Di Mana Kausimpan Noktahmu, László?

László Krasznahorkai

MENGENALI seorang pengarang boleh sahaja semudah melintas ayat pertama daripada bukunya. Dan itulah yang berlaku tatkala saya melewati Satantango dan The Melancholy of Resistance oleh pengarang dari Hungary ini.

"Since the passenger train connecting the icebound estates of the southern lowlands, which extend from the banks of the Tisza almost as far as the foot of the Carpathians, had, despite the garbled explanations of a haplessly stumbling guard and the promises of the stationmaster rushing nervously on and off the platform, failed to arrive ('Well, squire, it seems to have disappeared into thin air again ...' the guard shrugged, pulling a sour face), the only two servicable old wooden-seated coaches maintained for just such an 'emergency' were coupled to an obsolete and unreliable 424, used only as a last resort, and put to work, albeit a good hour and a half late, according to a timetable to which they were not bound and which was only an approximation anyway, so that the locals who were waiting in vain for the eastbound service, and had accepted its delay with what appeared to be a combination of indifference and helpless resignation, might eventually arrive at their destination some fifty kilometres further along the branch line."

Membaca ayat pertama novel The Melancholy of Resistance ini sebetul-betulnya bukanlah suatu lintasan yang singkat. Malah sebenarnya ayat-ayat ini yang melintasi kita sebelum kita sempat ke mana-mana. Seolah-olah kita berdiri di platform menghadap gerabak demi gerabak yang lalu di depan sehinggalah apa-apa di balik jendela di dalam keretapi ini - kilasan demi kilasan - menjadi semakin jelas. 

Itupun sebelum kita sedar yang kita sudah pun berada di dalam keretapi, di kompartmen yang sama dengan Puan Plauf. Kerana keretapi yang tiba ialah keretapi ganti bekerusi kayu, kita yang tiada kena-mengena pun terkesan dengan apa yang Puan Plauf rasa apabila wanita borjuis yang sudah membeli tiket kelas pertama ini terpaksa berhimpit-himpit, berkongsi gerabak dengan pelbagai macam manusia - suatu pengalaman klaustrofobik yang mengganggu. Dan kerana keretapi yang tiba ini sejam setengah lewat, sudah tentulah Puan Plauf akan tiba lambat ke rumahnya; hampir dua jam lewat di mana bas sudah tidak lagi beroperasi dan wanita ini terpaksa berjalan pulang seorang diri melalui jalan dan lorong gelap kerana lampu-lampunya tidak lagi berfungsi.

Ketidakselesaan, kecurigaan dan ketakutan inilah yang Krasznahorkai pekatkan di hadapan Puan Plauf sehingga dia dipertemukan dengan treler yang memuatkan bangkai paus untuk persembahan di tengah pekan. Jika enigma dalam Satantango bermula dan diakhiri dengan gema genta dari sebuah gereja yang jauh, dalam The Melancholy of Resistance pula kita akan dihadapkan dengan seekor paus yang mengocakkan malapetaka di tengah-tengah pekannya.

Membaca Krasznahorkai membuatkan kita tidak boleh terlepas daripada melihat kekuasaan menggila dalam skala sebuah kota. Melihat bagaimana Puan Eszter mencatur politiknya (termasuklah "penyatuan tubuh" dengan ketua polis) untuk berkuasa di sebuah pekan yang sedang dihancurkan oleh entah siapa-siapa, yang datang ke pekan ini semata-mata untuk melihat paus itu; sebagaimana Irimiás dalam Satantango, mereka inilah (dikatakan menerima arahan daripada bisikan "The Prince" yang tidak diketahui siapa) yang membawa api kiamat ke pekan ini. Hanya György Eszter yang memilih untuk mengasingkan diri di rumahnya sedari awal lagi. Kerana pengasingan ini sahaja yang dapat memisahkannya dengan "kebodohan manusia" di luar sana. Dan tindak statik watak cendekiawan muzik ini dijukstaposisi dengan kehadiran János Valuska, anak Puan Plauf yang betul bendul, merayau di sekitar pekan dengan segala galaksi berlegar dalam kepalanya. Hanya dengan mengikutnya berjalan, kita dapat mengenali selok-belok pekan ini; kita dapat lihat paus dalam nafas kesuramannya; kita dapat lihat Dataran Kosuth disesakkan dengan para pengunjung yang tidak dikenali (sebelum mereka menjadi arsonis). Sehinggalah dia menemui buku catatan milik salah seorang arsonis yang menitipkan gerakerja mereka, menitipkan "kaos adalah sebenar-benarnya keadaan semula jadi di dunia."

Dan segala rentak kaos ini - sepertimana ayat pertama novel ini sendiri - semestinya diseliratkan lagi dengan ayat-ayat Krasznahorkai yang maha panjang, pertembungan naratif dan dialog serta perspektif yang sengaja dijulingkan. Wan Nor Azriq pernah beritahu tentang Thomas Bernhard yang menggunakan stail begini. Saya belum berpeluang lagi untuk membacanya walaupun saya nampak Anas Mohd. sudah pun memegang bukunya sewaktu di pesta buku beberapa bulan yang lalu. Membaca Krasznahorkai setakat ini, saya dapat rasai ayat-ayat panjangnya tidak mendatar apatah lagi meleret-leret dan menjemukan. Krasznahorkai perlahan-lahan mendedahkan ceritanya (jika ini yang engkau mahukan) dan perlahan-lahan juga menyembunyikannya semula. Seperti ayat pertama novel ini sendiri yang tidak berulang malah kadangkala dipekatkan dengan deskripsi tetapi tidaklah semakin 'mencerahkan' pembaca. Persis menaiki keretapi yang melalui terowong gelap di waktu malam; hanya gema suara pengarang yang boleh kita pegang.

Di dalam keretapi Krasznahorkai, kita tidak tahu di mana pemisah gerabak-gerabaknya. Malah dalam filem Werckmeister Harmonies pun, setiap tangkapan (take) itu juga terlalu lama dan tidak tahu akan terpotong di mana. Filem ini sendiri dibentuk daripada 39 syot sahaja.


Tatkala János Valuska buat pertama kali menatap "paus terbesar di dunia" seperti yang digembar-gemburkan itu. Werckmeister Harmonies ialah filem adaptasi daripada hanya salah sebuah bahagian yang menunjangi naskhah The Melancholy of Resistance.

Terus terang saya katakan, saya tidak tahu kenapa keinginan saya semakin kuat untuk habiskan buku-bukunya. Barangkali saya tidak temui banyak tulisan tentang Krasznahorkai melainkan esei "Madness and Civilization" oleh James Wood di The New Yorker; saya tidak temui auto/biografi untuk saya intai gerakerja pengarang yang sentiasa merendah diri ini; saya tidak temui banyak video di YouTube untuk saya dengar pengarang ini perlahan-lahan mencermat-cari kata demi kata untuk diungkapkan dalam bahasa Inggeris; dan jika menyelak mana-mana halaman pada mana-mana bukunya, kalau nasib tidak menyebelahi saya, saya tidak temui noktahnya.

CATATAN: Dan pembacaan tulisan Krasznahorkai tidak akan pernah tamat; sedang mempersiapkan diri untuk berperang dengan kata-katanya dalam War and War.

Ulasan

  1. dan saya baru pertama kali hari ini membaca novel metaskandal anda setelah tiba-tiba melihat ulasan mengenai novel itu di akhbar satu minggu sebelumnya, cuba memahami gaya penulisan yang sastera biarpun saya tak berapa faham namun agak seronok untuk dibaca, difahami malah diteroka lebih lagi siapa anda seperti mana catatan anda diatas. salam kenal.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas kesudian membaca tulisan saya. Salam perkenalan juga.

      Padam

Catat Ulasan