Tuesday, 27 December 2016

Szago, dan Peta Yang Terpadam

SZAGO mungkin mula timbul di atas peta sewaktu berkunjung ke rumah Prof. Muhammad Haji Salleh bersama dengan Wan Nor Azriq, Ainunl Muaiyanah dan Johan Radzi beberapa bulan yang lalu. Aku berpeluang untuk berjumpa-bual dengan Lidia, seorang budayawan dari Jerman (yang kebetulan sedang menumpang di rumah Prof. waktu itu sebelum meneruskan penerbangan pulangnya ke Köln). Lidia ada menyebut perihal bahagian-bahagian dalam Hikayat Panji Semirang yang disukainya -atas percikan romantisisme yang kuat. Hikayat Panji Semirang ialah naskhah klasik yang paling aku gemar, telah dibaca berulang kali, dan entah kenapa telah ditinggalkan beberapa tahun yang lalu. Mendengarkan Lidia menyebut tentang naskhah ini, pulang sahaja ke rumah hari itu, terus aku geledah-cari buku ini kembali.

Kemudian muncul tulisan Azriq dalam Dewan Sastera isu September 2016, Karya Fiksyen di atas Peta Imaginasi di mana Azriq menjelaskan tentang pengarang yang menjadi ahli kartografi. Ridhwan Saidi sudah menjadi kartografer dengan pulau distopianya, Mautopia. Anwar Ridhwan pula sudah bina pulau republiknya, Ogonshoto. Malah Wan Nor Azriq sendiri sudah bina pulau Queca dalam cerpennya, Malam Terakhir di Queca (juga disebut-sebut dalam cerpennya yang kemudian, Rumah Doktor Salgari*).

Dan entah macam mana, seakan ada panggilan dari pulau Szago pula untuk aku memetakannya.

Aku mulakan proses pemetaan dengan cerpen Ziarah ke Szago. Dan cerpen ini telah terpilih untuk dimuatkan dalam NARATIF | Kisah, sebuah jurnal sastera yang terbit bersempena dengan Iskarnival Naratif 2016 pada Oktober lalu. Ia hanya sebuah dekonstruksi kecil: transformasi atau 'gender fluidity' Panji Semirang telah digarap menjadi watak Doktor Z dalam cerpen ini. (Saja pilih nama Z sebab ia datang dengan dua bunyi: “zed” yang kedengaran lebih maskulin, dan “zi” yang lebih feminin.) Selain itu, Szago juga telah dibina kerana waktu itu (sehingga kini pun) tengah syok baca tulisan-tulisan weird fiction H. P. Lovecraft -paling gemar setakat ini, At the Mountains of Madness, Dagon dan The Shadow over Innsmouth. Azriq sendiri pernah beritahu, "Pulau (Szago) tu ada feel Lovecraft." Tetapi ada diberitahu juga yang keberadaan watak di pulau itu terlalu sekejap. Entahlah, mungkin waktu menulis, aku cuba nak kaitkan dengan kesementaraan kembara Panji Semirang. Ia berkait juga dengan alami tradisi cerita lisan itu sendiri di mana ada serpihan cerita yang hilang: berjejak semula dengan bentuk cerpen ini sendiri di mana ada fragmen yang sengaja dibuang (atau dihilangkan) tanpa mengganggu keseluruhan cerita.

Apa-apa pun, usaha pemetaan pulau ini bukan sekadar tentang letak duduk segala rupa dan bentuk tanahnya, tetapi lebih kepada imaginasi-imaginasi yang akan aku bawa dari sana.

*Cerpen Rumah Doktor Salgari baru sahaja memenangi hadiah utama kategori cerpen Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2015.

CATATAN: Szago sedang diluaskan lagi wilayahnya ke dalam cerpen-cerpen lain waktu ini.

No comments:

Post a Comment