Aku, Mark Zuckerberg dan Nisah Haron

AKU tidaklah mengenali Nisah Haron secara peribadi. Aku mengenali beliau melalui karya-karyanya sahaja. Entah kenapa, hari itu (25 Julai 2012) aku berasa terpanggil untuk bertanya sesuatu kepada penulis ini di laman Facebook (melalui Message). Sebenarnya lebih kepada berbual dengannya. Berikut adalah ekstrak perbualan kami (maaf kerana perbualan yang di luar konteks penulisan/penerbitan tidak disiarkan di sini... kehkehkeh!).

Penulis: Puan pernah menyatakan bahawa "seorang  penulis hanya boleh berbicara mengenai hasil penulisannya yang telah diterbitkan sahaja" (saya tidak ingat bila kenyataan ini dikeluarkan). Correct me if I'm wrong.

Nisah Haron: Mungkin juga pada ketika 'kenyataan' itu ditulis atau saya ungkapkan, saya bermaksud kita tak sepatutnya bercerita tentang apa yang sedang kita tulis, sedangkan kita belum lagi menulis tentangnya. Ada bahayanya apabila kita memberitahu yang kita sedang menulis (biasanya penulis baharu suka buat status bahawa dia sedang menulis itu ini). Pertama, mudah hilang momentum menulis. Kedua, rasa teruja bertambah, sudahnya tidak menulis. Ketiga, jika saudara menulis proses dan bahan yang ditulis itu terlalu rinci, apatah lagi jika ada pihak yang tahu (dan pihak itu berniat buruk), orang itu boleh sahaja membuat kerja-kerja penciplakan dengan mudah. Nasihat saya, tidak perlulah menceritakan bagaimana kita menulis sebelum karya kita siap. Siapkanlah dahulu, kalau ada orang bertanya barulah kita cerita.

Penulis: Apakah definisi "karya yang diterbitkan" itu? Kerana sajak-sajak saya pernah juga disiarkan dalam akhbar dan majalah (Dewan Siswa antaranya).

Nisah Haron: Apabila kita ada puisi yang sudah disiarkan di blog/Facebook, puisi yang sama tidak patut dikirim ke media cetak seperti akhbar atau majalah. Tidak salah dari segi hak cipta tetapi tindakan itu sangat tidak beretika. Media cetak itu patut mendapat karya daripada kita secara eksklusif, bukan karya yang pernah terbit di tempat lain, walaupun di blog peribadi atau Facebook. Oleh itu definisi "karya yang diterbitkan" itu termasuklah yang sudah terbit di media cetak atau di media baharu seperti blog, Facebook, Twitter dan yang seumpamanya. Jika mahu terbitkan semula karya yang sudah tersiar di media cetak (misalnya Dewan Siswa), boleh buat begitu, tetapi tunggu tempoh edaran majalah itu tamat. Sebagai contoh, jika sajak tersiar pada bulan Julai 2012, jangan siar sajak yang sama di blog pada bulan ini juga kerana tempoh edaran majalah Dewan Siswa Julai akan tamat pada 31 Julai 2012. Kalau mahu letak di blog (sajak itu sepenuhnya) hanya selepas itu iaitu mulai 1 Ogos 2012. Jangan lupa letak kredit media pertama ia tersiar. Ertinya, pada hujung sajak itu letaklah nama kita dan ungkapan "tersiar dalam Dewan Siswa Julai 2012" (sebagai contoh). Dengan itu, pembaca tahu bahawa karya ini bukanlah baru ditulis tetapi sudah diterbitkan di media yang lebih berwibawa. Ini juga menunjukkan penulisnya (diri sendiri) adalah seorang yang punya etika. Editor akan hormat saudara atas tindakan tersebut.

Penulis: Bagaimana pula dengan buku yang tiada ISBN (self-published)? Bolehkah buku ini dijual? Kerana buku ini banyak juga dihasilkan oleh penulis-penulis baru (terutamanya penulis indie) saban hari.

Nisah Haron: Buku yang tiada ISBN sebenarnya ialah sebuah risalah. Sama ada boleh dijual atau tidak di kedai buku, itu terpulanglah kepada kedai buku yang berkenaan. Jika kedai yang berkenaan mahu menjualnya, tidaklah menjadi kesalahan. Biasanya kedai buku besar tidak berapa berminat untuk menjual buku yang tiada ISBN. Antara sebabnya ialah kedai buku sekarang mencari buku (retrieve books) melalui sistem barcode dan sebagainya. Buku yang tiada ISBN sudah tentu tidak ada barcode di belakangnya. ISBN juga ialah satu nombor yang unik untuk setiap buku. Tiada nombor ISBN yang serupa. Sebuah buku dengan judul yang sama tetapi mempunyai dua edisi (misalnya kulit tebal dan kulit nipis) juga mempunyai dua nombor ISBN yang berbeza. Memohon ISBN tidak sukar. Tidak semestinya seorang penulis itu mesti ada sebuah syarikat sendiri baru boleh memohon ISBN. Seorang penulis juga boleh terbit sendiri mana-mana bukunya sendiri dan mohon sendiri. ISBN ibarat nombor kad pengenalan kepada sebuah buku. Seorang warganegara mestilah ada kad pengenalan. Tanpa kad pengenalan, seseorang itu masih lagi manusia tetapi orang itu tiada kewarganegaraan.

Penulis: Buku travelog puan (Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom dan Dublin) benar-benar mendorong saya untuk menulis tambahan lagi saya akan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Republik Czech. Teringin juga untuk menulis sebegitu. Boleh juga melancong ke tempat-tempat (seperti dalam buku) itu jika berkesempatan kerana ramai juga rakan-rakan saya yang belajar di UK dan Dublin.

Nisah Haron: Republik Czech sendiri kaya dengan budayanya. Masih banyak tempat di Eropah yang saya ingin kunjungi tetapi masih belum berkesempatan. Terus menulis dan memperkaya khazanah kita!

Aku amat menghormati Nisah Haron sebagai seorang penulis yang berpengalaman (baca: otai). Percaturan beliau meninggalkan lapangan undang-undang untuk menjadi penulis sepenuh masa bukanlah sesuatu yang sia-sia. Ternyata bekas peguam ini telah menghidupkan  lagi kesusasteraan Melayu di negara kita. Oh, ya! Tidak dilupakan juga kepada si Yahudi, Mark Zuckerberg. Aku berhutang budi dengannya kerana telah mempertemukan (secara tidak langsung) aku dengan Nisah Haron.

CATATAN: Menyelak antalogi Anak Laut yang telah aku pelajari semasa di Tingkatan Empat dahulu untuk membaca kembali cerpen "Annyss Sophilea". Cerpen inilah yang telah memperkenalkan nama Nisah Haron kepadaku.

Ulasan