Tuesday, 29 December 2015

Jurnal: Entri 29/12/2015

"Mendengar muzik, anda tidak berenang bersama arus.
Arus itu adalah diri anda."

AKU baru sahaja selesai membaca sebuah novel slash jurnal.

Wan Nor Azriq telah memberikan diari Encik H kepada kita melalui D.U.B.L.I.N.; memberikan dompet yang sarat dengan segala resit, catatan, tiket parkir, etc. melalui Dompet Kulit Buaya; dan kali ini memberikan pula jurnal seorang pemuda (Azriq?) dari Alor Setar.

Jika Yeats telah membuat Shakespeare tersedak di dalam kuburnya dengan sajak 'Leda and the Swan', aku tidak tahulah apa yang orang tua berdahi luas itu akan rasa tentang Soneta Roda Basikal. Bentuk 14 baris soneta kini telah menjadi 14 tahun yang padat dan jauh. Menjauh menuju Proust. Tetapi tidaklah seletih berjalan di dalam D.U.B.L.I.N. Kerana Wan Nor Azriq telah memberikan basikal untuk kita kayuh menemui watak-wataknya di Kuala Lumpur, di Alor Setar, di dalam mimpi Poe Mahadi.

Mimpi Poe Mahadi. Aku lebih tertarik dengan mimpi-mimpinya berbanding catatan-catatan jurnal itu sendiri. Dunia Poe Mahadi nampak luas tetapi disempitkan oleh situasi-situasi janggal (sudah nama pun mimpi, kan?) dan ada kalanya mengerikan. Mungkin roh Edgar Allan Poe akan sejuk di dunia sana. 

Naratornya memilih untuk meraikan semua benda di seputar kewujudannya. Dan disebabkan itulah catatan-catatan jurnal ini penting untuk menarik kembali kita ke permukaan, setelah lama hanyut di dasar mimpi yang gelap Poe Mahadi. Di permukaan, barulah kita nampak matahari. Tetapi selama manakah kita mahu, dan mampu, melihat matahari?

“Kematian adalah anugerah untuk menikmati mimpi yang berpanjangan.”

Manual Penulisan Jalanan. Bagi aku, manual inilah yang paling jelas sekali dalam cubaan naratornya meraikan semua benda. Ianya sangat reflektif. Paling gemar dengan 'Mengumpulkan Tiket' dan 'Dengar Rakaman Suara Anda’. Siapa sangka sekeping tiket empat segi berkuasa menjadikan kita seorang penerima arahan yang patuh? Dan siapa sangka sebenarnya kita tidak mengenali pun suara kita sendiri?

Aku tidak menulis jurnal, mahupun diari, secara peribadi. Dan bolehlah dikatakan jarak aku dengan medium ini begitu jauh sekali. Tetapi Soneta Roda Basikal telah mendorong aku untuk meraikan sesuatu yang dipanggil “jurnal" ini, atau paling kurang pun, mendekatkan aku kepadanya.

“Jurnal dapat menjadi banyak benda: teks seni (Rilke), atau catatan idea (Barthes, Sontag), atau medan berfalsahah (Nietzsche, Cioran, Canetti). Surat sudah tidak penting pada zaman sekarang. Kita tidak berminat lagi hendak menulis untuk orang lain. Kita hanya hendak menulis untuk diri sendiri.”

Dan ya, Soneta Roda Basikal telah menjadi kesemua benda yang disebut tadi.

Mungkin aku akan kembali lagi kepada novel ini nanti, kerana bukankah "sejarah ialah roda basikal yang berputar"?. Cuma pada waktu itu, aku akan membaca sambil mengunyah biskut kering. Dan mencicip secangkir teh Sultan.

CATATAN: Teh Sultan memang sedap.

Sunday, 27 December 2015

Sajak-Sajak Ridhwan Saidi



ENTAH kenapa aku merasakan tahun ini adalah tahun aku kembali rajin mendampingi puisi. Kali terakhir aku menyelaknya -dengan penuh teruja- kira-kira dua tahun (atau tiga tahun?) yang lalu: The Romantic Dogs oleh BolaƱo. Kemudian hubungan aku dengan puisi terus dingin sehinggalah aku berlaga bahu dengannya kembali semasa menyelak akhbar Selangor Kini, sehinggalah aku dengan tidak semena-mena rakus menggali buku-buku T. Alias Taib, sehinggalah Ridhwan Saidi tiba-tiba datang dengan beberapa zine puisi pada tahun ini.

Hal ini buat aku lebih intrig.

Sajak-sajak Ridhwan Saidi adalah sajak-sajak phun penuh energi yang akan buat kau galak menyelaknya lagi dan lagi bila kau dah tak bernafsu dengan sajak-sajak lesu yang lain. Berikut antara sajak-sajak Ridhwan Saidi yang paling aku suka (daripada zine sajak.zip, spektrum dan kosmik domestik);


teroris

teroris datang lagi
sita imaginasi
dan cakera fikirmu
buku-buku dibakar
idea-idea dibasmi
mimpi-mimpi digeledah dan
dicabul agen supremasi
kala you nyenyak
dibuai realiti


skodeng

dari tingkap bilik
I teropong
diri you tanpa baju
sedang you asyik
di kosmos siber

di kosmos siber
you tatap asyik
aksi gersang I
tanpa baju
via tetingkap web


rempit

kita start sini
masuk rimbaud
masuk poe
masuk blake
balik ikut shakespeare

tukar!
kita mula dari sini
neruda
dante
rumi
dan patah balik ke sini
berani?


zodiak

cahaya purbamu sampai
berbilion tahun cahaya kepadaku
merentas vakum dan
doa-doaku akan kembali kepadamu
bila kuburku ghaib
berbilion tahun kemudian

jika kembara cahayaku sampai
          padamu waktu aku tiada
bermakna cahayamu sampai padaku
          waktu kau tiada
jadi kepada siapa doa-doaku dituju?

apakah kau, aku dan mereka
sebotol zat zodiak?


CATATAN: Sedang mengulang kaji zine 69 cara melarikan isteri jiran, juga tulisan Ridhwan Saidi.