13 Novela 2018



KERANA kita sudah pun jelas tentang apa yang dikatakan sebuah cerpen, apa yang dikatakan sebuah novel; bagaimana pula dengan novela? Adakah urat cerpen yang diregang sehabis-habisnya sehingga sering sahaja berdenyut seperti sebuah novel?

Daripada seleksi beragam ini - daripada yang paling pulp sehingga yang paling serius, paling falsafi; yang paling Latin Amerikana sehingga yang paling Nusantara, paling Malaysiana; yang paling konvensional sehingga yang paling eksperimental; dulu-dulu sehingga kontemporari - antara yang terkesan, yang di(ulang)baca pada tahun ini:


The Stranger, oleh Albert Camus

Untuk tahun kedua aku mengulang bacanya: "Ibuku mati hari ini." Siapa yang tidak terpikat untuk meneruskan pembacaan? Meursault terasing di tanah Algier (dia orang Perancis); terasing dengan emosi (dia tidak menangis atau berasa sedih pada hari kematian dan pengebumian ibunya); terasing dengan agama (dia tidak mempercayai tuhan); dan kerana terasing dengan norma orang Perancis di tanah Algier, dia diasingkan ke dalam penjara sebelum diasingkan terus dari dunia. Nah, beginilah kebogelan manusia mendepani Absurd!


The Postman Always Rings Twice, oleh James M. Cain

Aku tidak sangka novela yang kubaca sewaktu di sekolah menengah ini dulu perlu kubelek kembali, gara-gara filem Buai Laju-laju bikinan U-Wei Haji Saari. Novela ini juga dikatakan memberi percik inspirasi buat Albert Camus dalam mencipta The Stranger. Gerak ceritanya pantas. Sehingga buat kau tidak cukup nafas. Pulpish penuh energi yang akan kautemui dalam novel-novel awal terbitan Buku Fixi.


Bukan Pasarmalam, oleh Pramoedya Ananta Toer

Novela yang tidak jemu-jemu kujengah setiap tahun ini masih memberikan semacam kesayuan setiap kali membacanya. Betapa Pram benar-benar mendakap kematian. "Dan terasalah olehku betapa gampangnya orang yang hidup dalam kesengsaraan itu kadang-kadang - dengan diam-diam - menikmati kebahagian."


Tivi, oleh Shahnon Ahmad

Hanya setelah sepuluh tahun berenggang, dan mengulang baca untuk kali kedua, baru tersedar yang ia sebenarnya sebuah komedi gelap yang genius. Agama yang ditindih oleh hiburan (ada seks yang terhimpit antara keduanya) sehingga tunggang-terbalik satu keluarga! Membacanya seolah-olah aku sedang mendengar pakcik dari utara bersembang dengan keloloh yang bukan main nakalnya. Sampai sekarang masih tertanya-tanya entah apalah sebenarnya yang dibuat Chah di Sungai Petani itu: benarkah buat skru?


Sampah, oleh Shahnon Ahmad

Cerita seorang pengemis yang seharian di TLK (tempat letak kereta?) digarap Shahnon seminimal mungkin; eksistensial di satu sisi, fenomenologikal di satu sisi. Persis longkang yang tersumbat sampah, ia bertakung dengan hal-hal kewujudan, keperitan, dan kematian. Sebelum mengalir deras menghempas keabadian.


Larasati, oleh Pramoedya Ananta Toer

"Apa gunanya berbohong di dunia ini? Kalau yang benar harus dinamai bohong." Aku mengambil naskhah ini pada mulanya hanya kerana menyangka naratifnya berlingkar di balik tabir sinema (cerita-cerita tentang gerakerja filem akan sentiasa mengujakan aku). Tetapi yang ini lain. Kita tidak nampak bagaimana Larasati/Ara menyalurkan kerja seni ini kepada perdjoeangan nasional. Kerana apa yang di belakang tabir kekal di belakang, dia terus ke depan bersama dengan "manusia-manusia kecil" yang lain - demi revolusi.


Perangkap Hitam, oleh Ahmad Rashid Talu

Ada beberapa karya daripada penulis Pulau Pinang yang telah aku baca (Aci Patmabi, antaranya) tetapi harus kita akui: kunci kota George Town atau Tanjung ada di dalam laci Ahmad Rashid Talu. Benar, ada beberapa perkara yang tidak konsisten (umur anak Cik Sofiah, misalnya) dalam naratifnya tetapi aku tidak melihatnya sebagai kekhilafan pengarang semata-mata melainkan betapa ligat dan rancaknya perkembangan galaksi Gutenberg di Pulau Pinang pada awal abad ke-20 itu. Penulisan dan penerbitan begitu deras sepertinya pulau ini tidak cukup tanah. Dan selain kisah-kisah gelap pelacur kelas atasan, aku kira Ahmad Rashid Talu benar-benar telah mencengkam semangat Pulau Pinang itu sendiri: metropolitan George Town dan makanan yang boleh kita tinjau dan jamah hingga ke hari ini.


Chronicle of a Death Foretold, oleh Gabriel García Márquez

Misteri pembunuhan yang dipersembahkan secara pseudojurnalistik oleh si narator, yang bukanlah tentang whodunnit kerana sedari awal lagi kita sudah pun diberitahu: Santiago Nasar dibunuh oleh kedua-dua orang abang kembar Angela Vicario. Meski segala-galanya telah diberitahu dari halaman pertama (malah rata-rata penduduk kampung juga telah tahu tentang maut yang akan menjemput lelaki malang itu) tetapi apa yang ingin kita ketahui: mengapa dan bagaimana? Kepulangan si narator ke kampungnya untuk menggali kembali kes pembunuhan yang telah pun membusuk lebih 20 tahun itu tidaklah membuatkan kita makin mengetahui hujung pangkalnya. Semakin diselak, semakin tidak nampak apa-apa. Tetapi ia telah berlaku. Atau benarkah...?


Stereo Genmai, oleh Ridhwan Saidi

Tahun kita membuka semula novela ini - semata-mata kerana Teater Normcore: Stereo Genmai arahan Ridhwan Saidi sendiri. Stereo Genmai sebetulnya ialah naskhah yang diseludup keluar dari kontinuum konsumerisejarah di dasar bawah sedar kolektif warga Kuala Lumpur, sebelum Ridhwan melumurkannya dengan "syampu 3-dalam-1" (meminjam kata-kata Delia); cuma yang ini dengan sinema, senibina, dan susastera. Membaca tulisan-tulisan Ridhwan yang tipis - terutamanya novela ini - sering sahaja menggemukkan fikiran. Dan kegemukan ini tiada kena-mengena dengan gawat konsumerisme, ya. Kegemukan ini sesuatu yang menyihatkan.


Fever Dream, oleh Samanta Schweblin

Setelah baca cerpen Schweblin yang ini, langsung aku menyambar novelanya dari rak BookDepo. Tidak boleh lagi ditahan-tahan. Cerita yang digerakkan hanya dengan perbualan. Bahasanya sendiri mengalir mudah dan naif dek perbualan dengan seorang budak. Cerita dengan kekaburan (memori) di sana sini; ambiguiti yang menderaskan lagi nafas horornya. Tetapi bukan semata-mata cerita, kerana teknik, gaya, dan bentuknya turut menghidupkan (membangkitkan?) alam yang lain itu.


The Invention of Morel, oleh Adolfo Bioy Casares

Hanya dua sebab aku membaca novela ini: 1. Pengarangnya teman rapat Borges; 2. Filem Alain Resnais kegemaranku, Last Year at Marienbad (1961) dengan naratif yang dikatakan terinspirasi daripadanya. Kita pun tidak tahu apa yang sebabkan protagonis kita lari dari Venezuela sampai ke pulau terpencil lagi misterius ini. Pergelutan paranoia dan kuriositi di bawah terik dua matahari, yang menemukan protagonis kita - dan kita! - dengan sebuah ciptaan maha dahsyat: realiti di depan mata atau realiti dalam kepala?


Confessions of a Mask, oleh Yukio Mishima

Sebuah lagi novela dengan obsesi terhadap kematian (tubuh laki-laki). Dan tubuh laki-laki ini akan terus diseksa dan disadiskan lagi - hidup dalam kepala protagonisnya. Barangkali ini juga potret diri Mishima (aku yakin!) Menyelak helaian demi helaian naskhah ini persis menyelak topeng Mishima sendiri yang berlapis-lapis. Apa-apa pun, dia telah buat pengakuan demi pengakuan dengan fiksyen dan kita diberi kebebasan - dengan imaginasi - untuk percaya mana-mana fiksyennya.


My Two Worlds, oleh Sergio Chejfec

Novela daripada pengarang yang berjalan buat pengarang yang berjalan. Wan Nor Azriq memberikan novela ini kepada aku dengan hanya dua kata: cuba baca. Untuk pengarang seperti Azriq di mana sastera dunia sudah pun terhampar di belakang langkahnya, barangkali bukanlah sepanjang masa aku berjalan, kerana kadangkala aku termengah-mengah berlari mengejar pengarang yang berjalan!


CATATAN: Ada beberapa lagi novela yang sengaja dibawa ke tahun depan untuk dibaca; César Aira dan Abdullah Sidek, antaranya. Sementara Asleep in the Sun pula dalam perjalanan ke rumah.

Ulasan