Ingin Jadi Cerpenis

MALAM sebelum aku ke Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2012 (KLAB), sebaik jarum jam mencanak pukul 11.30 malam, Buku Fixi telah anjur pertandingan cerpen di Facebook Fixi sempena novel Hilang. Sisi gelap diri aku mengatakan, "Kau kena sertai kontes ini, Azrin. Kau kena sertai." Seakan dilema kerana sisi lain diri aku pula sibuk mencelah, "Alahh.. tak payah sertai. Bukan kau boleh menang pun. Lepak-lepak sudah. Esok borong buku di KLAB. Ada peluang, boleh jumpa Sufian Abas."

Itu kisah 11.30 malam.

Sejam lepas itu, aku hidupkan MacBook. Buka Microsoft Word. Papan kekunci diketuk rancak. Idea melompat-lompat. Aku tidak punyai masa yang lama. Pertandingan akan berakhir pukul 11.30 malam dua hari berikutnya. Bermakna aku masih ada 48 jam lagi.

Dan siap!

Tidak sampai sejam pun. Aku save dulu cerpen ini. Aku peram dulu. Esoknya, lepas balik dari KLAB, lepas berfoya-foya, aku edit cerpen ini sikit. Edit punya edit punya edit. "Celaka!" getusku. Susah juga hendak kerjakan cerpen yang dihadkan hanya 300 patah kata. Selesai edit, dengan lafaz "moga aku menang," terus aku layangkan e-mel.

Oh ya, cerpen yang kumaksudkan itu boleh dibaca di sini.

Poinnya, bukan senaskhah novel Hilang yang aku menangi itu. Tetapi komen hakim bagi pertandingan ini. Ulasan beliau terhadap cerpen aku. Itulah apa yang aku inginkan untuk jadi cerpenis.

Komen John Norafizan selaku hakim,

Cerita ini berjaya mendefinisikan perkataan hilang secara keseluruhan. Isi dan plot diolah dengan mantap menjadikan cerita ini begitu memorable dan disenangi. Tidak ada lompong yang nampak. Kejutan (twist) segar di akhir cerita menunjukkan kematangan penulis. Penceritaan kuat dan punya kesan mendalam. Bahasa santai dalam cerita ini sebenarnya membuatkan ia lebih believable.

CATATAN: Novel Hilang tulisan Dayang Noor boleh dibeli secara online di sini.

Ulasan