Memori, dan Bangkai Tak Tertanggung

Antara foto yang menginspirasikan Basuki Basri untuk Bangkai Tak Tertanggung.

MENGARANG cerpen "Otomemoria" (Dewan Sastera, Julai 2021) adalah untuk menyeni dengan memori dan kelajuan; mempertimbang jarak dan waktu dengan kematian. Mengarang cerpen ini adalah untuk saya melepasbebaskan memori. Membiarkan ia terbentuk sendiri.

Bertitik-tolak daripada sebuah catan Basuki Basri berjudul Otomemoria. Saya tertarik bagaimana sekeping foto yang diberi judul Bangkai Tak Tertanggung (turut difoto oleh Basuki Basri, dan konteksnya telah saya jelaskan dalam cerpen) menjadi sebahagian daripada catan dengan bahantara campuran ini. Imej-imej industrial (dengan segala kekerasannya) berpadu dengan sapuan gestural (dengan lembut lincahnya) daripada akrilik yang bertumpang tindih (superimpose) pada sebahagian besar permukaan kanvas seakan-akan kitaran, seakan-akan mengilusikan kelajuan (sebagai memori yang akan dan sedang dibentuk) dan getaran yang mengelilingi dan berbolak-balik daripada foto di tengah-tengahnya (sebagai memori yang telah terbentuk) yang turut menggantung tandatanya: di mana ia bermula? Tatapan turut mencari titik temu akhir dan mulanya. Yang buatkan saya lebih intrig akan interaksi imej-imej akrilik (daripada tindak melukis) dengan imej pegun dalam foto (daripada tindak menangkap gambar) ini ialah apa yang menghadirkan apa; kelajuan yang memegun atau pegun yang melaju? Sejujurnya saya tidak pernah menatap catan Otomemoria Basuki Basri. Garapan saya hanyalah berdasarkan memori seorang teman (seorang kurator) yang pernah menatap Otomemoria Basuki Basri. Semata-mata.

Untuk berkarya adalah untuk sentiasa bermain dengan bahaya. Sebagaimana memecut(kan kata-kata) itu juga memungkinkan suatu lagak berbahaya. Mengarang tidak pernah pun selamat. Tidak harus selamat. Kerana bahasa itu sendiri membahaya. Yang punyai sensasinya yang tak terbatas.

Sastera, malah apa-apa bentuk seni pun, tidak pernah punyai batas. Oleh sebab itu saya masih percaya dan imani akan kemungkinan yang mampu ditawarkan oleh fiksyen. Memori ialah fiksyen. Kerana untuk mengingat-ingat, ada yang direka-reka. Masih teringat-ingat akan kata-kata seorang pembikin filem Jerman, Werner Herzog bilamana dia (kurang lebih) mengatakan direktori telefon itu fakta lagi nyata, yang boleh kita tatap satu persatu nama dalamnya dengan tidak berasa apa-apa. Tetapi fiksyen ialah bilamana kita petik mana-mana nama dalam naskhah maha tebal itu, Encik Francis misalnya, lalu mula memikirkan adakah ia menangis sehingga membasahkan bantalnya setiap malam sebelum tidur? Atau apa dan bagaimana mimpinya malam itu? Begitulah. Cereka sentiasa menawarkan kemungkinan-kemungkinan. Untuk kita merasa. Meski dalam sesingkat-singkat waktu. Sesingkat-singkat lima minit yang lalu, apa yang sedang kita fikirkan sewaktu itu? Memori apakah yang sedang dibentuk ketika itu? Untuk mengingat-ingat tentang itu sahaja, menjadi memori lain yang sedang dibentukkan pada detik ini. Memori tentang memori. Memori dalam memori. Memori yang membentuk, meliuklenturkan memori dengan sendiri. Barangkali untuk terus hidup adalah untuk melupakan. Kerana hanya memori yang bergerak bersama-sama kita, dan memegunkan kita dalam menghadapi kematian. Kematian sendiri. Kematian bahasa. Tetapi salahkah, kalaupun bahaya, jika kita memilih untuk membangkai yang telah rebah dengan bahasa? Semata-mata untuk rebah ke dalam bahasa? Semata-mata.


Antara foto yang menginspirasikan Basuki Basri untuk Bangkai Tak Tertanggung.

A. Muziru Idham dalam ruangan “Kritikan Cerpen” (Dewan Sastera, Ogos 2021) berjudul “Menggeledah Eksistensialisme dalam Cerpen” ada menulis tentang cerpen "Otomemoria":


“Otomemoria”: Siapakah “Ia” yang Bergentayangan dalam Ingatan?


Membaca cerpen “Otomemoria” mengingatkan saya pada cerpen “Keturunan” oleh Sasterawan Negara (SN) Anwar Ridhwan yang dimuatkan dalam antologi cerpen eksperimental, LAQ. “Keturunan” ditulis sekitar 20 halaman, tetapi hampir tidak ada satu tanda noktah pun dalam cerpen tersebut! Begitu juga dengan “Otomemoria”, Azrin Fauzi menulisnya dengan hampir tiada noktah dalam penceritaan, sehingga membacanya terasa seperti membaca sebuah pengembaraan yang tidak pernah hendak singgah di mana-mana perhentian. Noktah dalam “Otomemoria” hanya wujud ketika “aku” ditahan oleh tentera yang membuat kawalan di tengah jalan, sebagai jeda seketika di tengah sekatan, kemudian menyambung semula perjalanan ke destinasi yang tidak difahami. Namun begitu, kekaburan dalam perjalanan ini memikul amanah untuk mencampak “ia” di mana-mana yang tetap memerlukan destinasi itu dicari walaupun dalam segala kecelaruan.


Cerpen ini digerakkan pada satu latar dan satu plot: di tengah jalan raya pada satu malam, “aku” memandu kereta dengan bacaan odometer pada 131 211 km untuk meninggalkan “ia” di mana-mana yang tidak diketahui oleh “aku” untuk ditinggalkan di tempat mana. Cerita yang bergerak dengan kesunyian dan ingatan terhadap galeri foto berakhir dengan tragedi apabila “aku” yang dihumban ke laut guram. Ya, guram yang bermaksud muram dan suram. Sehingga ke penghujung cerita sekalipun, bacaan odometer keretanya tetap pada 131 211 km.


Sudah tentu, cerpen ini ditulis dengan begitu mujarad, yang menyebabkan kita tidak akan segera memahaminya jika pembacaan kita sekadar sibuk untuk menggeledah makna. Tidak, cerpen “Otomemoria” tidak menawarkan makna sebagai telunjuk untuk memandu apa-apa pengharapan nilai hidup. Cerpen ini harus dibaca dengan menggeledah  sisi eksistensialisme (sebagaimana cerpen “Keturunan” Anwar Ridhwan) dalam diri supaya memori-memori pengembaraan mimpi dikenan kembali. Dengan suasana cerita yang penuh cemas dan menggusarkan, dengan latar sekeliling yang gelap, hanyir dan menggigit, kita barangkali dapat menerka kekunci cerita apabila Azrin menyebutkan tentang “senaskhah The Plague tulisan seorang pengarang yang mati kemalangan setelah kereta yang dipandu menabrak pokok” yang merujuk Albert Camus. Walaupun Camus tidak bersetuju dengan Sartre, Shestov dan Kierkegaard, tetapi pada akhirnya Camus tetap mempercayai bahawa manusia harus menghadapi absurdisme dalam kewujudan dirinya untuk mencari makna hidup yang dapat memberikannya kebahagiaan.


Absurdisme ini kelihatan dengan jelas dalam cerpen “Otomemoria”. Cerpen ini menggunakan perwatakan dari sudut pandang orang pertama, menyebabkan kita sendiri bagai berada dalam absurdisme penceritaan lalu kita perlu membuat pilihan untuk memilih kehidupan yang lebih baik di tengah-tengah kesunyian dan ketegangan yang gelap demi menuju ke suatu destinasi yang kita tidak pasti lagi. Tetapi dalam masa yang sama, kita tersangkut antara ingatan masa lalu dengan masa hadapan sehingga masa kini kita berada dalam ketidaktentuan.


Malah hingga ke akhir, kita terus tertanya-tanya siapakah (atau apakah) “ia” yang dimaksudkan dari awal cerita. Tetapi yang pasti, sewaktu kita merasakan perjalanan cerita itu sungguh panjang melalui malam pengap dengan suasana yang tidak nyaman, walhal sebetulnya daripada awal sehingga akhir cerpen, bacaan odometer pada kereta itu kekal menayangkan bacaan 131 211 km. “Otomemoria” bergerak sebagai sebuah ingatan yang bergerak dengan jungkar balik waktu, di antara masa lalu, masa kini dan masa hadapan sebagai suatu ikatan déjà vu. “Aku” digelisahkan oleh “amanah oleh suara daripada telefon bimbit yang telah kusimpan di dalam kompartmen tadi, persis suaraku yang tersimpan pada waktu-waktu begini” untuk meninggalkan “ia” di mana-mana, seolah-olah “ia” ialah suatu ingatan ataupun sebuah kenangan (atau barangkali suatu sejarah) yang harus ditinggalkan dan dibentuk semula demi membentuk sejarah yang baharu.


Membaca “Otomemoria” menjadikan kita seolah-oleh berada di antara dua persimpangan. Kita di antara simpang memori waktu lalu yang masih tajam menikam dalam kepala, dan kita cuba hendak membetulkannya semula demi membaiki memori yang lebih baik pada masa hadapan, lalu menyebabkan kita cuba sedaya upaya untuk menghapuskan memori tersebut pada masa kini.

CATATAN: Berasa puas dengan kritikan cerpen kali ini kerana tiada lagi label-label "eksperimental", "avant-garde", "absurd", "sureal", "realisme magis", "pascamoden", etsetera etsetera yang digunakan secara semberono apabila menyentuh cerpen saya.

Ulasan