Eva, Keretapi dan Sebagainya

Cerpen "Eva, dan Sehiris Malam yang Melukakan" yang terbit dalam Dewan Sastera Bil. 4 2018.

DALAM ruangan Kritikan Cerpen Dewan Sastera Bil. 5 2018, "Tentang Kehidupan, Kepercayaan dan Kebenaran" Hafizah Iszahanid ada menyatakan:

"Meskipun tidak mengangkat kehidupan atau kepercayaan seorang wartawan, tetapi Azrin melalui naskhah ini merakamkan ketidaktentuan emosi watak yang ditampilkan sebagai seorang pengarang.

Jika Azriq menjelaskan perjalanan dengan kereta api pada satu fragmen sahaja*, Azrin pula memilih kereta api sebagai latar tempat dalam keseluruhan karyanya. Secara jelas, cerpen ini tentang perjalanan atau simbol seluruh perjalanan hidup.

Cerpen ini terpecah dua, antara watak Aku, seorang pengarang yang mencari Eva dan catatan-catatan yang berakhir dengan nama Eva. Aku ialah pengarang yang tidak tahu bagaimana ingin mempersembahkan karyanya. Simbol muka taip amat menarik untuk diperhatikan selain perkaitan dengan karya penulis klasik Jepun dan Argentina yang dibawa masuk dengan sengaja.

Aku digambarkan sebagai watak yang keluar dari Lokomotif O, sedangkan Eva menulis tentang tidak boleh masuk ke Lokomotif O. Adakah Aku merupakan pengarang yang mencari kelainan dalam karyanya lalu masuk ke Kompartmen C dan mencari Eva? Sementara itu, Eva pula ialah idea adikarya yang tidak ditemukan hingga akhirnya, iaitu hinggalah Aku menjadi tua dalam perjalanan itu? Azrin menyimpan rahsia, manakala pembaca boleh mentafsir berdasarkan apa-apa yang diketahuinya."

Ada yang katakan cerpen ini ada rasa klaustrofobik. Ada pula yang kaitkan cerpen ini dengan kisah Adam-Hawa, ular dan epal (walaupun saya langsung tidak menyedarinya sewaktu menulis; sebenarnya diambil terus daripada pengalaman saya dan seorang teman yang tersesat di dalam keretapi usai kami ke gerabak kantin, memesan strudel epal dan dua gelas     , dan keretapi tanpa ragu-ragu terus meluncur dari Prague ke Warsaw beberapa tahun yang lalu; saya hanya tahu ia cerita dulu-dulu).

*Cerpen Wan Nor Azriq, "Rumah Penyair Kriapur" dalam Dewan Sastera Bil. 4 2018 tentang seorang wartawan yang ingin menulis tentang penyair yang hilang bernama Kriapur. Pada salah satu fragmennya berlaku di dalam kereta api.

CATATAN: Semacam suatu kebetulan pula cerpen saya dan Azriq yang tersiar ini berlaku di dalam keretapi. Dan sewaktu saya menyunting cerpen "Eva" ini, Johan Radzi ada melayangkan e-mel cerpen yang baru sahaja selesai dikerjakannya kepada saya; juga berlaku sepenuhnya di dalam keretapi. Adakah ini kenakalan takdir?

Ulasan

Catat Ulasan