Jurnal: Entri 29/12/2015
"Mendengar muzik, anda tidak berenang bersama arus. Arus itu adalah diri anda." |
AKU baru sahaja selesai membaca sebuah novel slash jurnal.
Wan Nor Azriq telah memberikan diari Encik H kepada kita melalui D.U.B.L.I.N.; memberikan dompet yang sarat dengan segala resit, catatan, tiket parkir, etc. melalui Dompet Kulit Buaya; dan kali ini memberikan pula jurnal seorang pemuda (Azriq?) dari Alor Setar.
Jika Yeats telah membuat Shakespeare tersedak di dalam kuburnya dengan sajak 'Leda and the Swan', aku tidak tahulah apa yang orang tua berdahi luas itu akan rasa tentang Soneta Roda Basikal. Bentuk 14 baris soneta kini telah menjadi 14 tahun yang padat dan jauh. Menjauh menuju Proust. Tetapi tidaklah seletih berjalan di dalam D.U.B.L.I.N. Kerana Wan Nor Azriq telah memberikan basikal untuk kita kayuh menemui watak-wataknya di Kuala Lumpur, di Alor Setar, di dalam mimpi Poe Mahadi.
Mimpi Poe Mahadi. Aku lebih tertarik dengan mimpi-mimpinya berbanding catatan-catatan jurnal itu sendiri. Dunia Poe Mahadi nampak luas tetapi disempitkan oleh situasi-situasi janggal (sudah nama pun mimpi, kan?) dan ada kalanya mengerikan. Mungkin roh Edgar Allan Poe akan sejuk di dunia sana.
Naratornya memilih untuk meraikan semua benda di seputar kewujudannya. Dan disebabkan itulah catatan-catatan jurnal ini penting untuk menarik kembali kita ke permukaan, setelah lama hanyut di dasar mimpi yang gelap Poe Mahadi. Di permukaan, barulah kita nampak matahari. Tetapi selama manakah kita mahu, dan mampu, melihat matahari?
“Kematian adalah anugerah untuk menikmati mimpi yang berpanjangan.”
Manual Penulisan Jalanan. Bagi aku, manual inilah yang paling jelas sekali dalam cubaan naratornya meraikan semua benda. Ianya sangat reflektif. Paling gemar dengan 'Mengumpulkan Tiket' dan 'Dengar Rakaman Suara Anda’. Siapa sangka sekeping tiket empat segi berkuasa menjadikan kita seorang penerima arahan yang patuh? Dan siapa sangka sebenarnya kita tidak mengenali pun suara kita sendiri?
Aku tidak menulis jurnal, mahupun diari, secara peribadi. Dan bolehlah dikatakan jarak aku dengan medium ini begitu jauh sekali. Tetapi Soneta Roda Basikal telah mendorong aku untuk meraikan sesuatu yang dipanggil “jurnal" ini, atau paling kurang pun, mendekatkan aku kepadanya.
“Jurnal dapat menjadi banyak benda: teks seni (Rilke), atau catatan idea (Barthes, Sontag), atau medan berfalsahah (Nietzsche, Cioran, Canetti). Surat sudah tidak penting pada zaman sekarang. Kita tidak berminat lagi hendak menulis untuk orang lain. Kita hanya hendak menulis untuk diri sendiri.”
Dan ya, Soneta Roda Basikal telah menjadi kesemua benda yang disebut tadi.
Mungkin aku akan kembali lagi kepada novel ini nanti, kerana bukankah "sejarah ialah roda basikal yang berputar"?. Cuma pada waktu itu, aku akan membaca sambil mengunyah biskut kering. Dan mencicip secangkir teh Sultan.
CATATAN: Teh Sultan memang sedap.
Ulasan
Catat Ulasan