10 Catatan Pendek Sesudah Filem Yang Panjang

MUNGKIN Lav Diaz mahu membekukan kesementaraan. Mula sa Kung Ano ang Noon (atau From What Is Before) bolehlah dikatakan filem pertama dari Filipina yang saya tonton. Dan boleh juga dikatakan filem slow cinema kedua yang saya hadap (sesudah Once Upon a Time in Anatolia; From What Is Before jauh lebih ekstrim dengan durasi 5 jam 38 minit).


1. Filem berputar di sekitar sebuah kampung di Mindanao sewaktu Filipina bawah diktator Marcos pada awal 1970-an.

2. 4 jam pertama sahaja kita hanya dibawa melihat ke sekitar kampung dan orang-orangnya. Sarat dengan long takes. Long take yang masih melekat dalam kepala saya: imej bukit bersemak yang landai, dari jauh, seorang perempuan penjual kuih perlahan-lahan muncul dari atas puncak menuruni bukit, kita menunggu, perlahan-lahan juga dia berjalan mendekati kita yang berada di bawah.

3. Mungkin niat Lav Diaz mahu tonjol betapa perlahannya progres di kawasan luar bandar pada era Marcos. Dan seolah-olah kampung ini tidak terkesan langsung dengan dunia di luar sana, dengan 'dunia' Marcos. (Tetapi benarkah?)

4. Kerana segala-galanya bergerak laju bilamana Marcos mengumumkan Proclamation No. 1081 (undang-undang tentera). Lalu kecelakaan pun berlaku tatkala tentera-tentera masuk ke kampung ini. Ironinya, kecelakaan sudah pun berlaku di dalam kampung ini (dalam durasi kira-kira 4 jam yang perlahan tadi)! Kekejaman tidak dilakukan oleh tentera. Kekejaman berlaku di kalangan penduduk kampung ini sendiri.

5. Saya terkesan (dan amat gemar) bilamana filem ini berakhir dengan kematian Horacio, seorang penulis. Seolah Lav Diaz mahu mengatakan jiwa filem ini pada teksnya; mati penulis, matilah filem, matilah sinema. Kita sedar akan hal ini apabila filem benar-benar tamat (cut to: black) tatkala mayat penulis itu dibakar, dihanyutkan ke sungai, keluar dari frame. Gelap.

6. Horacio keluar dari kampung, sudah mengembara seumur hidupnya. Tetapi memilih untuk mati di kampung sendiri. Dan kita tahu, Lav Diaz bukan semata-mata mahu penulis ini balik ke tempat asalnya (dalam konteks ruang) tetapi terus ke akar umbinya (dalam konteks waktu): Horacio memilih untuk diuruskan mayatnya cara Melayu (kuno) dengan dibakar dan dihanyutkan ke sungai.

7. Horacio pernah mengakui, dia suka dengan masyarakatnya (orang Filipino) sebelum kedatangan Islam dan Kristian. Dan sedari awal lagi kita sudah nampak peranan agama dalam filem ini.

8. Kedatangan Father Guido ke kampung itu sendiri semacam tidak membawa apa-apa peranan; agama tidak dapat membantu mereka. Malah Itang yang tidak sudah-sudah berulang-alik ke The Blessed Rock untuk berdoa kepada Kapre (makhluk mitos) agar adiknya, Joselina kembali pulih pun tidak dapat membantu.

9. Mereka yang utama dalam filem telah di'selesai'kan oleh Lav Diaz dalam sejam setengah yang terakhir. Ada yang mati, keluar kampung, dirogol, mati, mati, mati. Dan kita tidak tahu apa yang terjadi kepada Father Guido hingga ke penamat. Kita tidak tahu nasibnya. Kita tidak tahu halatuju agama dalam filem ini.

10. Selain imej-imejnya yang mencengkam, saya terkesan dengan bunyi-bunyian alam dalam filem ini: ombak, hujan, sungai. Dan Lav Diaz bersungguh-sungguh meraikannya. Ombak, hujan, sungai: semacam psyche penduduk kampung itu sendiri, atau warga Filipina keseluruhannya. Tidak hairanlah Horacio mahu bersemadi dengan sungai.

CATATAN: Saya, Wan Nor Azriq dan Ainunl Muaiyanah tonton filem ini di Content Malaysia Pitching Centre (kini Cinematheque@FINAS) anjuran Kelab Seni Filem Malaysia pada tahun lalu. Sebelum tayangan bermula lagi kami memang sudah nekad untuk tidak tinggalkan kerusi hingga habis tayangan. Pascatayangan, tinggal saya dan Ainunl dan beberapa kerat sahaja di dalam bilik tayangan. Menunggu Lav Diaz untuk masuk.

Ulasan