Krasznahorkai, dan Tulisan yang Bertari dengan Syaitan

Kepulangan Irimiás ke kampungnya dalam Satantango (1994).

MALAH tiada sesiapa pun yang sanggup untuk kembali ke desa terpencil di ceruk Hungary ini – melainkan pembaca sendiri dan Irimiás, lelaki yang membawa sekali maut yang terpalit pekat pada tubuhnya masuk ke kampung yang sudah sedia mati. Atau mungkin saya tersilap kerana satu-satunya yang hidup di kampung ini ialah kematian itu sendiri.

Kematian dan sastera bukanlah pasangan yang asing. Tubuh teks sering sahaja dilihat tegap apabila berdenyut dengan kematian, kadangkala hadir dengan wajah malapetaka – tulisan-tulisan László Krasznahorkai tidak terkecuali di mana malapetaka sentiasa menunggu pembaca di balik halamannya. Cuma sebelum menemuinya dalam novel Satantango, kita dipelawa untuk menari dahulu dengan syaitan-syaitan yang menghuni perkampungan estet ini. Barangkali membuka langkah pertama dengan Futaki:

Suatu pagi di hujung Oktober tidak berapa lama sebelum rintik pertama hujan musim luruh yang maha panjang mula menitis di atas tanah masin merekah di bahagian barat estet (lalu lumpur kuning yang berbau akan membuatkan laluan tidak dapat dilalui dan menjadikan pekan tidak tersampai) Futaki terjaga dek gema genta.
(Krasznahorkai, 2013:3)

Krasznahorkai dengan sengaja mempelawa kita untuk masuk ke dalam dunia novelnya ini pada musim luruh di mana cuaca mulai sejuk dan hujan pula tidak pernah putus; menghidupkan atmosfera dan emosi yang dingin (walaupun adakalanya tawa merekah juga pada sisi-sisinya yang komikal). Ayat pertama novel ini juga bukan sahaja memaparkan dunia yang terpencil dan terpinggir, dengan jalan-jalannya yang berselut itu langsung memisahkan kawasan ini dengan yang lain-lain malah turut – sepertimana selut atau lumpur yang melecah di sepanjang laluan kampung itu – menggambarkan perjalanan watak-watak yang bernafas di dalamnya sekeruh mungkin. Langkah kita akan bersilang dengan suami isteri yang bertukar-tukar pasangan, anak-anak perempuan yang menjual tubuh, guru yang tidak mengajar, doktor yang tidak lagi merawat sebaliknya menjadi alkoholik dan perokok tegar serta gadis kecil yang menyeksa dan membunuh kucing hanya ingin merasakan dirinya besar dan berkuasa.

Kita fikir langkah kita telah jauh bilamana kita tercungap-cungap semasa lidah ligat menari di atas ayat-ayatnya yang panjang tetapi waktu sedari awal lagi sudah memasung kaki kita di dalam sebuah bar yang disarati sarang labah-labah, bersama dengan syaitan-syaitan yang sedang mabuk menari. Selain hujan yang dilihat menindas, waktu juga tidak terkecuali. Tatkala Futaki melihat bayangnya di jendela, “dia merasa apa yang hujan lakukan kepada wajahnya sama seperti apa yang waktu akan lakukan. Ia akan melenyapkannya.” (Krasznahorkai, 2013:13) Memandang cerita dari pelbagai perspektif seringkali melesapkan sebilangan serpihan. Jika anda seperti labah-labah di dalam bar itu, mungkin tidak rumit mengait bebenang halus untuk menghubung serpihan situasi yang telah diselerakkan (atau diatur kemas) oleh Krasznahorkai ini. Tetapi jika anda harapkan sarang ini memerangkap mesej-mesej yang akan melekat padanya, itu tidak akan berlaku.
            
Benar, membaca tulisan Krasznahorkai adalah suatu kerja yang melelahkan. Setiap bab dibentuk daripada hanya satu perenggan dengan ayat yang tidak putus-putus. Prosanya anjal, ibarat getah yang diregang sepanjang mungkin dan sepanjang itu jugalah akan kita dengar gema getaran tak berkesudahan bilamana ketegangannya menghiris lidah angin.
            
…dan hujan pun turun lagi, sementara di timur, sekilas ingatan, langit mencerah, merah menyala dan biru pudar terlentang di kaki langit yang beralun, diikuti dengan matahari, seperti pengemis yang termengah-mengah ke tapaknya di tangga kuil, disaratkan dengan duka dan sengsara, bersedia untuk mendirikan dunia bayang-bayang, memisahkan pohonan dengan yang lain-lain, agar bangkit daripada kebekuan, kekeliruan seragam malam di mana pohon-pohon ini kelihatan telah terperangkap seperti lalat-lalat pada sarang lelabah, sejelas-jelasnya memaknai bumi dan langit dengan manusia dan binatang yang dapat dibezakan, kegelapan masih tergantung di sisi-sisi lain, nun jauh di kaki langit barat, di mana gentar yang tak terkira banyaknya itu lenyap satu per satu umpama tentera tewas yang terdesak, keliru.
(Krasznahorkai, 2013:47)

Barangkali tanah Hungary terlalu jauh dan tidak tercapai oleh telinga kita untuk mendengar ayat percakapan warganya yang pendek-pendek dan terus. Tulisan Krasznahorkai dikatakan menjadi tindak menentang bahasanya sendiri. Pengarang ini secara depan-depan ingin bercakap kepada kita – agar tidaklah kekok untuk kita menari bersama-sama wataknya – kerana dia sering merasakan dalam percakapan sebenarnya tidak pernah wujud pun noktah melainkan jeda… dituruti dengan ayat-ayat seterusnya yang mengalirkan fikiran. Seakan ingin mengatakan noktah bukannya milik kita, ia milik Tuhan; ‘menoktahkan’ itu sendiri kerja Tuhan.

Nama László Krasznahorkai berdiri di hadapan dunia pada layar yang memainkan filem-filem Béla Tarr sebelum novel-novelnya sampai ke tangan kita lagi. Novelis ini sering berkolaborasi menulis lakon layar untuk hampir kesemua filem Béla Tarr. Malah pembikin filem itu telah mengadaptasi beberapa novelnya ke layar perak: Satantango (1994) dan Werckmeister Harmonies (2000), masing-masing diambil daripada novel Satantango dan The Melancholy of Resistance. Filem Satantango yang diadaptasi secara langsung itulah yang benar-benar mengejutkan khalayak sinema kerana berdurasi sekitar 7 jam!

Hanya setelah The Melancholy of Resistance dan War and War diterjemah ke dalam bahasa Inggeris (masing-masing pada tahun 1998 dan 2006) barulah nama novelis ini melompat ligat dari bibir ke bibir khalayak sastera dunia. Dan penganugerahan Hadiah Antarabangsa Man Booker kepadanya pada tahun 2015 pula serta-merta meruntuhkan tembok yang menyempadani sastera Hungary dengan kita semua.

James Wood dalam eseinya yang berjudul “Madness and Civilization” menyatakan: “Krasznahorkai terang-terangan begitu tertarik dengan kiamat, pendedahan yang terpecah-pecah, mesej yang tak terungkai.” Pada waktu itu, kritikus ini belum lagi membaca Satantango kerana novel ini belum diterjemah ke dalam bahasa Inggeris (sememangnya kita terhutang budi dengan George Szirtes, penyair Hungary yang telah membawa keluar naskhah debut Krasznahorkai ini daripada bahasa ibundanya). Tetapi kita menyedari yang ketiga-tiga elemen ini turut terlekat kuat dalam Satantango. Kerana “kita selalunya tidak tahu apa yang menggerakkan cerekanya”, dia turut menganalogikan tulisan Krasznahorkai seperti melihat sekumpulan manusia yang berdiri mengelilingi sesuatu di tengah dataran sebuah kota. Tambahnya lagi, “Kumpulan manusia itu seperti sedang memanaskan tangan mereka ke arah unggun api, hanya kita ketahui sebaik sahaja menghampiri mereka, yang apinya tiada, dan mereka tidak mengelilingi apa-apa.”

Atmosfera misteri yang sama kita alami sewaktu mendepani Satantango. Dan enigma ini bergentayangan di hadapan kita sedari halaman pertama lagi sewaktu watak Futaki yang dikejutkan oleh gema genta yang tidak diketahui dari mana datangnya. Kerana “yang paling terdekat pun mungkin datang dari satu-satunya gereja kecil kira-kira empat kilometer ke barat daya di estet lama Hochmeiss tetapi bukan sahaja ia tiada genta malah menaranya telah runtuh sewaktu perang dahulu dan dalam jarak itupun ia terlalu jauh untuk didengar.” 
(Krasznahorkai, 2013:3)

Enigma ini seakan rentak yang terngiang-ngiang sehingga kita menyertai penduduk kampung menari tango dalam kemabukan di sebuah bar sebelum kepulangan Irimiás yang disangka mereka telah mati 18 bulan sebelumnya. Bab-bab dalam bahagian pertama novel ini mengingatkan kita kepada tulisan Samuel Beckett; mengocak suasana ketidakpastian tetapi teruja untuk bertemu sosok yang menyerupai Godot. Walaupun sosok (Irimiás) ini tiba juga akhirnya, ketidakpastian dan keterujaan ini terbawa-bawa ke bahagian kedua, persis pengharapan suram seperti dalam tulisan Franz Kafka.

Irimiás datang dengan khabar gembira: membawa mereka ke tanah utopia. Mereka yang hanya mempunyai mimpi memandang Irimiás sebagai pembawa ‘rahmat’ dan sudah tentulah menyambut harapan daripada lelaki ini dengan tangan terbuka; kerana manusia dalam apa jua keadaan pun masih memerlukan cerita kalaupun ia hanya rekaan. Kita tidak tahu sama ada Irimiás ini benar-benar seorang nabi, perisik komunis ataupun syaitan kerana Krasznahorkai telah menyimpan rahsia ini di balik lengan bajunya awal-awal lagi. Bukankah kekaburan ini yang membisikkan lagi misteri pada setiap halamannya?

Semasa pengajian ijazahnya dalam bahasa dan susastera Hungary di Universiti Eötvös Loránd, Krasznahorkai telah menyiapkan tesis berkait hasil kerja dan pengalaman pengarang Hungary bernama Sándor Márai sesudah jurnalis ini melarikan diri dari tanah airnya pada 1948, semata-mata mahu lepas dari cengkaman rejim Komunis yang bertapak di Hungary pasca-Perang Dunia Kedua. Kita dapat lihat bagaimana pengaruh dan tekanan Komunisme yang disifatkannya sebagai “gerak kerja syaitan” (alegori agama yang berlawanan dengan ateisme komunis) ini menebal dalam Satantango, tetapi persis kabus yang tidak mampu disentuh.

Tatkala kita berhempas-pulas membina perkampungan estet ini dalam kepala, Krasznahorkai terlebih dahulu sudah meruntuhkannya: cat mengelupas dari dinding yang merekah, kepingan genting pada atap tertanggal, lumut merebak ke serata dinding dan lantai serta sarang labah-labah menyerak ke semua ruang. Lebih malang lagi, kita fikir kampung ini mulai lingkup kerana kejatuhan Komunisme di Hungary pada pertengahan 1980-an tetapi kampung ini sudah pun menuju kiamat kerana diheret oleh penghuninya sendiri: kemalasan, ketidakpedulian dan kompas moral yang kehilangan jarum arah. Segalanya dapat dirasa dalam keresahan dan ketidaktentuan seorang doktor pemabuk yang mencintai aturan:

Tidaklah menghairankan yang segala-galanya di sudut terlaknat estet ini sudah tungggang-terbalik: lumpur yang dilalui telah pun kering dan menebal di atas papan yang hancur seluruhnya; rumput tumbuh di dinding yang dekat dengan pintu dan di sebelah kanannya terlentang topi yang sudah lunyai dipijak, dikelilingi sisa-sisa makanan, beg plastik, beberapa botol ubat yang sudah kosong, cebisan kertas dan pensel-pensel pendek.
(Krasznahorkai, 2013:52)

Malahan renungan doktor ini pada bab “To Know Something” dan bab terakhirnya, “The Circle Closes” seolah monolog seseorang yang menghampiri maut, secara tidak langsung menerima hentakan ironi kerana kerjanya menyelamatkan manusia daripada maut. Dan tarian kematian ini membentuk lingkaran semasa doktor ini “memutuskan untuk memerhati kesemuanya secermat mungkin dan merakamnya secara berterusan, segalanya hanya dengan tujuan agar tidak terlepas walau sekecil-kecil rinci pun.” (Krasznahorkai, 2013:54) Jendela rumahnya bukan semata-mata memisahkan dirinya sewaktu mata galak mengintai hidup jiran-jiran untuk diabadikan kehidupan harian mereka ke dalam jurnalnya tetapi turut menjadi pemisah yang mengaburkan lagi sempadan cereka dan realiti. Hanya watak ini yang tinggal di kampung semasa yang lain-lain menyahut seruan Irimiás dan telah jauh meninggalkan estet, menuju masa depan yang tidak pasti. Dia, sebagaimana pengarang, sedang berhadapan dengan kekosongan. Dan kekosongan inilah yang cuba diisi. Membaca Satantango sebenarnya ialah mengintai proses penciptaan cereka.

Pada langkah-langkah terakhir, ingatan kita tergelincir kembali ke bab pertamanya: gema genta yang didengar oleh Futaki. Hanya pada saat ini kita menuruti doktor keluar dari rumahnya dan berjalan ke “satu-satunya gereja kecil kira-kira empat kilometer ke barat daya di estet lama Hochmeiss” dan nampak gentanya yang berhayunan di atas menara, langsung menafikan kenyataan Futaki di awal tadi. Tetapi peristiwa ini tidaklah meletakkan kebenaran ke tahap mutlak. Barangkali ‘kenyataan’ inilah isi dalam kekosongan tadi (atau berbalik kepada ketiadaan noktah tadi; siapalah kita untuk menghentikan?) kerana selepas itu, doktor ini langsung pulang ke rumah dan menyambung tulisannya di dalam jurnal, membangkitkan semula syaitan demi syaitan dengan bahasa dan imaginasi untuk mereka huni kampung ini – menulis Satantango?

Krasznahorkai, apabila ditanya oleh The Guardian tentang bagaimana dia menyifatkan tulisannya kepada mereka yang tidak mengenalinya lantas menjawab, “Huruf; kemudian daripada huruf-huruf, kata; kemudian daripada kata-kata ini, beberapa ayat pendek; kemudian ayat-ayat yang lebih panjang, dan dalam ayat-ayat yang sangat panjang, selama 35 tahun. Keindahan dalam bahasa. Seronok dalam neraka.”

Dengan 12 bab, enam langkah ke depan dan enam langkah ke belakang yang ditarikan oleh watak-wataknya, membentuk satu pusingan, Krasznahorkai memulakan dan mengakhiri tarian ini dengan enigma gema genta yang tidak diketahui dari mana datangnya. Dan ia terus berpusing, berpusing dan berpusing tidak berkesudahan sambil diperhati oleh seseorang yang sedang melengkungkan keseluruhan naratif novel ini; seperti Krasznahorkai, adakah ia membuka jendela untuk mendedahkan kebenaran atau terus membebaskan tulisan-tulisan tentang mereka yang memeluk kebatilan, menari sesama syaitan?

Pertama kali terbit dalam Dewan Sastera Bil. 8 2018 dengan judul "Rentak Tarian Krasznahorkai dalam Satantango".

CATATAN: Semakin tidak sabar dengan beberapa lagi bukunya yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris. Akan menemui kita semua tahun depan.

Ulasan