Bermula Dari Seorang Pengemis

SEBELUM ini, aku tidak menggemari puisi. Lebih kepada benci terhadapnya. Sering aku merungut, "Begitu mudah sekali manusia-manusia ini (penyair) mencipta nama dengan hanya beberapa patah kata yang karut!"

Entah mengapa, suatu hari aku cuba mengarang satu. Susah macam setan! Terus kuhantar kepada editor Dewan Siswa. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Aku menanti. Nah! Puisi pertama aku tersiar dalam Dewan Siswa edisi Jun 2010. Perasaan bercampur-baur. Puisinya begini,

AKU PENGEMIS

Lahirnya aku sebagai manusia
kini aku pengemis
kotak lapuk sudah cukup
cukup membuatku selesa
lena di kaki lima
di kota haloba.

Pakaian lusuh dikotori kedaifan
bau busuk menjadi teman
dencingan syiling-syiling kecil
memekik telinga agar terbenih secebis simpati
bukannya rezeki yang diberi
hanya jelingan hina yang diterima.

Manusia memaling cela
sepak terajang pemuas rasa
manusia itulah bertuan syaitan.

Aku reda
kerana aku pengemis.

2010

Faisal Tehrani telah mengulas puisi aku. Katanya, “Puisi Azrin Fauzi melihatkan keadaan malang seorang pengemis yang diberi ‘penghinaan’ oleh sang penciptanya sendiri (iaitu penyair).” Aku tidak ambil peduli. Kerana puisi asal yang aku hantar kepada editor bertajuk “Aku Seekor Pengemis” (bukannya “Aku Pengemis” seperti yang tersiar).

AKU SEEKOR PENGEMIS

Lahirnya aku sebagai manusia
kini aku seekor pengemis
kotak lapuk sudah cukup
cukup membuatku selesa
lena di kaki lima
di kota haloba.

Pakaian lusuh dikotori kedaifan
bau busuk menjadi teman
dencingan syiling-syiling kecil
memekik telinga agar terbenih secebis simpati
bukannya rezeki yang diberi
hanya jelingan hina yang diterima.

Manusia memaling cela
sepak terajang pemuas rasa
manusia itulah bertuan syaitan.

Aku redha
kerana aku
seekor pengemis.

2010

Aku tidak faham mengapa editor menggugurkan kata “seekor” itu (sebenarnya, aku buat-buat tidak faham). Ah! Aku peduli apa? Ini puisi pertama aku. Terpulang pada pembaca untuk menafsirnya. Aku mula menggemari puisi. Aku mula menjamah puisi-puisi A. Samad Said dan Robert Frost. Aku juga giat menulis, menulis dan menulis puisi.

Ternyata pandanganku terhadap puisi (dan penyair) telah meleret jauh. Jauh macam setan! Dan perubahan ini bermula dari seorang pengemis. Pengemis yang aku perhati tingkah dan lakunya di kaki lima Jalan Tunku Abdul Rahman. Pengemis yang aku langsung tidak mengenalinya.

Ulasan