Fakof II

MASQUERADE

Pompang-pompang!
Penat berceramah. Lelah.
Pak Lebai pulang ke rumah.
Buka kabinet. Buka bungkusan Pedigree.
Terus diberi kepada sepasang American Shepherd
yang dipelihara. Sekian lama.
Mereka bertiga ketawa.


LINGUISFORA

2020. Duit bukan matawang.
Ringgit lesap menghilang.
"Tinggi benar budi bahasa anak kau, Jah. Mampu beli sebuah Bentley!
Bukan macam anak aku, miskin budi bahasa. Sampai sekarang tak berkereta."
"Rahman dah pulang!"
Si anak masuk. Pantas.
Bawa pulang segulung tisu tandas.
Baru dibeli.
Dikitar semula daripada - duit.


KENYANG

Slurp! Slurp!
Puas Pak Ngah
menghisap darah
nyamuk-nyamuk itu.
Kenyang.
Orang tua itu terbang.
Mengepak-ngepak malas.
Mencari jalan pulang.
Mencari mangsa lain.
Mak Ngah.
Mungkin.

CATATAN: Buat Kahlil Gibran (sekali lagi), pemula puisi prosa.

Ulasan