Merungkai Murakami III: Tsukuru Tazaki dan Odisi Mencari Kebenaran
Colorless Tsukuru Tazaki |
UNTUK beberapa kali, 'Le mal du pays’ (daripada suite pertama ‘Years of Pilgrimage’) dimainkan dari YouTube sepanjang pembacaan. Kononnya nak ambil feel, dan bak kata mat saleh, “Well, it works, baby!”
“You can hide memories, but you can't erase the history that produced them.”
Bagi aku, novel ini dimulakan dengan bab-bab awal yang sedikit lesu dan meleret-leret (sepertinya Murakami masih lagi dalam mengah mencuri-curi nafas sesudah penat mengerjakan magnum opusnya, 1Q84). Bab-bab awal juga -dengan tidak berapa kemas- melompat-lompat di antara waktu Tsukuru Tazaki yang berusia 36 tahun dengan dirinya yang berusia 20 tahun. Tidak mengapa, teruskan bacaan. Sehinggalah kita sampai pada kisah ayah Haida. Pada bahagian ini, kita mulai sedar (atau separa sedar mahupun di bawah sedar) yang penulis Jepun ini mula mempamerkan taringnya kembali.
Lagu yang melatari novel ini, menghubungkan
ingatan Tsukuru Tazaki dengan Shiro dan Haida.
Apabila ada yang bertanya, apa yang aku suka tentang novel ini, tanpa ragu-ragu aku akan menjawab:
- Kisah ayah Haida
- Mimpi Tsukuru Tazaki
- Kewujudan watak Haida itu sendiri
Dan jika ditanya, apa lagi yang aku suka, aku akan jawab:
- Perbualan Tsukuru Tazaki dengan suami Eri, Edvard Haatainen
- Perbualan Tsukuru Tazaki dengan Eri Kurono Haatainen
- Dan semualah yang berlaku di Finland!
Membaca Murakami, sering kali kita bertemu dengan bahagian di mana sempadan realiti dan bukan realitinya begitu kabur sekali. Novel ini tidak terkecuali. Dan bila mana Tsukuru Tazaki mula membayangkan itu ini (lebih-lebih lagi tentang kehadirannya di apartmen Shiro di Hamamatsu), terus aku teringat akan watak Michel daripada cerpen Blow-Up tulisan Julio Cortázar.
Lagu yang dimainkan oleh Midorikawa.
Murakami ialah penulis yang bijak mencipta simbol dan perlambangan -dan itulah yang membuatkan aku benar-benar suka dengan cereka-cereka garapannya. Mister Red, Mister Blue, Miss White, Miss Black, etsetera etsetera; watak-watak inilah yang mewarnai novel ini. Dan tembikar-tembikar yang dibuat oleh Eri/Kuro; bukankah semuanya mewakili watak-watak dalam novel ini? Cantik tetapi rapuh. Dan mungkin sebab itulah Murakami meletakkan tembikar-tembikar itu di tangan Eri/Kuro ("Miss Black"), kerana dialah watak yang paling kuat dan kukuh sekali (luar dan dalam) sepanjang melalui hari-hari hitam bersama dengan Shiro sesudah "penyingkiran Tsukuru Tazaki”. Nah, itu belum lagi tentang maksud nama Tsukuru -"membuat" atau "membina". Dan obsesinya terhadap stesen kereta api. Stesen kereta api itu sendiri melambangkan suatu gabungan yang teratur dan kaos (kelam-kabut, kacau-bilau). Mungkin sifat-sifat inilah yang membentuk diri Tsukuru Tazaki. Teratur dan kaos. Dalam teratur, dia menjadi kaos. Dan dalam kaos, dia mampu menjadi teratur kembali. Tetapi ini hanyalah simbol, di mana kita bebas menafsirnya. Dan simbol hanya tinggal simbol di celah-celah prosa sama ada kita menafsirnya atau tidak.
Dari Tokyo ke Nagoya, sebelum terbang ke Finland. Ini ialah odisi rohani dan fizikal Tsukuru Tazaki mencari kebenaran. Bukankah menghadami sesebuah naskhah sastera itu sendiri adalah sebuah odisi mencari kebenaran? Sara Kimoto. Kita patut berterima kasih kepada wanita ini. Kerana dialah odisi ini terjadi.
Sepanjang odisi ini juga, dalam masa yang sama, kita dalam debar, tidak sabar melihat protagonis ini berhadapan dengan sahabat-sahabat lamanya kembali. Apa reaksinya? Dan apa reaksi mereka?
“One heart is not connected to another through harmony alone. They are, instead, linked deeply through their wounds. Pain linked to pain, fragility to fragility. There is no silence without a cry of grief, no forgiveness without bloodshed, no acceptance without a passage through acute loss. That is what lies at the root of true harmony.”
Dalam odisi ini, Tsukuru Tazaki memerlukan pengakuan sahabat-sahabatnya. Tetapi sering kali pengakuan-pengakuan ini menerbitkan keperitan. Dan lebih parah lagi, pengakuan-pengakuan ini menimbulkan lebih banyak lagi persoalan dan kekeliruan. Entah bagaimana, di celah latar alam terpinggir Hämeenlinna yang mendamaikan, semasa Tsukuru Tazaki memeluk Eri/Kuro erat-erat, cuba menenteramkan wanita itu setelah mereka berdua lemas di masa lampau, menerbitkan kesayuan yang begitu dalam sekali. Sesungguhnya Murakami tidak pernah gagal mencengkam emosi pembacanya.
Begini, kau berkawan rapat dengan sekumpulan rakan sejak usia remaja. Tiba-tiba, pada suatu hari, tanpa sebarang sebab, mereka tidak mahu bercakap dengan kau, dan tidak mahu berjumpa dengan kau lagi, sampai bila-bila.
Apa kau rasa?
“Still, being able to feel pain was good, he thought. It's when you can't even feel pain anymore that you're in real trouble.”
CATATAN: Aku mahu merasai pengalaman membaca novel ini lagi. Dan untuk itu, aku menunggu terjemahan Bahasa Melayunya pula (khabarnya akan diterbitkan oleh Buku Fixi, di bawah label Fixi Verso-nya).
Eh, sekejap, mana kucing dalam novel ni?
Ulasan
Catat Ulasan