Filem Lenyap Ditelan Rimba

The Blank Signature (1965), oleh René Magritte.

AKU beritahu mereka yang aku sudah tertonton Dukun di Facebook. Dan aku menyukai filem sulung Dain Said ini (walaupun benar filem ini tidaklah sebaik Bunohan). Ia masih berlegar-legar di sekitar bayang-bayang mistikal Nusantara. Johan Radzi kata Dain Said memang suka betul bermain dengan hal-hal mistikal Melayu ini; main puteri dalam Bunohan, ritual puak Tinggang dalam Interchange (dan ilmu hitam dalam Dukun). Aku menyetujuinya. Ia sesuatu yang dekat dengan kita tetapi terlalu jauh dari pemahaman (berapa ramai yang mahu memahaminya? Atau berani untuk mendepaninya?).

***

Sehinggalah Ali Aiman beritahu ada sebuah filem lama era studio tentang Borneo. Johan juga pernah terdengar akan kewujudannya. Tetapi mereka tidak mengingati judulnya.

***

Malam semalam, sewaktu membelek Memoir Hamzah Hussin untuk rujukan artikel filem yang sedang ditulis, aku fikir aku telah menemui filem yang dimaksudkan oleh Ali dan Johan itu:

      "Cathay Keris mula membuat pemindahan sebuah novel menjadi filem. Selama ini, Cathay Keris dan syarikat filem mengamalkan dasar plagiat dalam mengambil cerita untuk dijadikan filem cereka. Itu dilakukan sama ada daripada saduran filem Tamil, Hindustan, Cina, Inggeris atau lain-lain.
        Ho Ah Loke ingin membuat filem warna lagi, selepas selang lima tahun mengeluarkan filem Melayu warna yang pertama. Beliau mahu filem warna kali ini memuatkan bahan yang sesuai untuk pasaran filem dunia.
      Filem itu mesti bersifat Melayu tetapi ditonton oleh khalayak asing yang global dan mestilah karya asli.
      Novel karangan Harun Aminul Rashid (atau HAR) yang berjudul Cinta Gadis Rimba dicadangkan. Novel ini beliau tulis sewaktu bertugas sebagai pegawai pelajaran di Sarawak, dan mempunyai kisah cinta yang menarik suatu kemestian untuk filem cereka. Percintaan itu terjalin antara seorang pemuda Melayu dengan seorang gadis Iban dalam suasana alam semula jadi Sarawak yang indah.
     Untuk menawan pasaran dunia, filem ini mestilah dilengkapi dengan unsur exotic. Keadaan seperti mengayap dan keadaan kaum wanita Iban yang tidak menutup buah dadanya terdapat dalam novel Cinta Gadis Rimba. Pertimbangan ini menyebabkan novel itu difilemkan.
      Oleh kerana Dato' Loke Wan Tho dan Ho Ah Loke tidak begitu kenal dengan bahasa persuratan Melayu, tambahan pula novel Cinta Gadis Rimba dicetak dalam tulisan Jawi, maka terpaksalah skrip kasar novel ini ditulis dalam bahasa Inggeris.
     Lebih sembilan (puluh?) peratus filem Cinta Gadis Rimba digambarkan di Kapit, Sarawak, dengan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada mendiang Temenggong Jugah. Selepas melihat lokasi dan cara kehidupan Iban, produser Ho Ah Loke merasakan ada cukup bahan exotic yang dapat mengisi filem tersebut bagi dipasarkan di luar negara. Atas keyakinannya itu filem ini dibuat dalam warna Eastman, dengan L. Krishnan sebagai pengarahnya. Judul Inggeris filem tersebut ialah The Virgin of Borneo, tetapi pemasarannya di luar negara gagal sama sekali."

(Hamzah Hussin, Memoir Hamzah Hussin: 
Dari Keris Filem ke Studio Merdeka)

***

Kemudian aku mendapat tahu The Virgin of Borneo atau Chenta Gadis Rimba terbit pada tahun 1958. Setahun sebelum itu (1957), Malay Film Production dan Shaw Brothers telah terbitkan The Long House arahan Phani Majumdar; mengisahkan percintaan seorang pemuda Inggeris (lakonan Kenny Buchannan) dengan gadis Dayak (lakonan Luli). Juga dibuat di Kapit, Sarawak. Juga dengan warna.

***

Ah, setiap kali aku bertemu Ali Aiman dan berbual tentang filem (pernahkah kami berbual tentang hal-hal lain?), pasti kami akan mengeluh kerana filem-filem lama kita yang tidak dihidupkan seperti apa yang The Criterion Collection lakukan. Dan petang itu, kami tahu, The Virgin of Borneo atau The Long House (atau yang lain-lain pun) akan terus lenyap ditelan rimba.


CATATAN: Teh di Chat Masala petang itu seperti kurang sesuatu. Atau selalunya begitu?

Ulasan