Sebelum Outro, Sebelum Kaos
Kid A (2000), Radio K.A.O.S. (1987), The Rise and Fall of Ziggy Stardust and the Spiders from Mars (1972) dan In the Court of the Crimson King (1969). 1 SEINGAT saya, pada tahun lalu, saya, Ridhwan Saidi dan Anas Mohd. pernah berbual tentang bagaimana sesebuah kumpulan cerpen itu sebaiknya dihasilkan mirip album konsep oleh kugiran-kugiran di luar sana. Saya tidak pasti apa yang mencetuskan perbualan ini tetapi mungkin ia muncul kerana saya dan Anas - dan lain-lain - kebetulan baru sahaja selesai mengikuti bengkel penulisan cerpen Zainal Rashid Ahmad di Wisma Central. Dan kebetulan pula terserempak dengan Ridhwan pascakelas lalu terus bersepakat - dengan teman-teman sebengkel yang lain - ke Chat Masala di Brickfields. Atau mungkin juga pada waktu itu kami sedang rancak berbual tentang arwah Bowie, dan persona-personanya dan album Kid A (yang paling digemari oleh Ridhwan waktu itu). Saya beritahunya, saya sedang layan In Rainbows , dan menggemarinya waktu i...