Kata Gaza

"? Palestin" (baca: soal Palestin), 1983, nukilan Allahyarham Syed Ahmad Jamal


kata Gaza:
mana kaupergi?

i
sedang kami dibasah dengan darah
kau dilumur dengan lendir takut
menggulung dirimu dalam selimut
yang menghijab ucapan kencangmu
tika leher dililit mafla merah-hitam-putih-hijau
"it's cool!" kata kau (?)

ii
sedang kami dibingit dengan dentum
kau dipekak dengan alunan rancak
mampus dalam ketidakendahan
letupan dan tangis dan jerit-pekik
itulah alunan yang telah lali
kami tempuh tiap hari.

kata Gaza:
mahu kaudatang kemari?

i
nanti dulu.
gilaplah kapal-kapalmu itu
dengan kencingmu sendiri
hingga cukup kilatnya
buat cermin rona rupamu
yang padat dengan kedut kepura-puraan.

ii
nanti dulu.
hiruplah najis keamananmu
dari atas baringan empuk, puas-puas
kerana tidak akan kautemui najis itu
pada tanah basah, yang hamis
dengan wangian syuhada ini.

kata Gaza:
....
....
....
(Gaza tidak lagi berkata)

Azrin Fauzi
15 November 2012

CATATAN: Gaza perlukan (doa) kita.

Ulasan