Merenung ke Luar Bingkai Cereka
MARLINA Si Pembunuh dalam Empat Babak sebetulnya bukanlah filem yang sempurna. Barangkali bukan juga antara filem terbaik yang saya tonton pada tahun ini. Tetapi saya menyukainya. Kerana jarang sekali dapat saya nikmati filem di pawagam belakangan ini di mana imej-imej bekerja memaknai mediumnya - sinema.
Ya, ketidaksempurnaannya terpapar pada cacat cela naratif, e.g. watak Franz yang tiada faktor penolak yang membebankannya untuk menguruskan mayat Markus, dan adegan-adegan Marlina berpatah balik ke rumahnya semula. Itu, kita boleh sapu ke bawah karpet buat masa ini kerana siapa yang kata filem mesti bercerita?
Saya sendiri pun kurang gemar dengan tulisan-tulisan berkenaan filem yang disempitkan pada struktur naratif semata-mata. Kerana yang sedang mereka alami itu sinema, bukannya novel atau apa-apa. Adakah mereka terlepas pandang untuk melihat struktur sinematiknya? Atau dalam kegelapan dan kedinginan panggung itu, mereka sedang meraba-raba, rabun atau buta? Simpang malaikat empat puluh empat!
Filem tidak semestinya bercerita. Dan itulah yang berlaku kepada Marlina. Imej-imej dalam filem ini seakan bingkai yang meregang tubuhnya. Dan ketegangan itu dapat kita intai via kanta genre dan feminisme dengan lebih jelas lagi (tetapi tidaklah saya menafikan cara lain, saya meraikan untuk melihat filem dari pelbagai sisi). Genre Western ini juga sesuatu yang tradisional dalam filem; The Great Train Robbery (1903) bikinan Edwin S. Porter menjadi antara yang terawal lahir dari rahim sinema. Benar, teori filem feminisme yang dianjurkan oleh Laura Mulvey itu juga bukanlah utuh manapun (malah langsung terbatal jika digunakan untuk melihat filem-filem queer, julinglah mata kau jika gunakan kanta ini untuk lihat filem-filem Derek Jarman, Xavier Dolan, Pedro Almodóvar, etsetera etsetera). Tetapi dalam konteks sosial Sumba yang maha tradisional itu, saya kira ia relevan. Memandangkan ini juga yang sedang dimainkan oleh sutradaranya.
Pembikin pelawa nak main ping pong, takkan saya nak guna raket pula. Atau bolehkah saya terbalikkan meja?
Kemaskini (01/12/2018): Esei "Marlina, Dalam Renungan Ke Luar Babak" baru sahaja memenangi hadiah penghargaan kategori esei Hadiah Sastera Selangor 2018.
CATATAN: Dalam ruang akhbar yang terhad itu, saya tidak mampu untuk menyumbatkan lagi apa-apa tentang penggunaan ruang; hanya selitkan dapur sebagai ruang kerja dan rahsia Marlina. Saya percaya ia boleh dikembangkan lagi, selari dengan apa yang dianjurkan oleh Stephen Teo dalam bukunya, The Asian Cinema Experience di mana beliau menyatakan dalam sinema Asia, ruang itu sendiri sudah menjadi bahasa filem. Dr. Norman Yusoff - setelah membaca esei ini - menggalakkan saya menulis dengan lebih kerap lagi tentang filem. Cuma buat masa ini, kita lepaskan dahulu tulisan-tulisan filem yang dikerjakan ke dalam zine KLReviu.
Ulasan
Catat Ulasan