Grotes Sebuah Gua


Filem bikinan Jamil Sulong (1959). Ada satu lagi filemnya yang teringin
saya tonton: Isi Neraka (1960).

YANG mengingatkan saya tentang folklor "Batu Belah Batu Bertangkup" pada awalnya bukanlah semata-mata gua yang menelan tubuh rajuk seorang ibu, tetapi lebih kepada apa yang diceritakan oleh ibu saya sendiri sebelum tidur ketika kecil dahulu. Pada waktu itu, keresahan - dan ketakutan - saya tidaklah bertitik-tolak daripada rinci-rinci ceritanya melainkan lebih menganggapnya sebagai 'amaran': agar tidak melukai hati ibu. Kerana dia boleh merajuk.

Sehinggalah saya tertonton kembali filem bikinan Jamil Sulong (1959), terutama 30 minit pertamanya. Tatkala anak perempuan si ibu mengambil beberapa helai rambut ibunya yang mengurai di luar gua; gua ini bukan sahaja 'menelan', yang membuatkan tubuh si ibu diperangkap di dalamnya, malah turut menghancurkan tubuh wanita itu (paling tidak kepalanya!) Suatu grotes yang yang tidak terjelma di mata - tetapi rasa.

Dalam cerpen ini pula, ada 'kebenaran' lain yang ditemui oleh protagonis kita dan (jiwa) si ibu tadi di dalam gua. Seakan gerak primordial segala disiplin. Yang berbalik kepada seni (lukisan-lukisan dinding) dan sinema (bayang bergerak) dan susastera (folklor) dan senibina (ruang primitif*) dan falsafah (alegori gua Plato) dan... wahyu pertama?

Bergantung pada apa-apa yang kauimani.

CATATAN: Tersedar yang kata grotes itu sendiri bergalur daripada grotto, bilik terdalam atau besmen di bangunan-bangunan purba Romawi yang menyimpan lukisan-lukisan dinding/mural bergaya grotesque. Grotto secara harfiahnya bermaksud gua.

*Tertarik bilamana Bernard Tschumi dekonstruk ruang primitif ini dalam rumah-rumah rekaannya.

Ulasan