Tulisan di Atas Tilam

Chantal Akerman dalam Je Tu Il Elle (1974).


Cerpen "Brutaniskala" dalam Mingguan Malaysia 7 Oktober 2018.

Cerita: Tentang seorang sarjana senibina yang terperangkap di dalam binaan Brutalis rekaan seorang arkitek buta (kebutaan arkitek ini barangkali bertitik-tolak daripada kata-kata Juhani Pallasmaa, yang menegaskan bahawa senibina bukan okularsentrik - seni yang tidak bergantung pada deria mata semata-mata.) Dan walaupun hanya ada dua watak yang terperangkap di dalam ruang ini, mereka tidak berinteraksi. Masing-masing hanya berinteraksi - atau berdialog - dengan ruang/senibina yang memerangkap mereka; "Betapa binaan tidak pernah berganjak daripada berhubungan dengan tubuh; senibina dan tubuh harus terus berdialog."

Imej dan lain-lain: Ditulis dengan semangat foto-foto hitam-putih yang berkersik dan suram, persis permukaan binaan konkrit Brutalis yang kasar dan selekeh. Tetapi kekasaran dan keselekehan itulah keindahan yang saya cari. Kerana ianya daripada foto, mungkin sebab itulah ruang yang memerangkap protagonis kita seakan telah membekukan waktu. Persis sekeping foto yang menghentikan waktu, memegunkan subjek di dalamnya. Boleh jadi imej sedia ada masa lalu atau imej yang direka, belum pernah ada. Dan kerana waktu itu relatif (hanya waktu protagonis kita yang terkesan), boleh jadi kesemuanya ialah tanggapan tempang protagonis kita sahaja terhadap binaan (antagonis) Brutaniskala ini. Atau segalanya sekadar pertelingkahan senibina dengan waktu?

Hanya arkitek buta yang tahu.

CATATAN: Sebuah lagi cerpen yang diseludup keluar dari Pulau Szago. Hampir sahaja ditahan sewaktu pemeriksaan pasport tetapi disebabkan pegawai imigresen itu sahabat kepada sahabat saya, sebelah mata boleh ditutup. Di pulau ini, membawa keluar sebarang cerita itu jenayah. Tetapi siapa kata kita tidak boleh melakukannya?

Ulasan