Sebelum Outro, Sebelum Kaos
Kid A (2000), Radio K.A.O.S. (1987), The Rise and Fall of Ziggy Stardust and the Spiders from Mars (1972) dan In the Court of the Crimson King (1969). |
1
SEINGAT saya, pada tahun lalu, saya, Ridhwan Saidi dan Anas Mohd. pernah berbual tentang bagaimana sesebuah kumpulan cerpen itu sebaiknya dihasilkan mirip album konsep oleh kugiran-kugiran di luar sana. Saya tidak pasti apa yang mencetuskan perbualan ini tetapi mungkin ia muncul kerana saya dan Anas - dan lain-lain - kebetulan baru sahaja selesai mengikuti bengkel penulisan cerpen Zainal Rashid Ahmad di Wisma Central. Dan kebetulan pula terserempak dengan Ridhwan pascakelas lalu terus bersepakat - dengan teman-teman sebengkel yang lain - ke Chat Masala di Brickfields. Atau mungkin juga pada waktu itu kami sedang rancak berbual tentang arwah Bowie, dan persona-personanya dan album Kid A (yang paling digemari oleh Ridhwan waktu itu). Saya beritahunya, saya sedang layan In Rainbows, dan menggemarinya waktu itu (sebelum akui OK Computer ialah album terbaik Radiohead sampai kiamat). Dan Anas, saya sudah lupa... barangkali OK Computer. Kata Ridhwan, "Album Kid A kalau dijadikan kumpulan cerpen, ia akan jadi suatu pakej yang padu." (Pada waktu ini, saya sudah terbayangkan "Everything in Its Right Place" dalam skala cerpen seribu lebih patah kata dengan kembara kemimpian protagonis neurotiknya yang...) Saya tahu yang kumpulan cerpen persis album konsep ini pernah saya lakukan (secara tidak sedar?) pada kumpulan cerpen pertama saya, Urban (Buku Fixi, 2015) dulu. Bukan dikumpulkan daripada tulisan eceran sewenang-wenangnya (tetapi tidaklah saya nafikan, di tangan editor yang baik, tulisan-tulisan eceran juga mampu dipadukan). Dalam erti kata lain, seakan ada benang halus yang mengikat kesemua cerpen dalamnya. Ketat atau longgar, itu cerita lain. Boleh jadi tiada benang halus pun; tetapi setiap cerpen yang tercampak ke serata arah itu menghadap kiblat (kalaupun ada) yang sama; atau bertitik-tolak dari kiblat yang sama sebelum tercampak ke serata arah - kohesif. Dan sangatlah sempit jika dilihat pada tema per se. Barangkali sudah memadai sekadar ada kesinambungan mood dan tone dari satu cerpen ke satu cerpen - koheren. Persis lagu demi lagu yang mengalir dalam album konsep itu. Mungkin inilah visi peribadi saya dalam penghasilan kumpulan cerpen yang kedua. Barangkali saya harus melanggarempuh visi ini untuk buku-buku seterus nanti, siapa tahu. Pada tahun ini, seperti kebetulan juga kami hadir dengan kumpulan cerpen masing-masing: Ridhwan dengan Umang-Umang Rock n' Roll dan Anas Mohd. dengan Perempuan Sigaret. Malah teman-teman penulis yang lain pun ramai yang hadir dengan kumpulan cerpen sendiri - Tinju & Peluru dan Debu Bidadari dan dan dan...
0
Kumpulan cerpen kedua saya pula bakal diterbitkan oleh Roman Buku. Dan untuk kumpulan cerpen kedua ini, semestinya cabaran yang hadir lebih kolosal. Jika menulis Urban dulu telah mengajar saya bagaimana sesebuah cerita ber(e)aksi dengan latar tempatnya, untuk Metaskandal ini pula sengaja saya pilih untuk meneroka lain-lain perkara: berhubungan dengan ruang dan bunyi. Ia juga boleh jadi kerja-kerja mengarca imej. Ia persis memberikan kedalaman dimensi yang bergema pada ruang datar kata-kata 2-dimensi di atas permukaan kertas yang sunyi. Ya, setakat ini menulis sentiasa mengajar saya untuk meraikan deria. Dan mencari dunia di dalam diri, mencari diri di dalam dunia itu kembali. Barangkali menulis juga adalah kerja menghiris masa lalu (seperti apa yang saya lakukan dalam entri ini). Barangkali menulis juga adalah untuk saya mencipta diri. Pada waktu cerpen "Rfingk! Rfingk! Rfingk!" terbit di SelangorKini dan "Tatkala Wajah Saya Tertanggal Pada Suatu Pagi April" terbit di Berita Minggu beberapa bulan yang lalu, manuskrip Metaskandal (pada waktu itu judulnya "Outro Kaos") sudahpun siap. Dan kedua-dua cerpen ini sememangnya ditulis untuk Metaskandal. Saya anggap cerpen-cerpen ini persis single yang dilepaskan oleh kugiran-kugiran di luar sana sebelum terbitnya album mereka. Banyak lagi sebenarnya yang ingin saya perkatakan tentang cerpen dan penulisan dan pembacaan dan fiksyen rentas seni-seni lain etsetera etsetera. Tetapi telah saya tuangkan kesemuanya ke dalam "Wawancara" yang terselit dalam naskhah Metaskandal ini. Baiklah, apa yang berlaku di Chat Masala sesudah itu? Saya tidak berapa ingat melainkan teh masala kami sudah tidak lagi berbaki di dalam gelas. Jalan Brickfields di luar semakin sesak sebelum menyambut Wesak. Saya, Wan Nor Azriq dan Johan Radzi beredar keluar langsung ke MPH di NU Sentral. Tiada buku yang dibeli. Kami hanya menyusun buku sendiri. Saya pulang menaiki elarti ke Wangsa Maju dan malam itu, via Instagram, diam-diam saya mengintai Azriq dan Johan yang dikatakan masih terperangkap dalam kesesakan di Brickfields.
Catatan: Sudahpun baca beberapa kumpulan cerpen oleh teman-teman lain. Dan melihatkan buku-buku cerpen yang telah diterbitkan pada tahun ini, saya yakin 2017 akan diingat sebagai tahun ledakan cerpen dalam sejarah susastera Malaysia.
Ulasan
Catat Ulasan