Apa-Apa Tentang Metaskandal
(Bebelan yang dikutip daripada akaun Twitter @RealRomanBuku sewaktu saya menjadi kurator tempohari.)
Interior with Young Man Reading (1898), oleh Vilhelm Hammershøi. |
1. Ramai yang tidak tahu judul asal Metaskandal ialah "Outro Kaos". Bila Sufian Abas bagitau judulnya akan diubah kepada "Metaskandal" (diambil daripada salah satu judul cerpen dalamnya), saya OK saja.
2. Dalam erti kata lain, mungkin ia boleh jadi cara untuk kita jalinkan hubungan sulit dengan fiksyen. Atau mungkin tidak.
3. Melalui Metaskandal, saya mahu teroka ruang dan bunyi dalam fiksyen.
4. Bunyi: seperti dalam cerpen "Rfingk! Rfingk! Rfingk!", saya mahukan onomatopoeia (yang selalunya menjadi 'aksesori' dalam fiksyen) kali ini all-out dan gerakkan cerita sekali gus.
5. Ruang: ada ruang dalaman, ruang luaran, ruang peribadi, ruang awam. Ada juga ruang-ruang lain yang abstrak. Ada juga heterotopia.
6. Seperti cerpen "Kalau Bukan Fuko, Siapa?", terinspirasi daripada syarahan Michel Foucault (circa 1960), yang kemudiannya diterjemah ke dalam bahasa Inggeris, "Of Other Spaces: Utopias and Heterotopias". Cermin (salah satu daripada ruang heterotopia) menjadi titik-tolak cerita.
7. Heterotopia juga boleh jadi ruang yang merangkum kesemua cerpen dalam Metaskandal. Ia bukan utopia (jauh sekali). Bukan juga distopia.
8. 18 cerpen dalam Metaskandal dibahagikan kepada tiga: OUTRO, SOLO, KAOS. OUTRO: cerita yang bertitik-tolak dari ruang dalaman/peribadi. KAOS: cerita yang berlaku di luar sana. SOLO: apa-apa di antaranya.
9. Secara kasarnya, cerita-cerita dalam Metaskandal disusun dari sesempit-sempit ruang peti surat/almari/bilik/tandas sehinggalah seluas-luas dataran di tengah pesat ibu kota.
10. Ya, Metaskandal berlegar-legar pada skala kota kaos Kuala Lumpur ("Yang Lain"?). Di dalam kota, barangkali pusing-pusing pun kita akan terlaga bahu dengan orang yang sama.
11. Susah nak bercakap pasal inspirasi kerana saya mencerap (bukannya serap) apa-apa saja di sekeliling sebelum garap sesebuah tulisan. Boleh jadi filem yang ditonton. Boleh jadi muzik yang saya dengar. Boleh jadi apa-apa.
12. Seni rupa juga sering beri percik inspirasi sewaktu menulis. Untuk Metaskandal, antara hasil kerja yang selalu bermain di balik mata:
i. Grotesk Francis Bacon
Three Studies of Lucian Freud (1969). |
ii. Solitud dan sepi Edward Hopper
Hotel Window (1955). |
iii. Suram dan dingin Vilhelm Hammershøi
Interior (1899). |
13. Buku-buku bukan fiksyen yang dibaca sewaktu menyiapkan Metaskandal rata-ratanya berkait dengan senibina. The Image of the City juga menginspirasikan cerpen "Maya dan Sebuah Kota di Bawah Katil".
14. Beberapa minggu lepas berikan manuskrip Metaskandal kepada Wan Nor Azriq, kami berjumpa. Dan Azriq ada bagitau yang imej katil agak kuat dalamnya (watak yang duduk di bucu katil, renungan-renungan sambil berbaring di atas katil, etsetera etsetera).
15. Ya, mungkin ia muncul secara bawah sedar. Atau mungkin tidak. Kerana sebagai "pengarang horizontal" (yang hanya boleh menulis ketika berbaring atau meniarap), Metaskandal memang disiapkan sepenuhnya di atas katil.
16. Metaskandal dicipta di atas katil. Hidup di atas katil. Dan barangkali akan mati juga di atas katil.
17. Setakat ini belum tergamak lagi nak ambil foto sendiri sambil menulis. Tetapi cukuplah beberapa gambar ini untuk beri idea.
Vladimir Nabokov |
James Baldwin |
Marcel Proust |
Mark Twain |
CATATAN: Metaskandal akan dilancarkan sekali bersama dengan dua buah novel oleh dua novelis kegemaran kita semua, Di Kala Bulan Bermain Biola oleh Wan Nor Azriq dan Misteri Kem Motivasi oleh Hasrul Rizwan di MPH Nu Sentral, Sabtu ini, 2:00 petang. Jemput!
Ulasan
Catat Ulasan