Jeanne Dielman Membunuh Rutin
NAMA Chantal Akerman terpacul sewaktu saya dan Ridhwan Saidi berbual (lebih kepada ketidakpuasan ) tentang filem Hanyut (2012, tetapi ditayangkan pada 2016). Dan kerana saya sangat gemar akan La Folie Almayer (2011) bikinan Akerman, saya lanjutkan penerokaan filemografi pembikin filem dari Belgium ini dengan menonton Jeanne Dielman, 23, Quai du Commerce, 1080 Bruxelles (1975). Saya sentiasa percaya slow cinema tidak akan membawa kita ke dalam filem, melainkan lebih kepada buat kita berada di dalam filem. Sedari awal lagi kita sudah pun bersama dengan protagonis, Jeanne Dielman (Delphine Seyrig) di dalam apartmennya. Kerana durasinya yang begitu panjang (3 jam 21 minit) dan diregangkan dengan tangkapan lama ( long take ), kita bukan sahaja sudah jelas dengan rutin Jeanne Dielman, malah sudah kenal dengan ruang-ruang di dalam apartmennya: bangun pagi, dia akan menggilap kasut anak lelakinya, Sylvain di dapur sebelum menjerang air dan bancuh k...