10 Filem

KERANA menonton filem adalah membaca visual. Dan aku mahu berkongsi 10 filem kegemaran peribadi yang akan aku ulang tonton lagi dan lagi. Imej-imej daripadanya yang sehingga kini masih melekat kuat dalam kepala (dan adakalanya bercampur dengan percikan idea, lalu secara senyap-senyap menyelinap ke celah-celah tulisan).




Pulp Fiction (1994)
Mereka yang mengenali aku akan tahu betapa aku gilakan filem-filem Tarantino. Kill Bill adalah filem pertamanya yang aku tonton, dan visualnya telah memaksa aku untuk menggali filem-filemnya yang lain, sampailah aku jumpa Pulp Fiction. Dalam Pulp Fiction, Tarantino telah menyimpul naratif-naratif klise menjadi antiklise. Kisah gangster, kisah rompakan di kedai makan, kisah peninju yang dibayar -semuanya berselirat di sekitar dialog-dialog humor, muzik yang bagus (oh ya, aku suka SEMUA filem Tarantino juga kerana soundtrack-nya) dan peristiwa-peristiwa random yang kau takkan jumpa dalam filem-filem lain.




Rashomon (1950)
Aku suka dengan filem-filem Kurosawa kerana kepelbagaiannya. Kau boleh layan dari filem klasik samurai sampailah ke filem moden tentang konflik orang-orang Jepun pasca-Perang Dunia Kedua. Ianya variasi. Dan Rashomon ini mengisahkan tentang pembunuhan seorang samurai dari empat bucu -pencuri, isteri Samurai, si pemotong kayu dan samurai itu sendiri (yang telah dipanggil kembali rohnya ke mahkamah). Mereka secara bergilir-gilir memberikan kenyataan tentang kejadian tersebut kepada hakim. Dan... hakim itu adalah kau yang sedang menonton filem ini.




Taxi Driver (1976)
Scorsese membawa penontonnya ke sudut-sudut kotor kota New York, dan sisi-sisi sepi seorang lelaki.




Synecdoche, New York (2008)
Filem paling gila (apa saja yang tidak gila daripada Charlie Kaufman?) pernah aku tonton setakat ini. Dan arwah Philip Seymour Hoffman memberikan persembahannya yang terbaik dalam filem ini (walaupun ramai yang kata lakonan terbaiknya adalah dalam Capote, heh).




The 400 Blows (1959)
Kalaulah tidak ada filem ini, mungkin French New Wave akan tenggelam. Mungkin.




No Country for Old Men (2007)
Filem pertama oleh Coen Brothers yang aku tonton. Dan Anton Chigurh adalah antagonis terbaik sepanjang zaman.



In the Mood for Love (2000)
Terasa seperti Wong Kar-wai benar-benar mengajak kita mengintai hari-hari keliru dan ketidakpastian Chow (Tony Leung) dan Puan Chan (Maggie Cheung) di sekitar apartmen mereka di Hong Kong.




Hiroshima, mon amour (1959)
Agak melelahkan juga jika sesuatu perbualan itu panjang lebar dalam sesebuah filem (yang paling aku rasa semasa menonton My Dinner with Andre). Tetapi perbualan dalam Hiroshima, mon amour terlalu sentimental dan melankolik. Siri flashback yang dipaparkan menumbuk emosi. Ia ibarat 'bom atom' yang dilepaskan oleh Alain Resnais ke ruang-ruang emosi penontonnya. 



Eyes Without a Face (1960)
Filem horror yang paling aku gemar setakat ini (atau mungkin untuk selamanya). Celaka, babak bedah muka yang intens!




Meshes of the Afternoon (1943)
Satu-satunya filem yang aku tonton di mana setiap shotnya benar-benar mengangkat visual sebagai bahasa. Tiada dialog yang boleh kita dengar dan hadam. Hanya alunan bunyi daripada Teiji Ito yang menjentik telinga dan imej-imej tipikal harian yang diulang-ulang, sesekali menerbitkan rasa terganggu. Secara jujur aku katakan, setiap kali habis menonton filem pendek ini, akan terpacul idea-idea baharu yang akan menjadi bekal untuk aku menulis. Dan untuk itu, aku berterima kasih kepada kau, Maya Deren.

CATATAN: Lain-lain yang aku suka tetapi sudah tidak muat untuk disumbat ke dalam senarai ’10 Filem’ ini; Apa Jang Kau Tjari, Palupi?, Gelora, Kaki Bakar, Jogho, Dari Jemapoh Ke Manchestee, Man Laksa, Songlap, Barton Fink, Breathless, La Dolce Vita, Casablanca, Burn After Reading, The Bad Sleep Well, Throne of Blood, The Man Without a Past, Children of MenUpstream Color, Vengeance Trilogy, Duel, Drive, Only Lovers Left Alive, Blade Runner, Star Wars Original Trilogy, The Discreet Charm of the Bourgeoisie, Un Chien Andalou, Magnolia, Solaris (1972), A Separation, Taste of Cherry, Close-Up, Stranger Than Paradise, Fitzcarraldo, Death by Hanging, Woman in the Dunes dan Metropolis. (Senarai ini mungkin akan berubah selagi umat manusia masih menghasilkan filem.)

Ulasan

  1. saya 'terpaksa' tonton No Country for Old Men sebanyak tiga kali baru faham susur ceritanya.

    mungkin saya tidak se-deep org lain kot.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sampai tiga kali? Hoho! Filem-filem Coen Brothers tak pernah menghampakan. Cuba tonton Barton Fink dan Fargo pulak!

      Padam
  2. Blog yang menarik.......semoga terus berkembang... Saya ingin berbagi wawancara dengan Akira Kurosawa (imajiner) di http://stenote-berkata.blogspot.com/2018/04/wawancara-dengan-akira.html

    BalasPadam

Catat Ulasan