Surat Cinta Buat Sinema

(dalam n perenggan per saat)




[1] "SINEMATA" barangkali cerpen kedua saya tentang filem. Cerpen pertama yang saya tulis berkait dengan filem sebenarnya ialah "Sonia" (yang termuat dalam manuskrip kumpulan cerpen kedua saya, dan dalam proses penerbitan). "Sonia" ialah kecintaan saya bukan sahaja kepada sinema, malah kepada penulisan itu sendiri. Sonia merupakan percik imaginasi daripada puisi "Sonia" oleh T. Alias Taib. Tetapi itu cerita lain.

[2] "Fotografi adalah kebenaran. Dan sinema adalah kebenaran 24 kali per saat," kata Michel Subor seraya galak menggambari Anna Karina dalam Le Petit Soldat (1960). Dan kita nampak potensi dan puitis suatu medium yang tidak sempat dinikmati oleh mereka-mereka yang hidup sebelum 1890-an; suatu cabang seni yang masih baru bernafas jika dibandingkan dengan seni-seni yang lain.

[3] Kebetulan saya baru sahaja selesai baca novel The Book of Illusions oleh Paul Auster dan Jukstaposisi oleh Hizairi Othman; masing-masing berputar di sekitar filem. Dan agak lama juga kesemua ini berputar dalam kepala semata-mata mahu mencari bentuk yang sesuai untuk cerpen. Saya teringat akan cerpen "Menonton Anita Dunia Ajaib" oleh Dr. Norman Yusoff yang saya kira antara cerpen terbaik berkait filem yang pernah saya baca setakat ini. 

[4] Tetapi takkanlah saya mahu tulis seperti apa yang telah ditulis?

[5] Sehinggalah kata-kata Jean-Luc Godard daripada Le Petit Soldat itu terngiang-ngiang lagi di telinga saya. Ia tentang seluloid yang berputar-putar antara fiksyen dan kebenaran. Dan entah macam mana, saya teringat akan sebuah filem dokumentari Chronicle of a Summer (1960). Ia dimulakan dengan perbualan tentang "kejujuran" yang mahu dipaparkan di depan kamera. Dalam erti kata lain, mereka mahu mencuit kebenaran. 

[6] Stail cinéma vérité ini telah menemukan saya dengan Man with a Movie Camera (1929). Dan "Sinemata" pun terbentuk daripada serpih-serpih Teori Montaj Soviet (maaf Bazin, izinkan aku memandang ke Rusia sebentar) dengan nuansa cinéma vérité. Boleh jadi juga fakta-fakta yang dibasahkan dengan fiksyen.

[7] Fragmen-fragmen: ia akan jadi sesuatu yang lain jika disusun oleh Iris. Tetap itulah, ia disusun oleh aku.

[8] Seorang kenalan bertanya, "Banyak betul filem yang disebut. Memang minat filem, ya?"

[9] Tetapi saya sering merasakan cerpen ini mula mendapat bentuk (dalam kepala) sewaktu saya menyudahkan buku The Eyes of the Skin. Seolah-olah Juhani Pallasmaa membisikkan sesuatu di telinga tatkala saya jengah kembali ke halaman yang membicarakan soal okularsentrisme. Betapa kita terlalu bergantung pada deria lihat (dengan mengambil mudah upaya-upaya lain); okularsentrisme makin menggelapkan dunia di sekeliling kita, makin membutakan kehidupan. Kita teraba-raba mencari kebenaran.

[10] Dan dalam masa yang sama, mahu saya lari daripada konvensi plot yang sering menunjangi sesebuah cerpen; persis fragmen-fragmen dalam Man with a Movie Camera, Chronicle of a Summer, F for Fake dan beberapa buah filem dokumentari Joshua Oppenheimer yang saya gemar.

[11] Ada yang bertanya, "Adakah 'Sinemata' sebuah cerpen?" sebelum dibalas saya kembali dengan, "Apa itu cerpen?"

[12] Adakah tindak lari dari apa yang dikatakan cerpen menjadikan sesebuah tulisan itu 'anticerpen' atau 'pascacerpen'?

[13] Dalam ruangan Kritikan Cerpen Dewan Sastera Bil. 10 2017, "Cerpen Sebagai Pelajaran Mengarang", Wan Nor Azriq ada mengatakan: "Apabila kita membaca judul cerpen Azrin Fauzi 'Sinemata', kita akan terbayang layar putih dan renungan mata. Bagi masyarakat Melayu, sinema dan panggung wayang bukan sesuatu yang moden. Masyarakat Melayu sudah biasa dengan cerita dan permainan bayang tok dalang apabila mereka menonton wayang kulit. Layar putih ialah kekosongan yang boleh menerima pelbagai bayang dan menjadi apa-apa bentuk. Tetapi adakah 'Sinemata' Azrin Fauzi merujuk kepada layar putih panggung sahaja?"

[14] Pada waktu ini, saya baru sahaja selesai membaca cerpen "Pelajaran Mengarang" oleh Seno Gumira Ajidarma.

[15] Azriq juga ada mengatakan: "Ada 24 bayang atau bingkai imej dalam cerpen Azrin. 12 daripadanya bermula dengan kata 'Jendela', sementara 12 lagi bermula dengan kata 'Mata'. Dalam dunia Azrin, jendela ialah sempadan antara fikiran dan waktu. Seperti bahasa, jendela membiaskan cahaya dan mengubah tanggapan mata terhadap realiti. Hampir keseluruhan cerpen ini berlaku di dalam kapal terbang dan kita sepanjang masa bersama narator Azrin yang duduk merenung ke luar jendela. Dia ingin membikin filem dokumentari di George Town tentang seekor anjing Telomian. Bukan itu sahaja, kalau boleh dia ingin menghasilkan filem tanpa warna dan bunyi. Filem bisu. Mata sering mengelirukan, dan sering tertipu dengan permainan bayang dalam minda. Justeru filem - atau sebuah cerita - perlu diam untuk membenarkan imej 'bercakap dengan suara terdalam'."

[16] Ah, sudah saya lupa siapa yang mengatakan tentang warna hanya mengganggu mata dalam filem. Samuel Fuller? (Bukanlah saya ingin mengatakan warna diharamkan dalam filem. Kerana saya percaya masih ada mereka-mereka yang mempunyai mata yang tajam terhadap warna - Yasujiro Ozu, Akira Kurosawa, Jean-Luc Godard, Stanley Kubrick dan David Lynch antaranya.)

[17] "Sinemata", barangkali surat cinta buat sinema. Barangkali surat cinta buat bukan siapa-siapa.

.

.

.

[n] Dan kerana itu, ia tak terbalas.

CATATAN: Baiklah, Bazin. Sekarang macam mana mahu garap mise-en-scène dalam bentuk tulisan?

Ulasan