Cerpen Avant-garde: "Bagaimana Kalau..." Atau Dialog-dialog Diam Di Dalam Mesin Penghancur Cereka
Zero & Not (1989), oleh Joseph Kosuth dan Liege (1989), oleh Franz West.
BAGAIMANA kalau, kerana sudah begitu lama tidak dibangkitkan, kita mempertanya semula, “Apa yang dikatakan sebagai sebuah cerpen?”: Saya sempat berkunjung ke sebuah acara seni dan buku alternatif yang dilangsungkan di Galeri Annexe, Pasar Seni sekitar 2011 dahulu. Dan saya sempat membawa pulang senaskhah antologi cerpen dengan judul dan kulit buku yang melahirkan curiga. Juga sempat menghabiskan bacaan salah sebuah cerpen yang dipilih secara rambang ketika di dalam tren. Sebuah cerpen dengan sependek-pendek cerita tentang protagonis yang dipanggil untuk mengejar seseorang sebaik sahaja dia keluar dari panggung wayang sehinggalah dia tiba semula di luar panggung wayang lantas memanggil dirinya yang baru sahaja keluar untuk ikut sama mengejar seseorang; sebuah cerpen yang dipanjangkan pula dengan pengulangan cerita tetapi dalam gaya-gaya yang berbeza; sebuah cerpen yang mendesak untuk terus-menerus dikejar potensi-potensinya. Atau apa yang salah seorang watak dalam cerpen “Kelahiran 3” itu tegaskan, “Cepat. Kita mesti kejar dia!”
Bagaimana kalau perlunya untuk menapak ke depan dan mengejar masa lalu secara serentak?: Hendak tidak hendak, pengarang yang ingin berlari jauh daripada tradisi harus tekal berlatih untuk sentiasa memandang ke belakang sekali gus berlari mengundur ke depan; sehingga menjadi rutin. Cerpen ialah sebuah genre yang tidak pernah lari daripada “bentuk bercerita.” (Othman Puteh, 1983) Sebuah bentuk yang sebenarnya sudah pun wujud dalam kesusasteraan rakyat bilamana cerita-cerita akan disampaikan secara lisan. Justeru cerpen atau cerita pendek sering dianggap bersifat singkat (dalam ruangnya) dan sementara (dalam waktunya) tetapi padat dan mengesankan. Sesingkat-singkat dan sementara persis cerita-cerita yang dikisahkan kepada kita sebelum tidur ketika masih kecil dahulu; sepadat-padat dan mengesankan sehingga kita terbuai dan hanyut dalam imaginasi sendiri tatkala “mati sekejap.” Langsung mengingatkan saya akan cerita yang dikisahkan oleh ibu: ceritera gagak dan kendi. Kisah keinginan untuk terus hidup dan usaha yang tekal garapan penglipur lara Yunani bernama Aesop ini barangkali merupakan perkenalan tidak langsung saya dengan cerita pendek atau cerpen (sebelum cerpen mulai dianggap moden lagi)—dengan tradisi.
Bagaimana kalau kita tidak ingin menjadi dewasa?: Cerpenis Clarice Lispector dalam sebuah temubual di São Paulo pada tahun 1977 pernah mengatakan, “Yang dewasa sentiasa bersedih dan menyepi,” sebelum menyambung, “Dan kanak-kanak… dengan imaginasinya. Mereka bebas.” Kerana imaginasilah yang akan membebaskan seorang pengarang. Lebih-lebih lagi pengarang cerpen yang bermain dalam ruang yang singkat dan dalam waktu yang sementara. Dan avant-garde atau garda depan pula bergerak dengan keinginan untuk lari daripada tradisi dan berdiri di luar konvensi. Tetapi “keinginan” yang bukanlah sekadar untuk menjadi lain daripada yang lain. Kerana segala-galanya tentang “apa” (yang ingin diceritakan) dan jauh lebih penting, tentang “bagaimana” (teknik, struktur, stail atau gaya digunakan) selain tentang “mengapa” (dengan justifikasi yang meyakinkan atau kenapa karya dibentuk sebegitu); kerana kesemuanya tentang kesatuan idea. Dalam cerpen “Kelahiran 3,” apa yang Wan Nor Azriq ingin ceritakan? Mungkin tentang protagonis yang dipanggil untuk mengejar seseorang sebaik sahaja dia keluar dari panggung wayang sehinggalah dia tiba semula di luar panggung wayang lantas memanggil dirinya yang baru sahaja keluar untuk ikut sama mengejar seseorang. Bagaimana cerita ini dibentukkan? Mungkin dengan fragmen-fragmen yang mewakili teknik, struktur, stail atau gaya yang berbeza. Mengapa cerita ini dibentuk sebegitu? Mungkin…
Bagaimana kalau cerpen garda depan tidak mampu lagi memberikan kepuasan, buat pengarang dan khalayak pembacanya?: Mana mungkin. Kerana cerpen garda depan akan sentiasa menawarkan kemungkinan demi kemungkinan. Kemungkinan-kemungkinan yang ditegaskan—juga digagaskan—dengan bentuk: “Cerpen-cerpen avant-garde merupakan suatu pemberontakan terhadap aliran realisme terutamanya dalam aspek struktur dan stail. Sedangkan tema dan persoalannya masih berpijak dalam lingkungan hidup di Malaysia, seperti membawakan pemikiran tentang definisi hidup, falsafah etika dan moral, dan hal-hal yang berhubungan dengan metafizik juga merupakan penerokaan atau eksploitasi yang mirip kepada anticerita atau antirealism.” (Mana Sikana, 2004) Sehinggakan ada antara kemungkinan ini yang formless atau tidak berbentuk; sporadik atau berselerak; tidak jelas di mana eksposisi, pertengahan, klimaks, dan pengakhirannya. Saya enggan percaya akan takdirlah yang menemukan saya dengan salah sebuah karya garda depan berjudul Exercises in Style (1947) sebaliknya cerpen “Kelahiran 3” inilah yang menemukan saya dengan novel Raymond Queneau itu. Sebuah novel dengan hanya satu situasi yang dibentukkan dengan pelbagai sudut pandangan dan gaya. Dan untuk bercakap perihal garda depan dalam susastera, kita tidak boleh lari daripada menyebut nama Oulipo, sebuah perkumpulan yang diasaskan oleh Raymond Queneau dan François Le Lionnais pada tahun 1960; perkumpulan yang mencipta peraturan demi peraturan dalam menghasilkan sesebuah karya; perkumpulan yang disebut oleh Queneau sendiri sebagai “tikus-tikus yang membina labirin demi melepaskan diri.”
Bagaimana kalau labirin yang dibina, sebelum melepaskan diri, bukan lagi menjadi suatu eskapisme tetapi eksplorasi?: Mengerjakan sesebuah karya dengan semangat garda depannya bukanlah untuk melarikan diri, keluar daripada realiti melainkan untuk masuk meneroka, menemukan realiti. Menjadi suatu aksi meloloskan diri dengan kaedah yang disebutkan oleh Mana Sikana sebagai “antidialektik.” Tegasnya: “Selama ini kita amat menghargai sastera yang fungsional atau komited; tetapi kedudukannya hampir-hampir lumpuh di tengah-tengah penulis avant-garde yang melihat bahawa bebanan masyarakat terlalu menyeksakan karya, juga pengarangnya. Hal ini tidak bererti bahawa karya-karya itu kosong dengan pesanan; memang ada protes, tetapi protes senyap; memang ada ajaran, tetapi ajaran senyap; memang ada propaganda, tetapi propaganda senyap; sehingga keseluruhannya berada dalam kesenyapan, bagaikan seorang penonton drama yang kelihatannya senyap tetapi dalam hatinya tertusuk oleh kegelisahan dan raungan.” (Mana Sikana, 2004) Pengarang bukannya Atlas yang terbeban kerana memikul langit; pengarang tidak seharusnya dilaknat sebegitu berat. Kita tidak merasai “bebanan masyarakat” ini dalam cerpen-cerpen metafiksyen Jorge Luis Borges, John Barth, dan Robert Coover; cerpen-cerpen eksperimental Clarice Lispector, Donald Barthelme, Italo Calvino, dan Julio Cortázar. Tetapi kita mampu merasai “senyap” yang diungkapkan.
Bagaimana kalau susastera tidak pernah pun punyai batas melainkan dibatas-bataskan oleh kita sendiri?: Oleh sebab itulah garda depan bereaksi. Selain meloloskan pengarangnya, turut menunjukkan jalan lain kepada khalayak pembacanya untuk ke luar batas. Membaca cerpen Malaysia, kita tidak boleh terlepas daripada mendengar tentang kritikan sosial. Mengkritik hanyalah salah satu daripada caranya tetapi bukan satu-satunya cara. Dan garda depan bukanlah cermin kepada masyarakat, sebaliknya cermin kepada diri pengarangnya sendiri dan letak duduknya dalam masyarakat. Daripada cerpen-cerpen absurd Mana Sikana, Othman Puteh dengan Matra, Tasik dan Laut-nya, dan beberapa cerpen eksperimental Abdullah Tahir yang tekal bergerak di atas landas garda depan sejak 1970-an hingga 1990-an, kita mulai ditawarkan laluan lain untuk ke luar batas, yang secara kontradiksinya menemukan kita dengan hal-hal dalaman yang “senyap” dan tidak kurang pentingnya untuk diungkap. Ada pergelutan dalaman yang mesti dilunaskan, mesti dikongsi. Cerpen garda depan Malaysia berkesinambungan hingga kini: dunia Ogonshoto yang didegupkan oleh Anwar Ridhwan; beberapa cerpen Wan Nor Azriq dengan “labirin” Oulipo; Malaywood yang dibangunkan oleh Roslan Jomel; dan cerpen-cerpen surreal lagi naif seperti “Raslan dan Potret Raslan” tulisan Ridhwan Saidi. Siapa sangka sesuatu yang mengganggu juga mampu mengujakan?
Bagaimana kalau cereka dengan segala macam elemennya yang mengujakan seringkali membawa kita keluar daripada kehidupan; paling dekat dengan kehidupan pun tentang bagaimana kita berhadapan dengan kematian, sehingga kita sudah terlalu jauh dan terlupa akan kehidupan; bagaimana pula kita mendepani kehidupan?: Saya teringat akan sebuah cerpen-esei Clarice Lispector, “Dry Sketch of Horses” yang memberikan sebilangan kemungkinan dalam kita berhadapan dengan seekor kuda. Atau bagaimana kuda berhadapan dengan sebilangan kita. Dan saya teringat akan sebuah cerpen mikro Lydia Davis, “Idea for a Short Documentary Film” (“Idea Untuk Sebuah Filem Dokumentari Pendek”) yang hanya merakam keseluruhan situasinya dalam hanya satu ayat: “Wakil-wakil pengilang makanan masing-masing cuba membuka bungkusan produk mereka sendiri.” (Davis, 2014) Kita sedar yang ‘ceritanya’ berlaku di luar teks cerpen ini tatkala kita cuba membayangkan telatah wakil-wakil tadi. Lydia Davis tidak menulis telatah mereka dalam cerpen ini sebaliknya kita sebagai pembacalah yang merampungkan tulisannya. Juga turut mengingatkan saya akan cerpen fiksyen sains spekulatif Rio Johan, “Misteri Visiceri” yang bukan sahaja bermain dengan bentuk malah bahasa; seakan-akan kita sedang berusaha memahami bahasa buah bagi merungkai konspirasi dan cita-cita gelap mereka untuk mengawal lalu menghapuskan manusia! Cerpen-cerpen garda depan kalaupun kompleks, rumitnya sebagaimana kita berhadapan dengan kehidupan itu sendiri.
Bagaimana kalau cerpen garda depan enggan lagi menjadi singkat dan sementara? Enggan lagi menjadi sebuah cerpen?: Hubungan pembaca dengan sesebuah cerpen atau genre-genre susastera yang lain ialah tentang komitmen bilamana berhadapan dengan sesebuah teks. Membaca novel semestinya menuntut komitmen yang lebih tinggi berbanding cerpen atau puisi kerana kita tidak mungkin dapat mengecap nikmat sebuah novel dengan membaca beberapa babnya sahaja. Cerpen pula—atau apa yang Hashim Awang sifatkan sebagai “sastera persuratkhabaran” (Hashim Awang, 1981) kerana tumbuh senyap dalam akhbar dan majalah serta bersifat massa dek harga mampu miliknya—menjadi sesuatu yang mudah diakses di mana-mana (dalam ruangnya) dan pada bila-bila masa (dalam waktunya). Dengan hanya beberapa ketikan sahaja kita akan dibawa ke laman-laman sesawang yang masih menyisipkan cerpen-cerpen di dalamnya: Dewan Sastera, adda, Asymptote, Eksentrika, Electric Literature, Literary Hub, Samovar, Selangorkini, antara lainnya. Tetapi dalam segala ruang dan waktu yang tidak terbatas ini, ada sesuatu yang ingin dicabar. Kerana ingin mencabar status quo dalam susastera itu sendiri, wujud kesedaran dalam kalangan pengarang garda depan untuk mencabar pembaca yang sudah terbiasa dengan bentuk-bentuk sedia ada yang konvensional; sudah lazim dengan “unsur dalam teknik penulisan yang diakui dan diterima pada zamannya sebagai aturan yang tidak tertulis kerana begitu kerap digunakan.” (Othman Puteh, 1997) Pengarang juga seorang pembaca dan pembaca pertama sesebuah karya itu ialah diri sendiri. Barangkali sebab itulah dicabar diri sendiri terlebih dahulu. Sehinggakan cerpen tidak lagi seperti dahulu.
Bagaimana kalau garda depan itu telah tiba sebelum kita sempat mengenali garda depan itu lagi?: Saya sempat berkunjung ke pameran seni Ahmad Fuad Osman, “At the End of the Day Even Art Is Not Important” di Balai Seni Negara pada tahun 2020. Dan saya masih tidak dapat lupakan tatkala mata tertancap lama pada sebuah arca instalasi berjudul This Is Certainly Not What We Thought It Was (2014): seekor gagak yang telah diawet hinggap di atas buku-buku yang disusun bertingkat, sedang ingin memasukkan sebiji kerikil ke dalam kendi kaca berisi air dengan cerat yang tinggi menegak. Pada salah sebuah buku itu jelas terpapar “What If?” atau “Bagaimana Kalau?” Seperti gagak yang keras kaku sebelum sempat memasukkan kerikil ke dalam kendi kaca itu, audiens dibiarkan pegun dan dahaga akan apa yang ingin disampaikan oleh si artis. Tetapi berbalik kepada judulnya, “sememangnya ini bukanlah apa yang kita fikirkan.” Betapa karya seni konseptual akan sentiasa berdialog dengan alami seni itu sendiri. Seterusnya mengubah cara kita berhadapan dengan sesebuah karya. Sebagaimana susastera garda depan berdialog dengan alami susastera itu sendiri. Kerana akan “sentiasa berada dalam suasana tegang antara konvensi yang sudah menjadi tradisi dengan pembaharuan-pembaharuan yang baru dimunculkan.” (Othman Puteh & Ramli Isin, 2003) Tetapi untuk sesebuah karya garda depan itu lari daripada tradisi, bukankah juga meneruskan tradisi garda depan yang terdahulu? “Kita semua sebenarnya menulis buku yang sama. Kita sedang menulis tradisi,” kata Jorge Luis Borges. Kerana untuk lari daripada tradisi itu sendiri sudah menjadi tradisi.
Bagaimana kalau kita sebenarnya masih belum terlambat?: Selagi adanya pengarang-pengarang yang sentiasa inginkan novelty atau kebaharuan dalam pengkaryaannya. Seperti apa yang pernah Mana Sikana nyatakan: “Akan selalu hadir pengarang atau golongan pengarang yang sentiasa melakukan eksperimen demi eksperimen, untuk mencari pembaharuan demi pembaharuan. Ada antara karya eksperimental itu yang gagal dan terdampar; dan banyak pula yang berjaya melahirkan suatu corak, bentuk, dan aliran baru; sehingga ada pula yang tegak sebagai sebuah institusi.” (Mana Sikana, 2004) Lupakan seketika tentang “gagal dan terdampar” atau “tegak sebagai sebuah institusi.” Kerana eksperimentasi dalam garda depan bukannya trial and error atau cuba-cuba. Tetapi berbalik kepada kebaharuan tadi; untuk punyai aspirasi. Dalam erti kata lain, seseorang pengarang itu sedar akan apa yang ia sedang kerjakan. Bekerja dalam bidang seni bina dan pembinaan yang sering menuntut saya untuk membuat keputusan-keputusan yang mengesankan rupa bentuk bangunan secara ketara barangkali sedikit sebanyak telah melatih diri untuk berani membuat keputusan—atau tidak keterlaluan untuk saya katakan, keputusan-keputusan yang radikal—dalam pengkaryaan. Cuma bezanya, keputusan-keputusan yang dituntut sewaktu berkarya tidak pernah digelutkan dengan waktu, tidak pernah terlewat.
Bagaimana kalau garda depan atau “avant-garde” hanyalah label yang boleh dipakai dan ditanggalkan pada bila-bila masa?: Lydia Davis antara cerpenis yang pernah menyatakan ketidakselesaannya terhadap “eksperimental.” Luahnya, “Eksperimen lebih kerap gagal daripada berhasil. Dan ketika anda mula menulis sesebuah karya, anda tidak harus menganggapnya sebagai eksperimen, anda menganggapnya sebagai, ‘Inilah yang benar-benar ingin aku lakukan hari ini.’” Barangkali “eksperimental” kedengaran seolah-olah seseorang pengarang itu sedang mencuba-cuba, masih ragu-ragu dengan apa yang ia kerjakan. Sedangkan garda depan punyai aspirasi: untuk meneroka ruang-ruang baharu; pergi ke ruang yang belum pernah dijejaki sesiapa; pergi ke suatu ruang yang tidak diketahui; lantas membinasakan apa-apa yang kita sedia tahu tentang apa yang dikatakan sebagai sebuah “cereka.” Pengarang garda depan ibarat mesin penghancur “cereka”. Bilamana terus-menerus membangunkan program atau aturcara (atau dialog-dialog diam) dalam pengkaryaannya untuk menghancurkan “cereka.” Tetapi sejauh manakah “mesin” ini akan kekal menang? César Aira dalam sebuah wawancara pula mengaitkan garda depan dengan kebinasaan. Jelasnya, “Avant-garde ialah terma ketenteraan, ‘vanguard’ atau ‘advance guard’ iaitu tentera baris hadapan. Dan untuk menjadi ahli avant-garde yang sebenar-benarnya, anda harus punyai gerak hati untuk dibinasa, bersedia untuk dibinasakan.” Tetapi bukankah untuk berada di luar batas sehingga menemui kebinasaan itu juga suatu pencapaian? Untuk hidup itu semestinya suatu kemenangan. Dan untuk mati juga ialah suatu kemenangan; kemenangan sesudah melengkapkan kemenangan.
Rujukan
Abdullah Tahir, 1997. Sang Tahanan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Anwar Ridhwan, 2001. Naratif Ogonshoto. Kuala Lumpur: Matahari.
Budi Darma, 2019. Pengantar Teori Sastra. Jakarta: Kompas Media Nusantara.
Calvino, Italo, 2015. The Complete Cosmicomics. Boston: Mariner Books.
Davis, Lydia, 2014. The Collected Stories of Lydia Davis. Penguin Books.
Hashim Awang, 1975. Cerpen-cerpen Melayu Sebelum Perang Dunia Kedua: Satu Analisa Tentang Tema dan Struktur. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lispector, Clarice, 2015. Complete Stories. Penguin Books.
Mana Sikana, 1986. Abzyx. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mana Sikana, 2001. Nusia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mana Sikana, 2004. Sastera Melayu Pascamodenisme. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Othman Puteh, 1983. Cerpen Melayu Selepas Perang Dunia Kedua: Satu Analisa Tentang Pemikiran dan Struktur. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Othman Puteh, 1984. Matra, Tasik dan Laut. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Othman Puteh, 1997. Landas Kreativiti: Penulisan Cerpen. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Othman Puteh & Ramli Isin, 2003. Sejarah Kesusateraan Melayu Moden: Cerpen. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Queneau, Raymond, 2019. Exercises in Style. Alma Classics Limited.
Ridhwan Saidi, 2017. Pengembaraan Shell-Searching Seekor Umang-umang Rock n’ Roll dan Lain-lain Cerita. Moka Mocha Ink.
Rio Johan, 2021. Rekayasa Buah. Jakarta: Gramedia Pustaka Utama.
Roslan Jomel, 2012. Selamat Datang Ke Malaywood. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
S. M. Zakir, 2021. Karya dan Kekuasaan Pengarang. Nusa Centre.
Wan Nor Azriq. “Kelahiran 3” dlm. Shafiq Halim, Tramizi Hussin & Zulwaqar Akram (pny.), 2011. Kelahiran Lain. Kuala Lumpur: Jargon Books.
Pertama kali terbit dalam Tunas Cipta Bil. 12 2021.
CATATAN: Hanya setelah menyelesaikan tulisan ini, sebuah kumpulan cerpen yang sering disebut-sebut itu tiba kepada saya. Waktu yang terbaik untuk membaca Cerita Dari Sebuah Taman tulisan Awangku Merali.
Ulasan
Catat Ulasan