shimamoto dan Izumi. Dan lelaki 30-an yang hidupnya dikelilingi perempuan ini semakin hari semakin buntu. Benarkah dia telah bertemu kembali dengan Shimamoto dan Izumi setelah lebih dua dekad mereka terpisah? Atau itu hanya ilusi Hajime semata-mata? Atau, atau, atau. Segalanya bergantung pada tafsiran pembaca.

Watak pemain piano di bar milik Hajime pula ada menyebut tentang filem Casablanca. Dan pemain piano itu mengingatkan aku kepada si negro Sam dalam Casablanca. “Play it, Sam. Play ‘As Time Goes By’," kata Ilsa kepada Sam. Ini filem kegemaran aku, Murakami! Oleh sebab itulah aku suka dengan novel kau ini. Eh! Dalam Casablanca, Rick tidak membenarkan Sam memainkan 'As Time Goes By' di barnya kerana itu akan mengingatkannya kepada Ilsa, kekasih lamanya. Samalah macam dalam novel ini. Pada suatu masa, di penghujung cerita, Hajime tidak membenarkan si pemain piano di barnya memainkan 'Star-Crossed Lovers' kerana itu akan mengingatkannya kepada Shimamoto. Wham!

Oh ya, tidak seperti After Dark dan novel-novel Murakami yang lain, novel ini tiada kucing. (Atau aku terlepas pandang?)


CATATAN: Membaca Murakami memberikan pengalaman membaca yang lain daripada yang lain. Jika kalian ingin mula membaca Murakami, dan tidak tahu hendak mula dengan yang mana satu, aku cadangkan dua novel ini. Mulakan dengan After Dark, atau South of the Border, West of the Sun. Dua-dua ini novel nipis (sekitar 200 halaman). Jika mahu menelusuri sisi surreal-gelap Murakami, baca After Dark. Jika mahu hanyut dalam sisi romantis-erotis Murakami pula, bacalah South of the Border, West of the Sun. Selamat membaca!