Jeanne Dielman Membunuh Rutin
NAMA Chantal Akerman terpacul sewaktu saya dan Ridhwan Saidi berbual (lebih kepada ketidakpuasan) tentang filem Hanyut (2012, tetapi ditayangkan pada 2016). Dan kerana saya sangat gemar akan La Folie Almayer (2011) bikinan Akerman, saya lanjutkan penerokaan filemografi pembikin filem dari Belgium ini dengan menonton Jeanne Dielman, 23, Quai du Commerce, 1080 Bruxelles (1975).
Saya sentiasa percaya slow cinema tidak akan membawa kita ke dalam filem, melainkan lebih kepada buat kita berada di dalam filem. Sedari awal lagi kita sudah pun bersama dengan protagonis, Jeanne Dielman (Delphine Seyrig) di dalam apartmennya. Kerana durasinya yang begitu panjang (3 jam 21 minit) dan diregangkan dengan tangkapan lama (long take), kita bukan sahaja sudah jelas dengan rutin Jeanne Dielman, malah sudah kenal dengan ruang-ruang di dalam apartmennya: bangun pagi, dia akan menggilap kasut anak lelakinya, Sylvain di dapur sebelum menjerang air dan bancuh kopi; kemas katil anaknya di ruang tamu; kembali ke dapur untuk basuh pinggan-mangkuk; kemas katil-sofa anaknya di ruang tamu; kembali ke dapur untuk basuh pinggan mangkuk; kemas katil di biliknya sebelum menghamparkan sehelai tuala di atas katil; balik dari beli barang dapur, kita akan meluangkan masa bersama dengan janda ini di dapur seraya menatap jari-jemarinya mengulit makanan sebelum bersiap-siap untuk keluar lagi; balik dari kafe, perempuan ini melacur di biliknya (dengan pelanggan berbeza setiap hari, waktu yang sama setiap minggu); membersihkan 'dosa-dosa domestik' di bilik air; makan malam bersama dengan anaknya di ruang makan yang terletak bersebelahan ruang tamu, selain mengait baju sejuk untuk anaknya itu; sebelum masing-masing bersiap-siap untuk tidur dan Jeanne Dielman kembali menyerahkan tubuh kepada rutin keesokan harinya. Tiga hari hidup Jeanne Dielman dirangkum dalam filem ini sehingga membuatkan kita dapat menjangka jadual hidupnya. Kita sebenarnya mengenali Jeanne Dielman lebih daripada anak lelaki itu mengenali ibunya.
Pada hari kedua, kita mulai sedar Jeanne Dielman sudah mula tergelincir daripada rutinnya tatkala kentang yang disediakan untuk makan malam nanti terlebih masak. Berjalan ke hulu ke hilir dari satu ruang ke satu ruang di dalam apartmen sambil membawa periuk, dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya dengan kentang itu. Kelembutan yang hangat, permulaan kepada suatu babak intens setelah kita dihadapkan dengan hidupnya yang mendatar, serba-serbi monotonous. Jeanne Dielman begitu taksub dengan aturan. Katanya kepada Sylvain Dielman (Jan Decorte), "Aku boleh saja buat kentang putar, tapi kita sepatutnya makan itu esok."
Benarlah Chantal Akerman bersungguh-sungguh mencipta hidup yang banal buat Jeanne Dielman (Atau kebanalan ini semacam renungan akan suatu aturan buat kaum ibu seperti yang telah ditentukan sekian lama?). Kerana kita melihat Jeanne Dielman berjalan di atas rutin dengan begitu berhati-hati dan terjaga seolah rutin ini sendiri yang sedang mengawal segala gerak langkahnya. Tetapi rutin seakan tidak mampu mengawalnya. Daripada judulnya yang deadpan itu sahaja kita tahu filem ini memang tentang Jeanne Dielman dengan apartmennya di 23, Commerce Quay, 1080 Brussels. Suatu bentuk hubungan manusia yang sudah terlalu akrab dengan ruang. (Sekali lagi, adakah ruang domestik yang mengurung kaum ibu ini semacam tanggapan akan apa yang telah ditentukan sekian lama?) Di dalam apartmen ini, Jeanne Dielman diberi kuasa untuk mengawal segala-galanya: dia mengawal hidup anaknya; dia mengawal bayi jiran yang dijaganya sebentar pada waktu pagi; dia mengawal rutinnya. Dan waktu sentiasa mengintai Jeanne Dielman dari luar apartmennya. Mungkin bilamana waktu mula sahaja menceroboh apartmennya (pada hari kedua), satu persatu perkara kecil berlaku, semacam suatu petanda: berus kasut terlepas daripada tangan; sudu/garfu terjatuh; bekas kaca yang menyimpan 'duit lacur' lupa ditutup; sebiji butang yang terlupa untuk dikancing. Sylvain ada beritahu ibunya akan sebiji butang yang tidak dikancing itu tetapi wanita iu seolah tidak ambil pusing. Kerana siapa anaknya untuk mengawal hidupnya?
Kita juga tidak nampak wajah jirannya kerana terlindung oleh pintu dan keberadaannya di luar apartmen (kerja kamera harus dipuji - sangat dipuji - atas syot ini) barangkali telah membebaskan dia daripada 'kawalan' Jeanne Dielman. Sebelum tidur pada malam hari kedua, Jeanne Dielman terkejut apabila diberitahu Sylvain bahawa dia tidak menghadiri sesi renang petang itu. Dan cerita-cerita anaknya itu berkenaan "orgasme" dan "pedang" dan "tujahan yang dalam" dan dan dan... itu juga mengejutkan Jeanne Dielman (dan kita!) akan apa yang dilakukan oleh anaknya itu sebenarnya di luar sana. Tambahan lagi, setiap kali pelanggan datang mahukan 'khidmat'nya, kita tidak tahu siapa yang mengawal siapa kerana Chantal Akerman membiarkan kita bersendiri membatu di luar bilik yang ditutup pintunya. Kita tidak jelas apa yang berlaku di dalam sana. (Perlukah kita ambil tahu?)
Di luar apartmen, Jeanne Dielman tidak mampu lagi mengawal, malah rutinnya sendiri. Dia berjalan dari kedai ke kedai tetapi satu pun tidak mempunyai butang baju yang dimahukannya, bagi menggantikan sebiji butang yang tertanggal-cicir daripada baju pemberian kakaknya dari Kanada itu. Jeanne Dielman pula (semacam sengaja) membaca surat panjang-lebar daripada kakaknya itu dengan nada yang mendatar sehinggakan Sylvain (dan kita) tidak jelas akan 'suara' kakaknya; dia benar-benar mahu mengawal persepsi kita terhadap siapa-siapa selain dirinya. Sewaktu syot di kafe (pada hari ketiga), kerana sudut kamera masih sama seperti hari sebelumnya, syot memaparkan Jeanne Dielman sudah pun jelas ‘ditolak’ keluar daripada rutinnya.
Jeanne Dielman di kafe pada hari kedua. |
Jeanne Dielman di kafe pada hari ketiga. |
Filem ini yang telah melambungkan nama Chantal Akerman (yang berusia 25 tahun ketika itu) di tengah-tengah khalayak sinema dunia. Usaha pembikin filem ini untuk bebas daripada sebarang aturan yang ditentukan oleh tangan-tangan lelaki juga dianggap radikal, memekatkan hawa feminisme dalam gerakerja pembikinan filem; daripada penerbit, penulis lakon layar, sinematografer, dan penyunting - kesemuanya wanita. Melainkan para pelakon anak lelaki dan tiga orang pelanggan (tetapi bukankah mereka juga di bawah telunjuk direktor wanita?) Digetirkan lagi pada syot akhirnya (pada hari ketiga) sewaktu Jeanne Dielman - dengan kesan darah yang terlihat pada bajunya - duduk di ruang makan menunggu anaknya pulang. Dalam tangkapan lebih 5 minit itu, kita turut sama menunggu dan menunggu dan menunggu. Menunggu apakah reaksi Sylvain kerana ibunya tidak memasak untuk makan malam pada hari itu. Menunggu apakah reaksi anak lelaki itu setelah mengetahui kecelakaan yang telah dilakukan oleh ibunya. Tetapi filem langsung tamat (cut to: black) sebelum anaknya pulang. Kerana ini bukan filem tentang anak lelaki itu. Ini filem Jeanne Dielman, yang baru sahaja membunuh rutin.
CATATAN: Selamatkah jika terus-menerus bertengkar dengan waktu?
CATATAN: Selamatkah jika terus-menerus bertengkar dengan waktu?
Ulasan
Catat Ulasan