Bartleby: Untuk Apa Kau Menulis?

La Notte (1961)


BARTLEBY & CO. akan buat kita bertanya kembali: Apa itu novel? Ia datang dari tradisi, iaitu watak Bartleby dalam cerpen Herman Melville, "Bartleby, the Scrivener" yang tidak pernah lekang di bibirnya dengan ungkapan "I would prefer not to" untuk setiap kerja yang tidak boleh dan tidak mahu diselesaikannya. Dan dari tradisi ini, Enrique Vila-Matas terus berjalan sejauh mungkin meninggalkannya. Tetapi ke mana Vila-Matas berjalan? Kita tidak akan tahu dan tidak pernah tahu. Kerana kita masih samar-samar di bawah kelam bayang Bartleby.

Novel ini dibina daripada nota-nota kaki yang dicatat oleh si narator gagalis. Setelah berpuluh tahun tidak menulis, entah kenapa dia ingin menulis tentang penulis-penulis yang berhenti menulis - "Writers of the No". Dan terus terang, saya sendiri pun kagum dengan penulis-penulis yang diperkenalkan oleh si narator. Kagum dengan sebab-sebab (atau alasan?) mereka memilih untuk berhenti menulis. Paling saya kagum dengan Oscar Wilde:

"51) . . . When he died, a Parisian newspaper reproduced the following, appropriate words of Wilde's: 'When I did not know life, I wrote; now that I know its meaning, I have nothing more to write.'
      This statement ties in very well with the end of Wilde's life. He died after two years of great happiness, without feeling the slightest need to write, to add anything to what he had already written. It is very likely that, when he died, he had reached the limit of the unknown and had discovered what it was exactly to do nothing and why it really was the most difficult and the most intellectual thing in the world. . ."

Bartleby & Co. bukan semata-mata tentang persoalan "mengapa berhenti menulis" tetapi lebih kepada "untuk apa kau menulis". Ya, untuk apa lagi kita mahu berdamping dengan kata-kata? Barangkali benar kata Beckett:

"86) . . . even words abandon us and that's all there is to it."

Dan bukan sahaja penulis-penulis yang menghidap "sindrom Bartleby" ini yang buat saya kagum lantas termenung malah "buku-buku jelmaan" yang belum atau tidak sempat ditulis mereka. Novel ini persis ensiklopedia kompak "Writers of the No". (Mengingatkan saya kepada D.U.B.L.I.N. oleh Wan Nor Azriq yang boleh juga dikatakan ensiklopedia kompak tentang penulis-penulis pejalan kaki.) Tentang "buku-buku jelmaan" ini, seolah-olah kau dipelawa masuk ke dalam Pustaka Babel yang menyimpan kesemua buku yang pernah wujud di dunia ini dari dahulu hingga kini, tiba di suatu rak, kau mengambil Bartleby & Co. dan novel ini memberitahu kau tentang buku-buku yang berada di luar pustaka, di luar sana - buku-buku yang belum atau tidak sempat ditulis.

Secara tuntasnya, Bartleby & Co. ialah novel yang:
1. Enggan bercerita. Tiada plot yang boleh kita ikuti. Atau barangkali ceritanya ada. Cuma belum (atau tidak mahu?) ditulis oleh Vila-Matas.
2. Enggan tamat. Boleh jadi masih ramai lagi penulis yang berhenti menulis yang belum atau tidak sempat dicerap oleh narator kita. Atau boleh jadi si narator juga akan (atau sudahpun) menjadi sebahagian daripada "Writers of the No" sambil menuturkan kalimat keramat "I would prefer not to" tatkala menulis nota-nota kaki ini.
3. Enggan menjadi sebuah novel. Novel ini (jika masih mahu dipanggil "novel") sendiri berdiri di atas 86 nota kaki. Tiada langsung teks utama, secara tidak langsung membuatkan nota-nota kaki ini 'di awangan', tidak berjejak. Tetapi kita tahu yang kesemua nota kaki ini datang dan akan pulang kepada penghidap-penghidap "sindrom Bartleby" ini. Atau mungkin tidak. Kata si narator:

"76) . . . So I have been working on these footnotes, searching and inventing, doing without any rules of the game that exist in literature. I have been working on these footnotes in a slightly careless or anarchic manner, . . ."

Tetapi tetapi tetapi... kalau pun benar novel ini tidak mahu menjadi sebuah novel, ia masih memaut pada salah satu sifat konvensionalnya. Kita masih percaya akan kewujudan watak yang menjadi esensi sebuah novel atau fiksyen. Vila-Matas masih mahu memberikan latar belakang dan sejarah kepada naratornya. Masih mahu memberikan kisah cinta tidak kesampaian kepadanya. Masih mahu menghadirkan Derain, selaku teman yang membantunya mencari bahan untuk nota-nota kaki ini; menghadirkan Juan, selaku teman yang akan membaca dan menyemak diari nota kaki yang dipanggilnya "Notes of the No" ini; menghadirkan Pineda, selaku kawan sekolah yang amat dikagumi olehnya, tambahan lagi dengan "arkib puisi terbengkalai" di dalam laci itu. Dalam erti kata lain, masih mahu mencipta sosok tunggal di balik teks naskhah ini, dengan memberikan kudrat memori dan gestur-gestur tubuh kepadanya. Dan kita seolah-olah makin mengenali si narator bongkok dari Barcelona ini. Tentang si narator bongkok ini, mahu sahaja saya panjangkan lagi tentangnya tetapi kerana ingin mengambil semangat "Writers of the No", saya hanya

Ulasan