Merungkai Murakami II: Dengarlah Nyanyian Angin

Dengarlah Nyanyian Angin
WELL-crafted.” Itu yang aku ungkap, sambil menggeleng-geleng kepala beberapa kali, setelah selesai menghabiskan novel ini. Murakami seakan ‘demigod’ dalam penulisan kontemporari Jepun. Kau akan dipaksa untuk menolak -atau paling kurang pun, meminggirkan sebentar- buku-buku Natsume Sōseki, Kōbō Abe, Sawako Ariyoshi dan Kenzaburō Ōe semata-mata untuk memberi laluan kepada buku-buku beliau.

Novel ini 'berwarna-warni'. Protagonisnya sangat obses dengan penulis Derek Heartfield. Sahabatnya pula, Nezumi (bermaksud ‘tikus'), alkoholik yang bercita-cita menulis novel. Kekasih protagonis, gadis yang kehilangan jari kelingking di tangan kiri. John F. Kennedy. Jay’s Bar. Lukisan “Rorschach”. Perhubungan. Perpisahan. Kesunyian. Kesepian. Dan California Girls nyanyian The Beach Boys!

Nah, apa lagi yang kauharapkan daripada penulis Jepun ini?

Motif-motif seperti inilah yang akan berulang-ulang dalam setiap novel beliau selepas itu.

Membaca novel ini -dan tulisan-tulisan Murakami yang lain- seolah-olah kau memasuki sebuah labirin yang sama setiap hari. Kau sudah hafal jalan masuknya. Kau sudah hafal selok-beloknya. Dan kau sudah hafal apa-apa sahaja yang ada di dalamnya. Tapi, tapi, tapi, tidak semestinya kau akan melalui jalan keluar yang sama. Silap hari bulan, kau tidak akan menemui jalan keluarnya langsung!

Novel ini bermula dengan Derek Heartfield. Dan berakhir dengan Derek Heartfield. Selain 'berwarna-warni', suasana dalam novel ini juga mendamaikan. Kau dibawa berjalan-jalan di Yamanote, sebuah kota kecil di tepi pantai. Dengan muzik-muzik (semestinya dari Barat) yang diputarkan. Dan angin yang bertiup-tiup. Sangat mendamaikan. Tetapi kedamaian inilah yang seolah-olah ingin mengaburi pembaca dari sesetengah watak yang terseksa jiwanya.

Ini ialah novel sulung Murakami. Dan apa yang boleh aku katakan, untuk seseorang yang belum pernah menulis apa-apa sebelum ini (Ya, sebelum novel pertamanya ini, Murakami langsung tidak pernah menghasilkan apa-apa karya!), novel ini tidak menghampakan. Mungkin sebab itulah naskhah ini telah memenangi tempat pertama Anugerah Sastera Gunzo pada tahun 1979 di Jepun. Entahlah.

Pada usia di penghujung dua puluhan, untuk empat bulan berturut-turut, beliau telah menghabiskan selama sejam setiap malam menulis novel ini, yang merupakan novel pertama dalam “Trilogy of the Rat”.

Dan usaha beliau itu tidak sia-sia.

Lantas apa artinya menulis novel yang isinya sudah diketahui semua orang?” - Derek Heartfield, penulis Amerika yang mati bunuh diri.

CATATAN: Walaupun telah diceritakan secara panjang lebar dalam novel ini, keinginan aku membuak-buak juga mahu membaca cerpen ‘A Well in Mars’ tulisan Heartfield. Tetapi di mana dapat aku baca tulisan penulis Amerika rekaan Murakami ini?

Ulasan