Sebuah Lagi Cerita Bohong

PERNAH aku terdengar ada mulut-mulut yang berkata, "Tak membazir ke buat bangunan tinggi-tinggi? Mahadey ni dah gila ke apa?" Sejujurnya, aku tidak "ambil port" pun dengan apa yang dikata. Sebab aku peduli apa! Apa yang aku tahu (dan kau orang patut tahu), Buku Fixi akan terbitkan sebuah lagi antologi cerpen berjudul..... KLCC!!!

(Sumber: KLCC - Sebuah Antologi Cerpen Fixi)

Khabarnya, antologi cerpen ini diterbitkan bersempena dengan ulangtahun ke-15 terpacaknya dua menara tersebut di tengah-tengah pusat ibu kota Kolumpo. Jemputan menulis cerpen untuk buku ini tidak aku sia-siakan. Justeru, aku berterima kasih kepada  Mahadey  Buku Fixi kerana telah memberikan ruang kepada cerpen aku untuk dimuatkan ke dalam buku ini. Terima kasih, Buku Fixi! Terima kasih!

Sejujurnya, terasa inferior juga menulis cerpen untuk buku ini. Kerana aku tahu penulis-penulis Fixi yang lain semuanya hebat-hebat. Fuh! Menggelupur jugalah aku menulis (eh?).

Muka surat pertama cerpen aku. (Sumber: KLCC - Sebuah Antologi Cerpen Fixi)

Kau orang hendak tahu siapa lagi yang menulis untuk buku ini? Berikut ialah 19 cerpen daripada 19 orang penulis (termasuk aku) dalam antologi ini,

JANGAN TERJUN Nadia Khan
GROUND ZERO Khairul Nizam Khairani
MATA Shaz Johar
NYAWA Raja Faisal
RIPUK Hasrul Rizwan
WARISAN Julie Anne
DALAM TANGAN PAPA Adib Zaini
TAKDIR Hani Amira Suraya
GADIS DAN DUA MENARA Faratira Aimiza
EMPAT Mim Jamil
KALAU LAPAR CARI CHOMET Syaihan Syafiq
2 TIANG, 1 JAMBATAN Shafaza Zara Syed Yusof
PENJAGA Dayang Noor
IZZAQ Faizal Sulaiman
SERIKANDI MALAYSIA Arif Zulkifli
KOC LAMPAU CAPAI CAKERAWALA Azura Mustafa
NEK SOM, KLCC DAN KUCING BERNAMA ZORG Azrin Fauzi
JEMPUT MAKAN Zulaikha Sizarifalina Ali
GERBANG NERAKA Ridhwan Saidi

Antologi cerpen KLCC ini boleh mula dibeli secara online di sini mulai 1 April 2013. Khabarnya, prapesan (juga secara online di sini) buku ini akan bermula 22 Mac 2013 ini. Dapatkan segera kerana cetakan terhad. Katanya, hanya 1500 naskhah yang akan dicetak. Katanyalah. Sudah habis nanti, pandai-pandailah cari di pasaran gelap (dengan harga yang tinggi melambung, semestinya).

Oh ya, antologi cerpen ini juga akan dilancarkan pada malam pertama pementasan teater Gadis dan 2 Menara (adaptasi daripada antologi cerpen ini) pada 17 April 2013 di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Akhir kata, selamat membeli, selamat membaca dan selamat... err, menyenggama minda!

CATATAN: Aku beri judul "Nek Som, KLCC dan Kucing Bernama Zorg" untuk cerpen aku. Tetapi ini bukanlah kisah seorang nenek yang menjaja karipap di Jalan Melayu demi sesuap nasi mahupun kisah kucing-kucing kurap yang berpeleseran di Chow Kit. Ini kisah yang kau orang tidak pernah dengar, tidak pernah baca.

Ulasan