Homo digitalia
BOLEHKAH karya seni bernafas di luar galeri: ya dan tidak. Saya baru sahaja pulang dari sebuah pameran di Rumah AQL. Terus terang saya katakan, saya tidak berasa apa-apa. Menjadi perjalanan kosong di sekitar sarat imej seni. Yang sepatutnya - saya lebih rela - mengikuti perjalanan padat kalaupun berlegar di ruang kosong. Saya teringat akan narator dalam The Illogic of Kassel tulisan Enrique Vila-Matas, di mana sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam sebuah ruang kosong yang sepatutnya mempamer kerja-kerja seni:
"Faced with such emptying out I couldn't help but remember the Sunday morning a few years back now when they open the newly built museum of contemporary art in Barcelona (the MACBA) to the public with evident haste; they threw it open to the citizens, but without pictures, not a single painting or sculpture, nothing inside it. The people of Barcelona wandered through the museum admiring the white walls, the solidity of the construction, and other architectural details, proud of having paid for it with their taxes and telling themselves that the works of art could wait."
Benar, pameran "Virtue(al)" ini menjadi alternatif untuk "mendemokrasikan seni" (begitu murninya usaha ini) tatkala audiens duduk rumah merintang wabak. Tetapi tanpa Perintah Kawalan Pergerakan pun, berapa kerat yang ke galeri untuk menghayati karya-karya ini? Moga-moga pameran maya ini menjadi pemula, membuat audiens buka langkah kanan untuk apa-apa yang dipanggil Seni sesudah pandemik ini berakhir kelak. Dan moga-moga kita dikurniakan pula dengan "pendemokrasian ruang".
Sejak hujung bulan lalu, En. Jaafar Ismail selaku kurator tidak putus-putus berkongsi bahan-bahan pameran di laman media sosialnya (terima kasih!) dan daripada beberapa karya itu, selain imej-imej arca primitif lagi mistikal dengan warna-warna garang dan cerita yang mencurigakan oleh Tengku Sabri Ibrahim, seni digital bikinan Kamal Mustafa ini - seperti kerja-kerja seninya yang lepas-lepas - sentiasa buat saya berasa "tak senang".
The Bridge (2020), oleh Kamal Mustafa
The Bridge (2020) - memetik kata-kata Kamal Mustafa sendiri - ialah imej pegun yang "merayu" untuk digerakkan. Dan daripada gerakan (animasi) ini, ia menggerakkan persoalan-persoalan yang berlegar di sekitar sosiopolitik dengan beberapa komentar. Kelompok Homo sapiens peribumi (atau Bumiputera) yang keluar dari dalam tanah dengan tangga yang diturunkan dari atas buat mereka untuk bersama-sama melalui "Bridge 153" ini tanpa mengetahui hala tujunya. The Bridge ialah jambatan yang dibina oleh mereka yang di atas - menjadi aturan. Mereka yang mengikut jambatan atau 'aturan' menunduk menutup muka daripada melihat patung-patung atau buku-buku bertingkat atau 'idea' dari luar sana; perjalanan panjang hingga ke langit keramat. Pekat dengan nafas pesimisme, malah animasi yang - dengan sengaja - tidak diperhalusi ini mengimbau kepada teknologi proto-Millennium; semacam kemahiran atau ilmu yang - juga dengan sengaja - dikongkong dan dibantutkan (dalam konteks waktu karya ini dikerjakan). Sebelum kesemua mereka, walaupun telah pergi tinggi melangit, memilih untuk kembali ke asal tradisi kalaupun buruk (melalui peribahasa "seperti katak di bawah tempurung") dengan menyertai kelompok yang bersenang-senang di dalam gelap. The Bridge boleh jadi renungan yang mencelikkan; boleh jadi gerakan-gerakan daripada imej pegun yang menggerunkan!
CATATAN: Sepatutnya ke pameran "Sebegini Sebegitu: This Is, That Too" yang dilangsungkan bulan ini oleh Fergana Art.
Ulasan
Catat Ulasan