Liuk Tubuh Dalam Dua Layar

 

Futej daripada Kucumbu Tubuh Indahku (2018).

Kucumbu Tubuh Indahku (2018) bikinan Garin Nugroho

Perjalanan mencari maskuliniti dengan seni (tari dan sinema, sekali gus buat kita) kerana Juno sejak kecil (Raditya Evandra) lagi sudah dihilangkan figura bapanya dek pembantaian 1965; dalam tidak sedar, coming-of-age ini dalam meruntuh dan membina semula apa yang dikatakan jantan (seperti yang disedarkan oleh guru tari Lengger di kampungnya tentang nama yang diambil daripada Arjuno dalam Mahabharata itu pun melambangkan kejantanan, menjadi semacam beban yang harus dibawa), meliuk-lenturkan gender dari kisah yang diadaptasi daripada hidup sebenar penari Lengger, Rianto. Kerana gender yang tidak duduk diam ini, juga kompas seksualiti yang tercari-cari arahnya, hidup Juno tidak tetap, beralih-alih dari satu kampung ke kampung yang lain. Dan peralihan ini dikembangkan dengan transformasi anak kecil ini mengenali layanan orang-orang di sekelilingnya, mengenali layanannya terhadap tubuhnya sendiri, sehingga menyedarkan yang dibawa kemana-mana itu: "Tubuhku rumahku." Dan bagaimana jari dan lubang ditangkap, ditayang dalam filem ini juga cukup menusuk. Kerja kamera Teoh Gay Hian, dengan komposisi dan pencahayaan yang kena untuk menarik mata kita ke situ, menjadi leitmotif di sepanjang filem. Daripada pertemuan pertama mata Juno ditusuk gerak tari Lengger seorang laki-laki berpakaian wanita menerusi lubang kecil di dinding, kepada "lubang kehidupan" isteri si guru tari, kepada jari yang menusuk kemaluan ayam betina yang akan bertelur, sehinggalah jari yang di/tertusuk jarum. (Segala-galanya dimainkan di sekitar leng yang bermakna lubang dan ngger daripada jengger iaitu balung ayam. Dan mainan ini pun semuanya untuk mata.) Kata si tukang jahit tua, "Percaya dengan mata, sambung dengan hati," sesudah Juno yang sudah dewasa (Muhammad Khan) mahir menyukat tubuh Petinju (Randy Pangalila) dengan hanya melihat untuk dibuat baju perkahwinannya. Pada babak seterusnya sewaktu menghantar bajunya yang telah siap itu di pusat latihan tinju, di mana Juno mengenakan pakaian pengantin perempuan, tidak terhenti di situ, kerana pengakuannya tidak pernah dipeluk itu sebenarnya mendesak gestur tubuh daripada si peninju untuk meruntuhkan maskuliniti tradisional ini di sebuah ruang konservatif. "Aku punyai pengalaman-pengalaman itu dalam tubuhku. Aku begitu pasti pengalaman itu yang membentuk sebahagian daripadaku," jelas Rianto dalam segmen-segmen yang memisahkan fasa hidup Juno, yang kukira bahagian yang memerihalkan tentang tubuh kalaupun renungan yang tajam, tetapi semacam terpisah dengan imej-imej dalam naratif Juno, sedangkan setiap satunya harus mengikat (kerana kisah ini terinspirasi daripada kisah hidupnya) sebaliknya dilihat tidak berkesinambungan, mencantas-cantas transformasi Juno yang aku kira perjalanannya dari satu tempat ke satu tempat itu dengan iringan lagu-lagu mendayu Mondo Gascaro itu pun sudah cukup lancar dalam menyambung perjalanan demi perjalanan. Perjalanan, baik yang sedang bergerak dengan Juno atau digerakkan oleh cerita Rianto, juga tidak terasa beban traumanya, tidak terserlah beban psikologi pada riak si penanggungnya. Walaupun sempat dilepaskan oleh si tukang jahit tua, "Tubuh mampu membawamu ke mana saja. Tapi tubuh selalunya membawa trauma... Tapi kamu harus cintai badanmu." Benarlah si pemeran mencintai badannya semahu-mahu, dan kata-kata sebelum itu, mati bersama-sama si tukang jahit tua. Berbalik kepada tubuh Juno di penghujung filem yang sudah siap sepenuhnya sebagai wanita, seolah-olah langsung menyerah kepada kata-kata perempuan yang berdiri di depannya, "Kamu akan sepi seumur hidupmu. Tubuhmu sepi. Apa pun kemenanganmu, kamu akan kalah." Membuat kita merenung kembali: adakah trauma itu bermula di sini? Kerana filem ini hanyalah paparan perjalanan mencari?


Masahista (2005) bikinan Brillante Mendoza

Rupa digital filem ini (entah mengapa mengingatkan aku kepada Lips to Lips bikinan Amir Muhammad pada 2000) benar-benar menangkap sengkeknya milieu batang-batang tubuh laki-laki muda yang terpaksa cari duit sebagai tukang urut - yang lebih menggetarkan - kepada laki-laki yang menagih kasih. Iliac (Coco Martin) bukannya seorang homoseksual (dia punyai kekasih biarpun berjauhan) tetapi ekonomi ketika itu yang memerosoknya, sehingga dipertemu dengan seorang novelis homo, Alfred atau nama manjanya "Marina Hidalgo" (Alan Paule) pada malam 14 Disember. Tetapi bukankah segala-galanya tentang pilihan? Masahista dibuka dengan degup jantung (dengan nama-nama yang menghidupkan filem ini), tentang hidup-mati, syot ke luar jalanan kota Manila dengan garis-garis neonnya: Iliac yang sudah kembali ke kota atau sedang pulang ke kampungnya? Bapanya telah mati. Dan aku gemar bagaimana syot-syot anak muda ini sewaktu memberi khidmat kepada pelanggannya di dalam bilik rumah urut dijukstaposisi dengan bagaimana dia melayan jasad tak bernyawa bapanya di bilik mayat; untuk berhadapan (membelakangi, sebenarnya) dengan tubuh tanpa cinta, untuk menghadap tubuh dengan cinta. Bergerak sedikit ke belakang, bagaimana pada awalnya dia menanggalkan pakaian pelanggannya disandingkan dengan bagaimana dia menyarungkan pakaian (yang dipilih dan dibawa oleh ibu dari rumah) kepada tubuh bapanya (yang dianggapnya selama ini tidak berguna). Dan syot-syot dingin ini seolah-olah merenjat langsung tangan si pembikin dengan ketar kamera yang ingin memberitahu: "Ini filem debut aku." Sehingga segala-galanya, kalaupun tidak sepadan, mengena seadanya. Sepertimana sepasang selipar yang tidak sepadan (dua warna berbeza) yang dipaparkan dalam syot-syot awal di rumah urut (betapa tidak teratur hidup mereka serba-serbi) dikenakan dengan babak Iliac menemui sesuatu di dalam bilik bapanya: kertas-kertas yang dipotong mengikut bentuk dan saiz telapak kaki anak-anaknya, termasuk dirinya (betapa orang tua ini sebenarnya sudah mempersiap anak-anaknya untuk berjalan di luar sana). Daripada kaki urut yang menghidupkan, yang memberinya makan, kepada kaki mati yang dipersiap untuk dikebumi, yang diakhiri dengan tangisan akan hubungan yang tidak sempat siap, filem pertama Brillante Mendoza ini meliuk ligat seimbang, tidak tempang.


CATATAN: Hanya setelah menonton Sell Out! (2008) aku menyedari yang dua filem lain dalam slot "Open Door Screenings" Festival Filem Locarno 2020 ini bergerak - dan digerakkan - dengan tubuh. Pengalaman berhadapan dengan Sell Out! ialah pengalaman lain; pengalaman yang mengejutkan dan yang paling melucukan (riuh luar dan dalam) di mana pertama kalinya menghadap ketelanjangan depan (frontal nudity) dalam sinema Malaysia! Mujur hanya dalam dua tiga detik kerana percayalah, kau tak ingin merenungnya lama-lama.

Ulasan